#Remy8 - Bab 5

85 16 13
                                    

"Rizki tak datang makan hari ni?" tanya Mak Ngah, bila dilihatnya Remy pulang berjalan kaki sendirian pada pukul 5 petang itu.

Mak Ngah akan selalu pulang tepat pada masanya, daripada pejabatnya di sebuah jabatan kerajaan setiap Selasa dan Jumaat, supaya boleh memasak atau sediakan makanan untuk Remy dan Rizki yang pasti akan melepak selepas latihan balapan.

Remy menggeleng, sedih. "Peperiksaan dah dekat, Rizki ada kelas tambahan. Tak dapat nak main gitar sama-sama petang ni. Mungkin, beginilah sampai habis UPSR..." balas jejaka kecil itu.

Mak Ngah menggeleng. Kalau tak ada Rizki, sedih Remy. Sejak ibunya meninggalkannya, Remy sukar dipujuk mak ngah. Yang boleh ceriakan Remy, Rizki sahaja.

"Jom, kita pergi pasar malam di taman perumahan seberang sana tu lepas maghrib nanti. Mana tahu, terserempak dengan Rizki," ajak Mak Ngah.

Terus Remy tersengih-sengih dan memohon mahu mandi.

Dan malam itu, apabila terserempak dengan Rizki yang baru habis kelas matematik, Remy gembira kerana dapat berkongsi makan sosej dengan gadis itu. Ibu Rizki dan Mak Ngah pula berbual sambil mengikut langkah dua remaja itu daripada belakang.

"Dia bergantung sangat pada Rizki, saya tak rasa ini elok untuk perkembangan Remy," bisik makngah kepada Ros, ibu angkat Rizki.

"Tapi Rizki dilahirkan untuk tujuan ini. Dia memang punya DNA untuk pertahanan," balas Ros, berbisik juga di celah hiruk-pikuk pembeli dan penjual di sekeliling mereka.

"Tapi Remy perlu berdikari. Dia mesti pandai menjaga diri," Mak Ngah berdebat.

Puan Ros diam. "Nantilah, saya bawa perkara ni kepada ayah Rizki."

"Mak Ngah! Nak kuih pulut panggang?" tanya Remy yang baru selesai membeli.

"Nak, tapi jangan beli banyak-banyak," balas Mak Ngah cepat-cepat.

Puan Ros tersenyum sahaja kemudian menghantar isyarat mata kepada Rizki.

Rizki mengerti.

"Eh Remy, aku dapat kerja rumah lagi lah daripada cikgu tuisyen. Banyak pula tu. Aku dengan Mama balik dulu ok?" Rizki meminta diri sebaik sahaja mereka tiba di gerai menjual permainan.

"Eh, tapi kita belum ronda sebelah sana lagi. Ayam goreng tak beli lagi," Remy mengingatkan.

"Makan banyak-banyak ayam pun bukannya boleh buat aku jadi pandai Matematik," gurau Rizki. Sambil itu, Ros yang sudah sampai dekat dengan mereka ikut mengangguk.

"Ada beberapa bab yang Rizki belum khatam lagilah, Remy. Auntie kena pantau ni," kata Puan Ros. 

Segan kepada wanita itu, Remy segera mengangguk. "Ok Riz, jumpa di sekolah esok," katanya. Dia mengikut sahaja bila Mak Ngah mengajaknya ke gerai ABC kegemaran mereka.

"Bagus Riz, macam itulah," Puan Ros berterima kasih.

Riz tersengih. "Riz cuba je. Tak sangka dia tak membantah."

"Dia memang pandang tinggi pada Riz, Riz kena hati-hati. Kita ada tanggungjawab. Mama tahu Riz muda lagi, tapi..."

"Tak apa mama, Riz faham. Riz sudi. Riz yang setuju nak  buat semua ni," Rizki mengingatkan janjinya tahun lepas kepada mama dan papanya.

Ros tersenyum. "Riz memang anak yang baik. Dah lah baik, comel dan cerdik pula tu. Beruntung mama dapat anak sempurna macam Riz."

"Apa ni mama..." Riz tidak selesa dipuji melangit. Mereka sudah sampai di tempat letak kereta, lalu kedua-duanya masuk ke dalam perut Mercedes C Class.

"Betul lah mama cakap ni. Mama masih berdendam pada ibubapa Riz yang sanggup tinggalkan Riz begitu sahaja. Allahuakbar, maaf Riz, mama terlepas cakap. Tak elok mama cakap begini tentang mereka yang sudah tiada."

Rizki tersenyum kelat, memilih untuk menyepikan diri.

Sampai di rumah, barangan yang dibeli dibawa naik.

"Riz, mama minta maaf sekali lagi... tentang hal tadi, ok?" Ros bersuara sambil membuka pintu rumah.

"Hish mama, jangan risau lah tentang hal ni. Riz tak ambil hati. Lagipun... Riz mana ada hati, tak sempat nak buat pagi tadi haha!"

Dua beranak ketawa.

"Hah, apa yang suka sangat tu?" tegur Rithauddin, bapa angkat Rizki.

"Rizki ni, malas nak bentukkan hati dia..." Ros masih ketawa lagi.

"Heh, jangan nak malas-malas. Pastikan semua organ ada setiap masa," tegur Rithauddin.

Rizki berhenti ketawa dan mengangguk. Badannya mula mengeluarkan cahaya. 

"Hoi silau la!" marah abang angkatnya yang sedang menonton TV.


Remy8Where stories live. Discover now