#Remy8 - Bab 12

54 5 4
                                    

Malam itu, pada pukul 10.55, Rizki termenung setelah Rahmah menasihati dia.

Ayuh 'boy talk', kata Rahmah padanya awal tadi sebelum mengajak Rizki masuk ke biliknya malam itu. Rupa-rupanya, Rahmah mahu Rizki tahu bagaimana menjaga diri apabila berkawan dengan lelaki. Tapi cuma satu nama lelaki yang disebut-sebut Rahmah.

Remy. Remy, Remy, Remy.

Tapi Remy bukanlah lelaki sangat! terdetik begitu di hati Rizki bila Rahmah berterus-terang mahu berbincang tentang Remy. Dia separuh makhluk asing. Separuh je lelaki!

"Ah kalau ada DNA manusia, kakak kena juga nasihatkan Riz. Lelaki manusia, 50 peratus sahaja sekalipun, masih lelaki. Dia akan pandai memujuk, memikat dan berjanji. Rizki kena pandai jaga bicara, jangan bagi dia termakan pujukan, jangan beri dia harapan, jangan ikut berjanji. Kalau betul sangkaan Rahman, Remy mesti akan cuba ajak Rizki jadi lebih dari seorang kawan. Ajak couple. Bercinta jarak jauh. Rizki mesti tahu apa nak jawab nanti," bebel Rahmah bila Rizki menggumam tentang kelelakian Remy.

Semenjak berita Remy bakal tinggal dengan keluarga Rizki semasa cuti hujung tahun nanti kerana pakciknya akan mengerjakan ibadah haji... Rahmah dan Rahman yang lebih kecoh berbanding Rizki mahupun Ros dan Rithauddin!

Dua beradik itu risaukan adik bongsu mereka, yang mereka anggap terlalu lurus berbanding manusia mahupun makhluk asing.

Lalu Rahman yang masih di luar negara menggesa Rahmah yang baru menamatkan pelajaran di peringkat Sarjana itu agar menasihati Rizki.

"Remy tu sekarang, 16 tahun. Saya tahulah jiwa remaja usia begitu macam mana. Kalau ikut cerita Rizki, nampak sangat Remy tu sukakan dia. Rizki pula bendul saja macam tak perasan Remy tu cuba beritahu dia. Riz... Riz..." keluh Rahman melalu telefon.

Rahmah faham sangat apa yang dirisaukan oleh Rahman. Dia tahu Ros juga risaukan hal yang sama.

"Mama risau kalau Remy dan Rizki saling suka sama suka. Papa tak cerita banyak tentang tamadun 8. Tapi pernah mama dengar, sejarah mereka pernah melalui zaman gelap ketika warga bangsawan dan pahlawan dibiarkan berpasangan. Apa yang terjadi waktu itu, mama tak pasti tapi ia mengubah perlembagaan planet itu, Rahmah. Sejak itu mereka tak lagi membenarkan bangsawan dan pahlawan bergaul bebas. Riz dan Remy takkan dapat kesudahan yang baik kalau kita biarkan mereka terlalu rapat," kata Ros dahulu.

Remy akan sampai ke rumah ini beberapa hari sahaja lagi.  Rahmah terpaksa nasihatkan adiknya agar mereka tidak terbabas. Kasihan Rizki. Kasihan Remy. Mangsa keadaan betul lah dua half-alien ni, getus Rahmah dalam hati.

"Remy cuma sahabat saja, Kak Rahmah. Rizki anggap dia sahabat baik. Remy pun sama. Nak pujuk apa? Janji apanya?" Rizki bertanya, menarik kembali perhatian Rahmah ke suasana serius di bilik.

Rahmah tatap wajah gadis berusia 17 tahun itu. Sepatutnya dia seperti rakan sebayanya, cuma perlu risaukan keputusan SPM sahaja. Tak payah sibuk menjaga kebajikan seorang putera yang tak tahu pun asal-usulnya. Tak payah berbakti pada planet asal pada usia sebegini demi menebus 'kesalahan' ibubapa kandungnya.

Dan yang paling penting, Rizki perlu elakkan diri daripada terperangkap dalam soal emosi remaja yang tidak keruan.

"Kakak tengok masa Riz dan Remy bersembang dalam panggilan video tadi, bunyi Remy macam dia dah sediakan sesuatu yang besar untuk Riz. Balik-balik dia sebut tentang hadiah istimewa untuk Riz. Kakak rasa Remy mahu ajak Riz ke peringkat seterusnya," kata Rahmah, sudah terbayang Remy datang dengan beg galas berisi pakaian, kelengkapan diri, selain cincin emas dan buku nota bertulis segugus puisi cinta karangannya untuk Rizki.

Jangan tanya kenapa imej itu yang muncul dalam kepala Rahmah. Tapi setakat yang dia kenal Remy, dia pasti Remy jenis jejaka yang suka mengejutkan seseorang dengan usaha besar. Sanggup bersusah-payah demi insan yang disayang. Macamlah dia lupa yang Remy beratur dua jam demi dapatkan buku Harry Potter untuk Rizki dulu.

"Oh, itu. Riz rasa, Riz tahu apa. Dulu, dia ada bertanya tentang pewangi. EDT lah, EDP lah. Mesti dia belikan Riz pewangi. Itu saja, tak ada janji nak berkasih-kasihan segala. Kakak jangan risaulah," Rizki cuba meyakinkan Rahmah, biarpun sebenarnya dia berdebar juga menunggu kedatangan Remy tiga hari lagi.

"Ok, kalau Remy ajak Riz jadi girlfriend dia, Riz nak jawab apa?" duga Rahmah.

Rizki terdiam seketika. Tak pernah terlintas Remy akan jatuh hati padanya. Mereka sahabat!

"Kami kawan je kak... " lemah saja jawapannya.

"Dulu, mungkin sahabat sahaja. Dah remaja ni kakak risau Remy berubah pula. Kalau dia cuma anggap Riz sahabat, kenapa bila si kembar tu mengaku sukakan dia, dia tak pilih saja salah seorang daripada mereka?"

Rizki terdiam lagi. "Eh sebab tak adil lah pilih salah satu. Remy tu baik hati, takkan sanggup dia lukakan hati kawannya."

"Lepas tu gadis di tempat tuisyennya tahun lepas, yang cantik dan solehah tu kenapa dia tolak juga? Bukan Riz cerita mereka nampak mesra dalam kelas, kadangkala balik rumah jalan kaki bersama-sama?" tanya Rahmah lagi.

Rahmah tahu Rizki selalu memantau aktiviti Remy selepas tamat waktu sekolah.

Rahmah tahu, Rizki yang punya DNA pahlawan 8 itu berkemampuan untuk terbang sepantas kilat untuk bergerak dari asramanya ke rumah Remy. Malah sejak berpisah di sekolah rendah dulu, hampir tiap hari Rizki akan menyiasat keadaan Remy. Rithauddin sekeluarga cuba membantu dengan membelikan kamera kecil yang boleh diakses Rizki melalui telefon bimbit sahaja, tapi Rizki tetap menjalankan tanggungjawabnya.

"Oh, Remy kata Qaira tu kelakar, itu saja. Tapi Qaira tak minat muzik macam si kembar tu..." Rizki cuba mengingat kembali kes Remy rapat dengan Qaira yang turut membimbangkan Mia dan Nia hujung tahun lepas.

Tahu-tahu, lepas peperiksaan Tingkatan 3, Qaira mendapat tawaran ke sekolah maktab berasrama. Rizki nampak sendiri wajah serba-salah Remy apabila dia terpaksa menolak cinta Qaira di dalam KFC Bayan Lepas, dengan ucapan, "Maaf, saya anggap awak sebagai kawan sahaja."

Kecewa di hati Qaira nampak jelas di wajahnya. Kesal di wajah Remy begitu juga.

Petang esoknya Mia dan Nia cuma berpandangan bila Remy ceritakan pada mereka. Rizki tahu Mia sudah lepaskan Remy bila gadis itu katakan, Qaira pasti boleh bangkit daripada episod luka ini.

"Qaira kuat, jangan risaulah," kata Mia.

Rizki tahu Nia juga sudah lupakan cinta monyetnya pada Remy bila dia nasihatkan, janganlah Remy rasa bersalah kerana berterus-terang pada Qaira.

"Kalau kau bagi dia harapan, lama-lama makin tak ikhlas. Lagi parah sakit hatinya kalau tahu kau terima sebab sekadar kasihan," hujah Nia.

Menerusi email Rizki sendiri cuma menasihat, "Kau lebih tahu diri kau sendiri, Remy. Kalau yakin ini keputusan terbaik, teruskan, dan jangan pandang belakang dah."

Dan Remy membalas, "Aku cuma ikut naluri aku sahaja, Riz. Aku tahu hati aku pada siapa."

Mungkinkah Remy maksudkan...

"Riz, please, jadilah girlfriend aku. Ha, bila Remy cakap macam tu Riz nak cakap apa?" gamitan suara Rahmah menyentak lamunan Rizki.

Mendung Rizki. "Tak tahu?" dalihnya.

Rahmah mendengus.

"Nak cakap apa ya kak? Tak sampai hati Riz nak kecewakan Remy. Lagipun, Remy tak boleh stress. Kalau terkeluar sayapnya sebelum dia belajar teknik mengawal DNA badan, habislah!" Rizki mula tak senang duduk di atas katil mewah kakaknya.

"Ikut nasihat kakak ni."

Remy8Where stories live. Discover now