#Remy8 - Bab 19

55 4 0
                                    

Hampir dua minggu menumpang kasih di rumah keluarga Rizki, Remy makin pandai membawa diri mengikut rentak kehidupan di sini.

Malam itu cuma Rithauddin sahaja yang tidak ada kerana masih bekerja. Mereka makan juadah hasil air tangan Rahmah, kemudian membuat panggilan video kepada Rahman. Pelajar universiti itu gembira bila Remy layangkan depan kamera, album Metallica berformat vinyl yang sudah dibelikan khas untuknya.

Satu panggilan video juga dibuat kepada Pak Lang, Remy ceritakan dia baik-baik sahaja manakala Rizki dan ahli keluarganya sekadar bertanya khabar, mengirim doa sambil
melambai ke arah skrin panggilan.

Selesai panggilan video, mereka menonton TV pula.

"Kau masuklah tidur dulu, Remy," ujar Rizki bila nampak Remy menguap untuk kesekian kali. Teh panas juga sudah sejuk. Ada kerepek yang sudah hampir masuk angin.

Jam sudah 11.15 malam, Ros dan Rahmah sudah masuk tidur setengah jam tadi. Tinggallah Rizki dan Remy di ruang TV, melayan cerita tentang seorang lelaki yang jatuh cinta pada seorang gadis yang berlainan agama.

Siang tadi mereka membantu Ros di butik, Remy jadi mangsa bila seorang bakal pengantin lelaki terkena alahan, gatal-gatal satu badan lalu tidak dapat mencuba busana raja sehari.

Dipaksa jadi model, Remy asyik diketawakan Rahmah dan Rizki kerana malu-malu disegakkan dengan sampin dan tanjak. Nasib Remy baik bila pelanggan butik itu beri dia tips RM50 atas jasa baiknya.

Untuk makan malam, Remy sekali lagi berjasa. Rahmah mahu buat juadah ayam penyet, jadi Remy tawar diri tumbukkan sambalnya. Sesudah makan dia tetap membantu Rizki mengemas dapur.

Mengenang semua ini Rizki pasti Remy kepenatan.

"Tak apa, aku teman kau. Kau nak tunggu Pakcik Rithauddin balik, kan? Aku temankan," balas Remy lalu meregangkan sedikit badan.

"Kau mesti penat, tak perlulah tunggu dengan aku," pujuk Rizki.

"Taklah. Cuma, nak tutup aircond, boleh?" mohon Remy.

Dia terus menekan butang Off pada alat kawalan jauh bila Rizki setuju.

"Entah kenapa aku dari dulu kalau di tempat sejuk saja, mesti banyak menguap. Walhal tak mengantuk langsung. Menguap, tanda kurang oksigen. Pelik juga badan aku, kan?" Remy ajak Rizki bersembang.

Mendengar itu Rizki langsung teringat nak bertanya sesuatu. "Eh Remy, kau ingat tak pasal hal jari kau yang melecet lepas main guitar dulu? Yang lepas tu, kau cuba petua yang mama bagi. Petua kopi. Ada kau dapat peluang cuba petua tu lagi?"

Menggeleng Remy. "Lepas kulit jari aku tumbuh elok, tak pernah aku luka sebab berlatih gitar lama-lama, atau luka di mana-mana pun. Er, aku patut bersyukurlah, kan? Cuma tertanya-tanya juga, kenapa pelik betul kejadian tu. Pelik sangat ke, kulit aku ni? Agak kau, ada tak saintis nak bereksperimen? Mana tahu keturunan aku ada genetik gajah jadian?" gurau Remy.

Tersembur sedikit air teh yang baru diteguk Rizki. Kelakar ya, ngeri pun ada. Remy terhibur melihat gelagatnya.

"Hish. Bala besar kalau kau menyerah diri pada saintis. Nanti dia siat kulit kau buat ganti sut Kevlar untuk Benjamin Netanyahu, nak?" ugut Rizki.

Remy tergelak. "Takkanlah sampai macam tu sekali. Imaginasi kau ni..."

Rizki ikut tergelak kecil. "Hei kau nak tahu, pernah sekali, papa terkena selesema yang tak baik-baik. Pergi hospital UKM. Habis hidungnya asyik ditonyoh dek doktor pakar, doktor bertugas, doktor pelatih. Mereka syak dia terkena Influenza B. Itu baru selesema. Hospital biasa. Kau nak jadi macam tu?"

Menggeleng lagi Remy. "Risau juga kau ya, kalau aku jadi bahan eksperimen doktor-doktor, saintis-saintis. Itu baru kulit aku saja yang aneh. Belum aku keluarkan kepak lagi, kan?" dia menyakat.

"Kalau keluarlah kepak kau esok, tolong hantar lokasi pada aku dengan kata laluan, The Eagle is here. Aku datang selamatkan kau daripada saintis-saintis tu," janji Rizki masih ketawa.

"Janji tau, kau akan selamat kan aku?"

"Janji! Kalau tengah jawab soalan peperiksaan akhir tahun pun, aku akan angkat kaki terus pergi cari. Nanti aku jadi macam ninja, gerak solo je keluarkan kau dari makmal saintis gila tu."

Rizki buat aksi ninja melempar tiga keping shuriken.

Terharu Remy.

"Apa lah kau ni. Mana ada saintis nak kaji badan aku. Kepak aku pun tak muncul-muncul sejak aku baligh masa Tingkatan Satu. Ingat tak kau merepek cakap kepak aku akan muncul lepas suara aku berubah? Tak ada pun. Agaknya kepak aku, boleh camouflage," gurau Remy lalu dua keping kerepek pisang tanduk dilambainya depan Rizki, kononnya itulah sayap.

Terkekeh mereka berdua.

"Hah, eloklah kau dah boleh gelak sakan. Macam aku tak tahu, kau tunggu juga papa kau sebab kau risaukan dia, betul tak?"

Rizki mengaku. "Ya. Kalau tak di asrama, aku pasti akan tunggu dan salam dia dulu sebelum tidur. Kalau tak, rasa ada yang tak kena saja," terang Rizki, sedikit segan kerana umur dah 17 tapi masih berlagak jadi anak manja.

"Patutlah kau selalu tunggu dia balik... Tapi kali ni dia ke Kuantan. Pukul 5 petang tadi baru nak bertolak pulang ke KL, kata Auntie. Lambat lagi agaknya. Jem pasti teruk."

"Tak apa, aku nak tunggu juga," Rizki berdegil. Kakinya disilangkan, dia langsung bersila di atas sofa.

Itulah Rizki yang Remy kenal, sangat ikhlas menyayangi. Setia pada keluarga dan sahabat. Kalau tidak masakan dia tak pernah putus membalas emel, berutus hadiah dan surat; bertukar pendapat dan nasihat, malah sudi membuat panggilan video kepada Remy meskipun terpaksa curi-curi keluar hostel.

"Sayang betul kau pada Uncle," komen Remy sambil tersenyum, namun mood baiknya surut tanpa sebab.

Remy tahu selain keluarga angkat Rizki amat menghargainya sebagai sahabat. Remy cuma sahabat. Kawan. Itulah yang buat hatinya bermuram durja.

Jejaka itu cuba mengalihkan perhatian pada TV, dan kerepek pisang di meja turut dicapainya.

Namun seleranya ditahan secebis perasaan, entahlah apa. Seolah tak bersyukur yang dia punya sahabat sebaik Rizki. Malah diberi peluang bercuti di rumah keluarga Rizki pula sepanjang bapa saudaranya menunaikan haji.

Rizki yang mula-mula tadi juga sudah kembali menonton TV, mengalih semula perhatian kepada Remy.

"Kau kenapa?" tanyanya perlahan.

Remy tidak segera menjawab.

Remy8Where stories live. Discover now