Rahmah teringat hari pertama bapanya memperkenalkan Rizki sebagai ahli baru keluarga mereka.
Anak kecil berusia 3 tahun itu bijak, tidak banyak ragam dan sangat aneh.
Sekali-sekala bila Rahman buat muka lawak, Rizki akan ketawa hingga menggelebeh perutnya. Maksud menggelebeh, perutnya menjadi besar, kemudian bergegar bagai agar-agar yang baru nak keras tapi diusik.
Rahmah dan Rahman akan panik. Rizki seterusnya akan tertawa lagi melihat dua beradik yang berusia 10 dan 8 tahun itu menggelupur.
Rizki suka melihat wajah Rahman. Walaupun dia manja dengan Ros dan Rahmah, bila ternampak wajah Rahman yang suka berkurung dalam bilik bermain videogame, dia pasti tersenyum gembira, hingga badannya mengeluarkan cahaya. Begitu juga kalau dia merindukan Rithauddin yang selalu bermesyuarat di luar negara. Sekembali sahaja bapa angkatnya itu, Rizki akan berlari-lari sambil mengeluarkan cahaya lalu memeluk kaki Rithauddin.
Sebab itu Rahman gemar menggelarkannya 'Mentol'. "Macam lampu, menyala bila kena petik suisnya," komen jejaka itu.
Kata papa, Rizki punya kelebihan kerana bapanya bukan makhluk Bumi. Itu rahsia keluarga, tak boleh diberitahu pada sesiapa pun, dan Ros, Rahmah dan Rahman berjanji akan menjaga amanah itu.
Pada usia 6 tahun barulah Rizki pandai menyembunyikan kuasanya. Dia makin pandai mengekalkan bentuk tubuhnya. Bila ketawa perutnya tidak lagi menggelebeh. Bila terlalu gembira, dia tahu menahan diri daripada mengeluarkan cahaya.
Melihat kegirangan Remy dan Rizki berjalan menuju ke rumah Melia, Rahmah teringat kali pertama dua sahabat itu dipertemukan. Usia Rizki baru 7 tahun, Remy pula 6. Saat itu bapa Remy terpaksa meninggalkan emak Remy. Pasangan itu datang bertemu Rithauddin dan Ros, dan lebih sejam mereka berbincang dalam bilik kerja bapanya.
Turut ada bersama mereka, Mak Ngah dan Pak Ngah Remy. Tak berkelip mata Rahmah dan Rahman melihat empat tetamu itu. Sudahlah emak dan ibu saudara Remy, kembar seiras. Ayah dan bapa saudara Remy juga hampir sama rupa mereka, cuma, bapa Remy berambut hitam, hitamnya sepekat malam manakala bapa saudaranya berambut perang hampir seperti lelaki kaukasia.
Remy yang ikut datang bersama sepupunya yang setahun lebih tua itu, senang sekali dijaga Rahmah. Beri makan, mereka makan. Suruh tengok TV, mereka menurut sahaja. Diajak Rizki bermain, senang sahaja mereka mesra.
Kata Rizki pada Remy dan sepupunya Rowena, "Jom main Playdough?"
Lalu Remy dan Rowena ikut saja. Tak sampai lima minit, masing-masing sudah membuat bentuk kegemaran masing-masing.
"Ini hati saya," tiba-tiba Rowena bersuara.
Rizki membelek olahan si rakan baru. Menggerutu. "Kenapa bentuknya macam tu?" tanya Rizki.
"Sebab saya sakit. Saya nak kena pergi hospital. Tapi hospital tu jauh. Nanti Remy tinggal seorang..." balas gadis kecil itu.
Keruh muka Rizki mendengarnya. "Tapi kalau sakit mestilah pergi hospital. Tak apa, nanti saya jadi kawan Remy, boleh kan Remy?" tanya Rizki pada Remy.
Remy tersengih-sengih. "Mestilah boleh! Ha, dengar tu Rowena? Awak kena pergi hospital. Saya dah ada kawan, tak payah nak risau dah," katanya pada sepupunya.
Itulah kali pertama dan terakhir Rahmah bertemu Rowena, sepupu Remy itu.
Remy dan Rizki tidak bertemu lagi hinggalah lima tahun seterusnya, iaitu ketika ibu Remy meninggalkannya dan Remy bertukar masuk ke sekolah yang sama dengan Rizki. Apabila masuk pula aktiviti balapan, mereka makin rapat biarpun Rizki setahun lebih tua.
Rahmah menghela nafas di hujung doanya. "Moga yang elok-elok sahaja datang pada mereka berdua," bisiknya sendiri.
***
"Sayap?" tanya Rahmah sebaik sahaja mendengar kata-kata Remy.
Aku keluarkan sajalah sayap aku, boleh? Cepat sikit kita sampai. Itulah yang Remy sebutkan beberapa saat yang lalu.
Remy nampak serius. Berdebar Rizki. Takkanlah dia dah tahu cara mengeluarkan sayap dan menyimpannya semula dalam tubuh? Remy belum cukup umur lagi untuk buat begitu. Malah kalau dah cukup umur pun, perlu lalui latihan. Hati Rizki terus digugat debar.
"Hoi! Aku berguraulah! Tengok muka kau tu? Pucat, kenapa? Panas sangat?" sergah Remy.
Hampeh! Marah Rizki dalam hati, cuma untuk sesaat. Saat seterusnya seluruh tubuhnya dibanjiri lega.
"Aku cuma risau, kau pakai deodoran tak pagi tadi? Kalau kau berkepak ke rumah Melia berbau tengit, aku juga yang malu nanti," perli Rizki.
Berdekah Remy. "Doh Doh la kau ni!"
"Kau tu yang Doh Doh. Doh Doh!"
Melia makin ceria wajahnya di hujung laluan teduh itu. Dari jauh lagi dia sudah nampak, rakan Rizki itu kacak!
"Assalamualaikum!" laung Rizki.
"Waalaikumsalam, Rizki... Lamanya aku tunggu. Masuklah," ajak Melia.
"Inilah Remy, kawan baik aku masa bersekolah di Shah Alam dulu," Rizki memperkenalkan.
"Remy, Melia ni pelajar terbaik Matematik. Dia yang rajin mengajar aku," terang Rizki pada Remy pula.
Tersipu-sipu Melia. Tapi bila Remy menghulur salam, disambutnya segera.
Mereka masuk ke bilik di tingkat bawah rumah Melia yang sudah dipersiap seperti studio. Dindingnya tebal dan ada beberapa alat muzik termasuk gitar dan dram.
Sambil bersembang mereka mula bermain bersama lagu kumpulan Search, Laila Namamu Teratas. Itu lagu kegemaran Melia, yang biasa memainkannya menggunakan keyboard.
Sepanjang mereka bermain alat muzik, bukan sahaja muzik yang dipadu. Melia asyik bertanya iti ini pada Remy, hingga Rizki mula mengesan minat rakannya itu pada jejaka yang setahun lebih muda daripada mereka.
Bila Remy mohon ke tandas, Melia segera menemuramah Rizki.
"Kau dan Remy, kawan saja kan? Bukan kekasih?" tanya gadis itu.
Wow, straight to the point, desis Rizki dalam hati. "Ya, kenapa?" soalnya.
"Ya Rabbi. Handsome gila. Kau tak nak, aku nak la!" umum Melia.
Tergelak besar Rizki. Tika itu dia teringatkan Mia dan Nia. Kalau kembar dari Pulau Pinang itu ada, pasti Melia mereka kerjakan.
"Jadi kau nak berkenalan dengan lebih rapat? Silakan..." balas Rizki.
"Kiranya kau restu lah, kan?" tagih Melia kerana enggan dilabel perampas.
"Restu apa?" tanya Remy.
"Tak ada apa-apalah," serentak Melia dan Rizki membalas.
Selepas tiga kali sumbang, kali keempat lebih sedap bunyinya.
"Aku rasa nak rekod lagu ni dan cideo kita main lah," kata Melia lalu beberapa alat lain dan komputer digodeknya.
Rizki dan Remy biarkan sahaja.
Selesai bermain, Melia menjemput mereka makan tengah hari di rumahnya. Kebetulan cuma tinggal dia dan pembantu rumah sahaja.
"Remy, di Pulau Pinang, ada yang menanti ke?" tanya Melia cuba memulakan perbualan ke arah status lelaki itu.
Rizki menahan ketawa. Dia cuba fokus kepada sotong goreng kunyit di pinggannya.
"Kawan-kawan sajalah," balas Remy.
"Kekasih?" tanya Melia. Nampaknya Matematik sahajalah yang dia pandai. Mengorat, gagal.
"Ni," jawab Remy, sambil telengkan sedikit kepalanya ke arah Rizki.
Kemudian Remy memandang Rizki lalu senyum.
Melia berwajah mendung.
Rizki pula, tersedak sotong.

YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?