#Remy8 - Bab 22

46 4 2
                                    

Rahmah tidak pernah nampak kejadian seperti itu sebelum ini, pasti puncanya Remy. Bapanya pernah menyebut yang DNA warga 8, ada beza jika dibandingkan spesis bangsawan dengan pahlawan.

"Remy ajak abang jurugambar kita tu makan. Riz, mari kakak tolong bukakan hiasan di kepala dulu. Senang nak makan," Rahmah mengajar Rizki ke bilik persalinan.

Sementara bunga dan tiara ditanggalkan, Rahmah terus berbisik kepada Rizki.

"Riz, masa di atas pelamin tadi, ada rasa pelik tak?"

"Masa jurugambar suruh pegang Remy, masa tu, Riz ada rasa sesuatu. Ada rasa getaran, sikit saja. Riz ingat imaginasi sendiri saja. Kakak pun ada pun rasa sesuatu ke?" balas Riz, berbisik juga.

Rahmah menggeleng. "Kakak tak rasa getaran. Kakak nampak banyak benda bergerak, bergegar. Perlahan-lahan dan sedikit saja. Sebab tu kakak suruh jurugambar berhenti. Kakak rasa, Remy puncanya. Sebab sepanjang kakak kenal Riz, Riz tak pernah buat begitu. Masa Riz kecil-kecil dulu pun tak pernah."

"Mungkin ini perkembangan penting pada tubuh Remy. Rasanya Riz kena mohon papa hubungi 8," putus Riz.

Itulah tugasan rasmi Rizki. Melindung dan melaporkan perkembangan Remy. Mungkin lah Remy sudah bersedia untuk pulang ke 8? Tapi kata Ketua Pahlawan, selagi Remy belum boleh terbang, belum sampai lagi masanya untuk Rizki persiapkan putera itu untuk pulang.

Langsung termenung sekejap gadis separuh manusia itu di depan cermin meja solek. Kakaknya cuma mampu memandang.

***

"Mama, kenapa?" tanya Rahmah malam itu.

Dia dan Rizki memang menunggu Remy pulang dari surau bersama Rithauddin sebelum menyiapkan juadah makan malam.

Ros hulurkan sekeping gambar Instax kepada Rahmah. Tak dia sangka anak gadisnya menangkap dia sedang merenung sesuatu yang disorokkan di dalam beg tangan. Gambar Instax itu rakaman kasar gambar yang dipilih jurugambar sebagai imej muka depan katalog butiknya nanti.

"Mama rasa tak perlu hubungi 8 melalui Xral. Sekilas mama tengok gambar ni, mama dah tahu. Rahmah nampak tak apa yang mama nampak?" soal Ros.

Gambar yang direnung Rahmah memperlihatankan Rizki dan Remy di atas pelamin sambil memakai busana pengantin berwarna hijau. Dua remaja itu sedang tergelak besar. Nampak bahagia. Tangan Rizki berada di dada Remy, tapi sebelah lagi berada dalam genggaman Remy.

Rahmah dan Ros berpandangan. Sukar nak dinafikan, Remy dan Rizki nampak sangat sepadan.

"Kenapa mama?" Rizki tiba-tiba sampai ke ruang tamu menyapa.

Ros menarik nafas, lalu mengajak Rizki ikut duduk di sofa. Rizki akur, dan Rahmah ikut duduk.

"Riz, mama rasa, Remy sukakan Rizki. Suka yang lebih daripada sekadar sahabat," Ros memulakan bicara.

Rizki menggeleng. "Taklah mama. Kalau dia suka mesti dah lama dia berterus-terang pada Riz. Kami tak pernah berahsia," sangkal gadis itu.

Dia terpaksa berusaha menahan diri agar tidak mengeluarkan cahaya. Entah kenapa dia seolah gembira me dengar kata-kata ibunya.

"Remy tak beritahu sebab kakak ada nasihatkan yang kau berdua masih muda, tak sesuai bercinta. Tapi kakak pasti Remy ada perasaan pada Riz. Macam yang Rahman pernah cakap dulu. Soalnya sekarang, Riz, macam mana?" tanya Rahmah sambil memeluk bahu adiknya.

Sekali lagi Rizki menggeleng. "Riz tak faham, apa maksud kakak?"

"Riz sukakan Remy macam Remy sukakan Riz?" giliran Ros bertanya.

"Tak. Remy kawan saja," tegas Rizki, dan hatinya mula meleper di dalam. Kemudian jantungnya pula jadi perlahan, berdetak tanpa semangat. Paru-parunya menipis. Entah kenapa organ-organ dalamannya bagaikan merajuk bila dia berbohong pada ibu dan kakaknya.

Entah kenapa? Jangan buat dangkal Rizki. Oh Rizki kau tahu kau pun sukakan Remy dan harap sangat Remy sukakan kau. Suka sangat-sangat. Kalaulah betul macam mama, kakak dan abang cakap... Diri Rizki mulalah bermonolog.

"Rizki tahu kan, 8 takkan benarkan Riz dan Remy bersatu? Bukan sahaja sebab berlainan spesis, sebab DNA Riz dan Remy ada campuran warga Bumi. Pihak 8 terlalu anti warga campuran. Itulah yang mama kesalkan," bisik Ros lalu tunjuk kan gambar Instax di tangannya.

"Mama suka Remy. Malah kalau Riz memang betul anak mama, pasti mama restu kalau Riz betul sukakan Remy. Tapi mama tak berdaya nak bantu Riz dalam hal ini..." Ros tidak dapat menahan perasaan.

Ini tidak adil untuk anak bongsunya. Walau apa pun isi anatomi gadis itu, Rizki tetap anak bongsunya! Rizki bakal terluka kalau dia juga sukakan anak raja dari planet entahlah di mana itu. Ros kesal mengenangkan dia tak berdaya nak melindungi Rizki.

Cahaya yang dikawal Rizki dibiarkan menyala. Tubuh Rizki dibanjiri Cahaya merah jambu, dia terharu kerana dia ternampak kasih seorang ibu dalam gerak-geri wanita separuh umur itu.

"Mama, terima kasih kerana ambil berat tentang Riz. Sayang mama! Jauh sangat mama berangan tentang Remy dan Riz, sampai nak bersatu lah aa lah. Jangan risau ok. Riz akan tumpukan perhatian pada tugas. Riz takkan biarkan Remy terlalu suka Riz. Mama dan Kak Rahmah akan sokong Riz jaga Remy sampai dia pulang ke planet asal bapanya, kan?" tagih Rizki, macamlah selama ini Ros dan Rahmah tak pernah membantu.

Ros dan Rahmah tersenyum. Mereka tahu Rizki sedang cuba menipu. Mereka tahu sangat perangai Rizki. Kalau banyak sangat bercakap, nak mengelak topik penting lah tu.

"Riz, kami akan sokong Riz walau apa pun keputusan Riz. Kalau 10 tahun lagi Riz nak ambil keputusan tak mahu pulang ke 8, nak kahwin lari dengan Remy dan terus menetap di Bumi pun kakak akan tetap sokong Riz," janji Rahmah.

Rizki ketawa. "Ada-ada je kakak ni. Doalah Rizki berjaya habiskan tugasan Riz. Riz sayang keluarga ni, tapi tanggungjawab Riz pada keluarga asal Riz, tetap akan Riz buat juga. Sampai emak dan ayah kandung Riz juga bebas untuk kembali ke Bumi," Rizki mengulang ikrar lamanya. Nyalaan dari tubuhnya membara, daripada merah jambu ke merah tua.

Air mata mula bergenang di wajah ketiga-tiga wanita itu.

"Assalamualaikum! Laksa Johor dah siap ke?" laung Rithauddin dari luar rumah.

Cepat-cepat tiga beranak mengesat air mata.

"Tak bawa kunci ke Encik Rithauddin?" Ros melaung.

"Bawa tapi jatuh entah ke lubang mana dalam kereta!" balas Rithauddin.

Kedengaran juga suara Remy tergelak. Haruslah Rithauddin sedang buat lawak khas untuk mereka berdua sahaja.

Selesai makan malam itu, Rithauddin membuka rahsia kepada Ros. "Mujur Remy sangka lampu merah jambu tu, lampu chandelier. Terpaksa menipu saya tadi..."

"Maafkan saya. Saya yang buat Rizki seronok sangat tadi," balas isterinya sambil mengerling Rizki dan Remy menyakat Rahmah sambil mengemas meja makan.

"Jadi, tak perlu beritahu warga 8 tentang getaran dari tubuh Remy siang tadi?" duga Rithauddin yang sudah dibisikkan tentang kejadian di butik siang tadi.

Ros menggeleng. "Rasa saya, belum perlu."

Remy8Where stories live. Discover now