Mia dan Nia muncul lagi pagi itu, di meja kegemaran Remy yang terletak di bucu kantin. Meja itu terlindung daripada pandangan ramai dek dua buah tiang besar yang turut dihias pokok.
"Remy, aku masak kari Jepun malam tadi. Ni, aku dah panaskan untuk kita makan sama-sama pagi ni," ajak Nia.
Mia menghulur air jus.
Remy memandang bihun goreng yang dibelinya tadi. Lupus 50 sen. Tapi kuantitinya cukup banyak, kalau dihabiskan juga, Remy tahu dia akan kekenyangan hingga petang, tak perlu makan tengah hari nanti.
Biarpun Pak Lang bukanlah orang susah dan Remy diberi duit belanja, jejaka itu tidak mahu membazir. Dia sudah terbiasa menabung, seperti ibu dan ibu saudaranya. Dia tidak dibesarkan dengan kemewahan. Ibu dan ibu saudaranya dahulu punya pekerjaan yang sederhana, kerjaya mereka cuma berbekalkan diploma sahaja.
"Jom, kita kongsi makan bihun ni," ajak Remy kepada kembar di hadapannya itu. Dia bersyukur kerana boleh kembali mesra dengan dua beradik itu setelah selesainya insiden yang tidak sepatutnya berlaku.
Insiden di mana mereka mengaku berebutkan Remy.
Remy menolak dengan baik, dan setelah dipujuk, Mia dan Nia juga menerima dengan baik.
Mereka mahu menjadi teman rapat Remy. Remy iyakan saja, tapi dia mengambil keputusan untuk memberitahu mereka tentang Rizki.
"Rizki, kawan aku yang paling rapat. Tapi selepas dia, kau berdualah sahabat aku di sini," katanya.
Mia tidak dapat membendung cemburu. "Siapa Rizki tu? Lelaki ke perempuan?"
Remy tergelak. "Dia perempuan. Kawan baik aku, sejak aku Darjah 5 dulu."
Nia mengalah. "Oh, dah bertahun-tahunlah kau kenal dia ya."
Sambil mengangguk, Remy bercerita lagi. "Rizki yang ajar aku bagaimana nak main gitar."
Lalu pagi ini, Remy tidak terkejut apabila Mia dan Nia umumkan yang mereka sudah mendaftar masuk kelas muzik yang dianjurkan oleh guru Sastera Melayu sekolah, Encik Saidi.
"Encik Saidi boleh ajar keyboard, gitar, gitar bass dan dram. Kau nak masuk sekali tak? Tak mahal pun, seorang RM10 sahaja sebulan. Kelas, setiap petang Isnin. Jomlah Remy," ajak Nia.
Mia juga nampak mengharap.
Namun Remy tidak mampu. "Aku... tak bolehlah. Kau berdua tahu kan, aku tak nak susahkan Pak Lang."
"Kami bayarkan. Aku dan Nia dah setuju nak kumpul duit belanja harian kami, dan bayarkan yuran kelas untuk kau," tawar Mia.
Cepat-cepat Remy menolak. "Eh, tak perlulah susah-susah. Baik kau berdua guna duit tu untuk beli buku rujukan ke, buku cerita ke. Ha, Rizki selalu suruh aku baca buku Harry Potter. Kau berdua cubalah juga," sarannya.
Mia dan Nia murung.
Ligat otak Remy mencari penyelesaian.
"Ataupun... Bila kau berdua dah pandai main alat muzik nanti, kita 'jamming' nak? Kita buat kugiran," ajak Remy, biarpun dia belum pasti bagaimana dan di mana mereka boleh berbuat demikian.
Terus ceria wajah si kembar. "Ok! Kau suka lagu Metallica kan? Aku minta Cikgu Saidi ajarkan," kata Mia.
****
Pak Lang tidak tergelak bila Remy membuka mulut petang itu, mengatakan dia punya masalah wanita.
"Setakat nak jamming, di rumah ni pun boleh, Remy. Tapi lagi bagus kalau Pak Lang bawa Remy ke studio kawan Pak Lang, Studio Rocki. Dekat je dengan sekolah. Boleh Pak Lang minta dia tengok-tengokkan kalian. Ok?"
YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?