"Wow, Qi, boleh jadi model lah!" puji Melia, bangga benar melihat foto-foto adiknya di dalam katalog.
"Saya suka gambar ni," tunjuk Qi pada muka surat 23, gambar dia dan Kak Rahmah berdua memakai persalinan putih yang diberi nama Yorktown. Set itu moden namun tetap ada ciri Melayu.
Tiga pasang mata yang melihat bersetuju. Memang sepadan rupa Kak Rahmah dan Marzuqi, seolah tiada perbezaan hampir 8 tahun antara mereka.
Melia tiba-tiba menangkap gambar mukasurat itu, lalu dihantarkan kepada seseorang.
"Kau hantar pada siapa, Melia?" tanya Remy.
"Yuzi. Mesti dia forward kepada abangnya. Kalau betul Abang Yuzairy suka Kak Rahmah..."
Kring!
Tak sempat habiskan ayat, Melia tergelak-gelak melihat nama Yuzairy muncul di skrin telefonnya. Panggilan disambut, tapi sengaja dia letakkan fungsi pembesar suara.
"Hello Abang Yuzairy. Apa khabar?" tanyanya sambil tersengih-sengih kepada rakan-rakannya di dalam studio muzik yang hening itu.
"Hello Melia. Abang OK. Melia pun OK? Eh Melia, tadi kan, Yuzi hantarkan gambar pada Abang. Gambar tu, gambar Kak Rahmah dengan seseorang. Siapa tu?" balas suara di seberang sana talian. Laju saja ke topik utama.
Menggelabah la Abang Yuzairy ni! Itulah maksud senyuman pada wajah Melia, lalu Remy dan Rizki hanya mampu menggeleng. Melia memang suka kenakan orang.
"Itu gambar Kak Rahmah dengan seorang model lelaki. Mereka rapat. Dengar cerita kan, lelaki tu jauh lebih muda. Tak sangka Kak Rahmah suka juga lelaki muda..."
Yuzairy terdiam mendengar cecehan Melia. Rizki dan Remy masih jadi pemerhati, Qi pula sudah mula membelek nota lagu.
"Dik, tolong Abang boleh? Siasatlah sejauh mana hubungan mereka. Kalau betul Rahmah sukakan lelaki lebih muda... Abang ada peluang lah nak mengorat dia. Tapi kalau hubungan mereka dah serius, meranalah Abang..."
Melia buat isyarat 'yes!' pada Rizki. Rizki ikut tersengih. Memang dua rakan sekolah itu berkenan benar kalau Yuzairy dan Rahmah bercinta.
"Alah, Melia gurau lah bang. Model lelaki tu, adik Melia sendiri. Kak Rahmah masih solo tau. Abang Yuz betul suka dia ya? Mintalah bantuan Rizki ke, Remy ke... Hubungilah Kak Rahmah melalui mereka."
Yuzairy ketawa lega. "Betul dia adik Melia? Abang ingat, dah berkubur peluang Abang. Sebenarnya, Abang ada buat pembelian atas talian. Sepatutnya, esok atau lusa akan sampai ke rumah Rizki. Abang alamatkan pada Rahmah. Nasiblah Remy dah beritahu Abang nama penuh Rahmah. Dahlia Rahmah binti Rithauddin. Sedap lah nama dia, Melia. Macam padan je dengan Abang, Daniel Yuzairy. Kan?" Yuzairy bergurau.
Tergolek Melia ketawa, Rizki dan Remy pula terhenjut badan cuba ketawa dalam senyap.
"Melia, Abang serius tau. Abang suka Rahmah. Dia... Susah Abang nak lupakan dia. Sampai sekarang teringat wajah dia tersenyum makan chawanmushi. Dia baik dengan Yuzi, pandai jaga Rizki dan Remy. Dia buat muka sombong pun, Abang tahu dia baik. Melia tolong Abang ya. Kalau dia tanya pasal Abang, cakap yang baik-baik je," pinta Yuzairy.
Ketawa Melia reda. "Mestilah, Abang Yuzairy kan paling rajin bawakan kami semua makan. Kalau tak cukup alat tulis dan buku, Abang juga yang tolong carikan. Nanti Melia bincang dengan Remy dan Rizki. Mesti mereka sanggup tolong."
Terus Rizki dan Remy buat isyarat 'ok' tanda setuju.
Selesai panggilan, tak semena-mena Qi buat ulasan.
"Kita cuma budak-budak, tak boleh buat apa-apa. Kalau abang tu suka kakak Rizki, dia kena buat semua sendiri."
Melia bercekak pinggang. "Tak ada salahnya minta bantuan, Qi."
Remy mencelah. "Aku rasa maksud Qi, Kak Rahmah akan lebih mudah terpikat kalau Abang Yuzairy sendiri sungguh-sungguh usahakan sendiri. Kalau dibantu, mungkin Kak Rahmah tak berapa hargai. Betul tak, Qi?"
Qi tersenyum lebar. "Remy pandai."
***
Berjalan pulang dari rumah Melia, mereka baru cuma sepelaung menapak sebelum Remy memegang tangan Rizki untuk mengajar rakannya itu berhenti.
Hampir ternyala 'lampu' dalam badan Rizki. Terasa romantik pula bila tangannya dicapai Remy lalu diajak berhenti di bangku kosong bawah pokok semarak api.
"Riz. Aku rasa, aku memang manusia pelik. Tadi, aku dengar sesuatu yang pelik. Daripada Marzuqi," ceritanya.
Wajah Remy agak pucat. Berderau darah Rizki mendengar pengakuan pemuda itu.
"Cerita pada aku, apa yang kau dengar? Qi cakap apa?" soal Rizki agar Remy bertenang.
Remy melurut rambut pendeknya. "Kau dengar apa yang Qi cakap pasal Abang Yuzairy, kan? Tapi, selepas tu dia ada berjaya-kata lagi, entahlah dalam kepalanya ke atau dalam hati, tapi aku dengar. Jelas! Dan bila aku ulang semula, memang betul. Dan walaupun dia cuma cakap, 'Remy pandai', tapi aku dengar dia berterimakasih pada aku. Dalam kepalanya dia ada kata lagi, aku seorang sahaja yang fahami dia."
Rizki terdiam. Memikirkan betapa istimewanya DNA warga 8 berketurunan bangsawan itu. Dia sendiri tidak pernah punya kemampuan untuk membaca fikiran manusia lain.
"Masa nak balik tadi, Qi katakan pada aku, aku seorang yang faham dia. Dia kata lagi, pesan pada Melia dan ibubapanya, jangan risau sangat kalau dia senyap terlalu lama. Sebab dia terlalu penat nak mengikut cara kita semua bersembang," cerita Remy lagi tadi.
"Oh, waktu kau cakap pada dia, 'aku akan cuba sampaikan pesanan kau', kemudian dia tersenyum suka sangat tu, itulah sebabnya ya?" teka Rizki. Memang tadi terpinga-pinga juga dia dan Melia. Tapi mereka biarkan sahaja Remy dan Qi, nak bergurau barang kali.
Remy mengangguk.
"Kau memang istimewalah Remy. Aku kagum, kau boleh berhubung gunakan cara begitu dengan seseorang yang ada Asperger's macam Qi. Mungkin ada sebabnya Allah swt ciptakan kau macam ni. Mungkin kita patut lepak dengan Qi lagi esok, untuk cuba keupayaan bakat kau ni... Atau, kau nak lupa kan saja hal ni?"
Dua sahabat duduk diam seketika.
"Aku tak pasti apa yang patut aku buat, Riz. Apa pendapat kau?"
Mereka berpandangan.
"Kalau aku, aku nak tahu sejauh mana aku boleh gunakan kelebihan aku. Tapi aku tak mahu sampai orang lain tahu. Cuma Remy, aku harap kau cuma uji kelebihan membaca fikiran orang lain sahaja Remy. Kelebihan memulihkan luka atau menggegar meja tu... Entahlah. Macam bahaya kalau nak bereksperimen... " balas Rizki perlahan-lahan.
"Aku pun teringin nak uji sendiri. Paling tidak, betul atau tidak aku boleh baca fikiran Qi. Qi macam ada banyak nak dikatakan pada keluarganya, cuma dia tak tahu bagaimana atau tak mampu. Sekurang-kurangnya aku nak bantu dia," ujar Remy.
Riz memandang Remy dengan kagum. Diri sendiri belum tentu sejahtera, masih nak dahulukan kebajikan orang lain dahulu. Kalau beginilah semua bangsawan warga 8, Rizki tak teragak-agak nak berikan sokongan.
YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?