"Takkan nak biarkan Mak Ngah sendirian di hospital tu?" desak Remy sekali lagi, pada bapa saudaranya yang dipanggil Pak Lang itu.
Lelaki itu kelihatan serba-salah. "Maafkan Pak Lang, tapi ini yang Mak Ngah kau nak, Remy. Dia tak nak kau tengok dia pada saat kesihatannya makin teruk. Lagipun, sekolah kan penting. Esok, hari pertama. Remy belum ada apa-apa lagi kan?"
Remy merenung bangunan hospital yang ditinggalkan. Waktu ibunya meninggal dahulu pun, dia diambil Mak Ngah supaya pulang. Anak jenis apakah Remy ini kalau kubur ibu sendiri tak tahu di mana? Takkanlah Mak Ngah pun bakal terima nasib yang sama, penerima al-Fatihah di hujung doa sahaja?
Seolah boleh membaca fikirannya, Pak Lang menarik Remy agar duduk sebentar di bawah pohon rendang di luar wad Onkologi hospital daerah itu.
"Remy, yang penting doa. Ikhlas, pasti sampai. Nasihat ibu Remy, kita harus ikut. Amanatnya, Mak Ngah terpaksa teruskan," kata Mak Ngah bila Remy cuma merenung matahari petang yang suram.
Kalau waktu pergi ibunya itu Remy kecil, tak menjadi persoalan besar kalau tak dibawa saudara ke pengkebumian ibunya sendiri. Kali ini, Remy sudah hampir mencecah 13 tahun. Bukan budak lagi. Tak harus dibiarkan wanita yang juga dianggap orang tuanya, mati sendirian di kalangan orang yang tiada pertalian dengannya. Kak Sulastri cuma pembantu.
Pak Lang terus memaut bahu Remy yang hampir sama tinggi dengannya itu, dan dibimbingnya remaja itu ke kereta miliknya.
Lelaki berusia 43 tahun itu tahu, dia ada tanggungjawab yang harus dilaksana, namun dia tidak sedap hati terus-terusan menipu tentang status ibu dan ibu saudara Remy itu.
****
Tiga petang berlalu, sebelum Remy mampu berbicara lebih daripada sepatah dua kata.
Rizki: Remy, aku baru dapat tahu. Takziah.
Remy: Terima kasih Riz.
Rizki: Kau ok?
Remy: ...
Rizki: Maaf, soalan bodoh. Aku kan doh doh, dohhh.
Remy: (tergelak). Taklah. Sharif yang doh doh.
Rizki: Hish, terbatuk si Sharif. Dia baru nak mandi pagi tu.
Panggilan telefon berterusan. Itu kali pertama Remy ketawa sejak mendapat berita ibu saudaranya sudah tiada.
Rizki sahaja yang mampu menceriakannya, biarpun Remy kini punya beberapa rakan baru di sekolah menengahnya. Berpindah ke Pulau Pinang tidaklah seteruk yang Remy sangka.
Cuma, dia tak menyangka dia jadi popular. Dikejar pelajar perempuan yang sebaya malah lebih tua. Kata Pak Langnya, wajahnya dah berubah sejak dia bergelar pelajar sekolah menengah. Remy tak nampak apa perubahannya.
Bila diceritakan begitu pada Rizki, gadis itu cuma ketawa. "Lepas kau tumbuh sayap nanti, larilah mereka semua. Sementara ni, kau buat tak tahu sahaja."
Remy juga tak kuasa nak melayan karenah mereka, tapi ada sepasang kembar, Mia dan Nia, yang kini rajin benar mengawal pergerakannya. Kata dua gadis itu, mereka kasihan pada Remy yang asyik diganggu sahaja. Dalam buku teks, asyik terselit surat menghulur salam perkenalan. Di kantin asyik diganggu kakak senior yang mahu duduk bersebelahan.
"Mia dan Nia tu pun sukakan kau, aku pasti," kata Rizki mengulas situasi itu.
"Pandai-pandai je kau ni," elak Remy.
"Aku tahulah. Aku pun perempuan juga."
"Aku tahulah kau pun perempuan juga. Eh, Riz. Kau tak ada lelaki mengorat kau ke?"
Ketawa besar Rizki mendengar soalannya di hujung sana talian. "Sekolah aku sekolah berasrama penuh yang semuanya perempuan sahaja. Kau lupa?"
Remy pula tergelak. Sungguh dia lupa. "Manalah tahu, abang kantin ke mengorat kau? Abang rakan sekelas kirim salam ke..."
"Kalau ada pun, aku tak nak layan lah. Aku kena belajar rajin-rajin. Nak ikut kakak, belajar di New Zealand. Atau abang, di Jerman. Dapat Universiti Malaya pun aku bersyukur. Tapi itulah, aku dengar, UM lagi susah nak masuk berbanding sesetengah universiti di luar negara. Gilalah," celoteh Rizki.
"Kau nak masuk UM ke?"
"Kalau dapat, nak lah!"
"Aku pun nak masuk UM jugalah."
"Kita jumpa sana!"
"Ok!"
"Kalau tak dapat UM?"
"Kita jumpa je lah kat mana-mana. Janji, jumpa."
"Ok!"
****
Mia dan Nia menghulurkan air dan makanan pada Remy. Mereka tahu, anak yatim piatu itu tak gemar habiskan duitnya di kantin. Tak suka pula meminta-minta pada bapa saudaranya, sedangkan bapa saudaranya itu baik orangnya, pemurah pula.
"Apa ni Mia, Nia, tak perlulah susah-susah," kata Remy setelah berterima kasih.
"Aku cuba resipi ciptaan aku sendiri!" umum Nia.
"Dan ni air, penawar, kalau sakit perut kau nanti," tambah Mia pula, terkekeh-kekeh ketawa.
Mereka bertiga makan pasta yang dimasak Nia dengan garam, bawang dan kicap.
"Eh, sedaplah, Nia," puji Remy, ikhlas. Pasta yang berbaki dibahamnya.
"Betul ni Remy?" Nia tidak percaya pelajar lelaki yang disukainya suka pula masakannya. Bilalah Remy nak suka tukang masaknya pula.
"Betul. Air jus Mia buat pun sedap. Kau tambah garam ke dalam jus oren ni?" tanya Remy. Segar betul rasanya setelah air itu diminumnya, ada rasa masin di hujung lidahnya setiap kali cecair bernutrien tinggi itu ditelan.
"Tak adalah. Jenis oren yang aku guna ni, bagus agaknya," Mia merendah diri, dengan harapan dengan jus itu terbukalah hati Remy untuk melihat yang tukang buat jus itu, sukakan dia.
"Jom, perpustakaan!" ajak Remy.
Dan mereka bertiga berjalan seiringan.
Dari kejauhan, si tukang masukkan garam dalam jus minuman mereka tersenyum sambil terus berselindung di pepohon di taman.
YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?