Yuzairy terdiam sebentar mendengar analisa Remy. Tak dia sangka pemuda itu begitu matang.
Lalu bila sampai di restoren, Yuzairy biarkan Rizki dan Melia duduk sendiri, tapi kerusi untuk Rahmah, bersungguh-sungguh dia tarikkan agar senang gadis itu duduk. Kemudian dia sendiri segera duduk di sebelah Rahmah sebelum Yuzi sempat melabuhkan punggung.
"Ulat bulu dah naik daun..." Melia berbisik pada Rizki dan Remy yang duduk sebaris dengannya tatkala Yuzairy cuba memberi cadangan juadah kepada Rahmah.
Rahmah cuma tersenyum dan mengangguk sopan, kemudian cuba tak endahkan Yuzi dan Yuzairy sibuk bergaduh tentang juadah apa yang harus dikongsi.
Rizki rasa, lepas ini pasti Rahmah serik nak ikut dia keluar dengan kawan-kawannya.
Namun Rahmah tenang sahaja. Dia selamba menemuramah Yuzi tentang kursus yang bakal diambil di Sweden.
"Abang Yuzairy ikut jejak emak, jadi jurutera. Cuma abang belajar di Jepun, emak di Sweden. Jadi Yuzi ikut jejak ayah, belajar Swedish secara formal. Walaupun tak sama dengan Swedish yang kami guna bila bersembang di rumah, harap-harap senanglah sikit nak lulus ijazah bila ambil subjek yang familiar ni," terang Yuzi pada Rahmah.
Yuzairy sibuk menuangkan teh hijau untuk semua orang. Untuk Rahmah, penuh, kemudian didekatkan cawan itu untuk memudahkan.
"Kalau minat semua jadi senang," sampuk Melia yang sedang makan edamame.
"Betul," Rizki bersetuju.
"Tak semuanya jadi mudah kalau ada minat yang mendalam sekalipun," sampuk Yuzairy tiba-tiba, dan matanya sengaja memandang Rahmah.
"Saya sokong. Kena usaha, minat saja tak cukup," Melia melontar pendapatnya pula.
"Kalau usaha juga, tapi tak berjaya, macam mana Remy?" tanya Yuzairy, mengharap satu-satunya warga lelaki dalam kumpulan itu menyebelahinya.
Dan Remy faham sangat maksud kiasnya.
"Kalau ikhlas, jujur dan serius minatkan sesuatu, usahalah lagi sampai berjaya dapatkan apa kita nak," balas Remy, lebih untuk dirinya sendiri, bukannya hendak sangat dia menasihat. Dia tak dapat menahan diri daripada melontar pandangan ke arah Rizki.
Rizki cuma menghadiahkan anggukan kecil. Fahamnya, Remy maksudkan Yuzairy perlu berusaha lebih lagi untuk menarik perhatian Rahmah.
Rahmah yang juga menangkap maksud kias Yuzairy itu awal tadi, terus berlakon jadi si tuli.
Meja yang dihuni enam muda-mudi itu hening.
Mujurlah pelayan bawakan chawanmushi yang dipesan khas oleh Yuzairy.
"Jom, saya tunjukkan cara paling sedap makan chawanmushi. Mula-mula, masukkan chilli flakes..." Yuzairy segera mulakan tutorial makan gaya Jepun seperti yang dijanjikan sebelum sampai ke restoren tadi.
"Kemudian, letak sedikit sos tonkatsu. Barulah makan. Ha, cubalah!" sarannya bila dilihat lima temannya semua sudah sibuk dengan cili dan sos.
Rahmah sebenarnya tidak gemar sangat chawanmushi. Tapi bila ditambah cili kering dan kicap Jepun... Dia tersenyum sesudah menelan suapan pertama.
"Ok ke tak ok Cik Rahmah?" duga Yuzairy.
"Sedap! Selama ni kalau makan set yang ada chawanmushi, saya bagi pada Riz saja, tak minat," Rahmah terpaksa berterus-terang.
Yuzairy senyum nipis, cuba untuk tidak terlalu suka. "Harap-harap lepas ni awak berminatlah," katanya berlapis makna.
Tergeleng Rahmah di buatnya, tapi masih dia memaniskan muka. Malas Rahmah nak layan lelaki yang lebih muda.

ANDA SEDANG MEMBACA
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?