LELAKI itu memandang ke arahnya dan tersenyum senget. Sambil merenung dia, lelaki tersebut menggaru hidungnya yang mancung dengan tangan yang masih bergari.
Pada awalnya, Fatiha langsung tak rasa apa-apa. Tapi apabila lebih dari lima minit dia memandu di belakang trak polis tersebut, baru dia perasan yang mata lelaki itu ralit merenungnya sambil tersenyum-senyum gatal. Fatiha rasa macam dicabul apabila direnung sebegitu.
Bulu romanya meremang sebaik sahaja melihat lelaki itu tiba-tiba memberikan flying kiss ke arahnya. Tidak cukup dengan itu, si lelaki psiko itu mengenyitkan mata kepadanya.
“Ya, Allah. Apa kena dengan mamat ni?” Hati Fatiha mula rasa tak sedap.
“Boleh tak kau jangan gatal sangat? Risaukan hukuman kau nanti, boleh?” Fatiha terpekik sendiri di dalam kereta. Geram.
Lelaki itu semakin giat menguratnya dengan renungan yang acah-acah seksi. Kening diangkat-angkat. Bajet sungguh! Akibat geram, Fatiha jegilkan matanya. Lelaki itu tersengih menampakkan giginya.
“Oh, boy…” mulut Fatiha hampir ternganga tak percaya melihat senyuman lelaki itu. Ciskek, macam mana jantungnya boleh bergetar dengan senyuman seorang banduan? Hello? So not Fatihalah. Tak dinafikan lelaki itu kacak. Tapi, gatal macam malaun!
Kali ini lelaki itu memuncungkan mulutnya berkali-kali. Konon-konon nak cium dia berkali-kali. Fatiha menggeliat sendirian membayangkan kalau-kalau dia terkena ciuman yang dihantar melalui angin itu. Kalaulah dia dapat sepak kawasan ‘nur kasih’ lelaki tu, memang puas sungguh rasanya hati dia. Miang gila!
Tak selesa dia dibuatnya. Sudahlah dia memandu sendirian. Pegawai polis di sebelah lelaki itu beberapa kali menggeleng-gelengkan kepala dengan perlakuan lelaki tersebut.
"Ish! Gatal betul mamat ni. Tak sedar ke yang dia kena angkut dengan trak polis tu? Tangan bergari lagi. Ada hati nak tunjuk perangai tak semenggah macam tu..." Mulutnya mengomel tak berpuas hati dengan pandangan penuh nafsu dari lelaki berambut serabai itu.
Perangai, kusmangat! Kenapa dia kena tangkap eh? Kalau dah kena gari, gerenti adalah tu benda jahat yang dilakukannya. Mesti lelaki itu ada kesalahan mencabul anak dara orang... Dari rupa, ada gaya.
Lelaki itu tersengih lagi bila Fatiha menjelingnya dengan tajam.
‘Entah-entah mat ganja? Eeeeyu!’
Lelaki itu melambai kedua belah tangannya yang bergari tadi bersama mulut yang bergerak, ‘hai’. Automatik lidah Fatiha terjelir. Nak termuntah sungguh rasanya. Ini memang betul-betul sampah masyarakat ni!
Kerana tidak tahan dengan gangguan separa seksual dari lelaki tersebut, dia membuat keputusan untuk memotong trak polis itu. Lantaklah trak polis ke trak askar. Dia tak mahu terus ‘dicabul’ oleh mata lelaki itu.
"Gatal! Miang!" Makinya apabila lelaki tersebut sempat mengenyitkan mata sekali lagi kepadanya.
“Aku harap kau kena hukuman berat. Lagi bagus kalau kau kena penjara seumur hidup! Jijik!” Fatiha menyeranah sendiri setelah berjaya memotong trak tersebut.
HERO tersengih-sengih sendiri melihat wajah gadis yang disakatnya itu. Merah menyala. Mulut mengomel geram, comel aje. Geram dia nak cium. Kenapalah mesti dia jumpa gadis secantik itu ketika dia digari? Biasanya dia pakai lawa-lawa, lepak kedai makan apa semua, tak ada pulak dia nak bertembung dengan gadis cantik macam perempuan tadi.
“Hero, sudahlah mengayat. Dia takkan pandanglah kau tu. Kau tu bergari, bukannya menari.” Polis di sisinya membidas. Serentak itu Hero mencemik.
“Eleh, mengaku ajelah kalau jealous.” Hero mencemik. Dia memandang gadis di tadi semula.
“Eh, aku tak jealous langsung dengan kau. Kau yang patut jealous dengan aku tau? Aku serba-serbi lengkap. Ada kerja, ada bini, ada anak. Kau? Apa aje yang ada?” Anwar berkata selamba.
“Kau jangan berlagak boleh tak?” balas Hero semula kepada polis yang begitu kerap dia jumpa semenjak dia belasan tahun lagi.
“Bilalah kau nak serik?” Anwar membebel bersama gelengan kepalanya apabila Hero masih giat menyakat gadis yang sedang memandu di belakang trak mereka.
Kali ini sudah masuk lima enam kali dah Hero berada di atas trak itu bersamanya. Kalau dengan polis lain, entah berapa kali pula… itupun dah banyak kali dia bagi muka dekat Hero. Kalau mood dia baik, dia lepaskan saja.
Hero merupakan banduan yang sangat popular dengan kenakalannya. Bukanlah bermain dadah atau ganja. Tapi… nakalnya lebih kepada kesalahan merempit, bergaduh, bermain daun terup sehingga ke pagi dengan duit taruhan berteraburan di bawah punggungnya.
Hero, setanding nama… memang hebat bermain judi baik daun terup mahupun mesin. Di atas motor, dia jugalah heronya. Kalau bab main nombor ekor saja, dia zero! Pau banyak-banyak, satu pun tak mengena. Sudahnya, habis topi keledar dihentam ke jalan tar akibat geram.
“Comellah awek ni..” ujar Hero kepada Anwar. Sekali lagi kepala Anwar digeleng-gelengkan. Dia pula yang rasa malu bagi pihak Hero. Tiga suku sungguh Hero ni.
Si gadis sudah memotong trak yang mereka naiki. Tak tahan kena sakat agaknya. Tersengih-sengih Hero dibuatnya. Kereta Honda Accord, plat BEE 1883. Aku akan cari kau. Tunggulah…
“Kalau nak tackle dia, kau kena berubah. Tak ada perempuan nakkan lelaki yang keluar masuk jel macam kau ni.” Selamba Anwar bagi ceramah percuma. Hero membalas kata-kata Anwar itu dengan mengorek hidung menggunakan jari kelingking kirinya bersama muka meluat. Muak dia dengan bebelan Anwar itu.
“Hidup zaman muda ni, enjoylah dulu. Bosannya jadi kau ni Nuar. Mesti zaman muda kau dulu nerd aje. Sebab itulah kau kahwin awal.” Selamba Hero mengutuk lelaki yang berbeza hampir dua puluh tahun dengannya itu.
“Enjoy sampai menyusahkan orang lain? Aku pun enjoy juga zaman muda dulu. Takde pulak kena angkut dengan polis. Aku naik bosan dah tengok muka kau masuk trak polis.” Kutuk Anwar. Mereka dah macam kawan pun. Berbual macam rakan sekerja padahal layak digelar rival.
“Tak kena angkutlah sebab kau polis dari zaman muda. Polis mesti tutup ‘bangkai’ kawan dia.”
“Amboi, sedap mulut aje kau cakap kan? Ingat aku ni tak kenal undang-undang macam kau?” Anwar tonyoh kepala Hero kerana geram. Hero mengekek gelak. Dah selalu kena seligi pun dengan Anwar. Anwar baik dengannya. Kalau terserempak di luar, mereka rajin juga melepak minum bersama.
“Kalau bosan tengok muka aku, lain kali jangan tangkap aku dah. Pergi tangkap orang lain. Banyak lagi orang kampung jahat-jahat. Kenapalah kau obses dengan aku, Nuar?” Hero masih dengan muka tak berperikemanusiannya itu. Anwar tergelak mendengar kata-kata Hero itu.
Itu merupakan salah satu sebab kenapa dia angkut Hero. Sebab mulut Hero tu mampu buat dia keras perut. Kelakar dan spontan sekali orangnya. Bukan senang nak jumpa orang yang sebegini sporting apabila digari.
“Kau buat salah, memang kena tangkap. Dah kantoi. Kalau tak kantoi lain cerita.”
“Eleh, sebelum ni kau lepas aje aku. Tak malu ke? Bawak trak besar-besar tapi last-last dapat tangkap aku sorang je? Baik takde orang langsung, at least orang fikir, kau tengah nak cari budak buat hal.” Hero bermain kata.
“Biarlah nak malu pun. Kau sorang je ibarat penuh lori ni dengan budak jahat.” Anwar mengutuk. Hero mencemik. Dah biasa pun kena kutuk macam tu.
“Bila kau nak serik eh? Tak kesian ke kat mak bapak kau?” soal Anwar. Hero buat pekak saja.
“Aku dah seriklah ni. Serik sebab tak lari bila aku ada peluang tadi. Kalau tahu kena ceramah macam ni tadi, aku lari je.” Hero menceber. Sekali lagi Anwar tergelak. Boleh mati dalam gelak dia kalau macam inilah perangai setiap banduan yang dia tangkap.
“Boleh buka tak gari ni?” Hero mengubah topik. Rimas juga dia bila nak garu hidung pun, dia terpaksa mengangkat kedua belah tangannya. Nak bergerak pun tak bebas. Lagi satu, dia rimas dengan bebelan Anwar. Karang, sampai di balai dia perlu menghadap bebelan ayah tirinya pula.
“Tak boleh bukalah, Hero. Karang kau terjun trak ni. Aku tak percaya kat kau.” Anwar geleng-gelengkan kepalanya.
“Aku tak pernah terjun trak bila dengan kau ek? Dulu kau tak gari pun aku. Dulu kau percayakan aku. What happened to you, my friend?” Hero membodek. Anwar menahan dirinya dari gelak. Eh, apa penyakitlah yang budak ni ada? Selamba sangat dia.
“Tapi dengan Sham, kau terjun. Kau redha ajelah. Dah nak sampai ni.”
“Aku terjun dulu sebab dia tu kerek nak mampus dengan aku. Perangai macam setan. Mintak duit je tau. Bila salah aku berjudi sikit, nampak. Rampas semua duit aku. Siap mintak duit lebih lagi kalau tak nak kena tangkap. Bila dia mintak rasuah tu? Ingat elok?” bebel Hero yang begitu bengang dengan peribadi seorang polis bernama Sham itu.
“Manusia.”
“Habis aku ni apa? Bukan manusia? Alien? Kau pikir aku dilahirkan dengan tiga lubang bontot?” Hero memprotes. Anwar mengekek ketawa bila mendengar kata-kata Hero itu.
“Lek…” Bahu Hero ditepuk-tepuk.
“Kenapa tak tangkap dia jugak?” Hero mencemik.
“Ada masa nanti dia kenalah tu…” Anwar malas nak campur sangat urusan polis tak bertauliah itu. Dia pernah buat report tapi tak ada sesiapa yang nak ambil tindakan. Mungkin masing-masing takut dengan pangkat Sham yang lebih tinggi daripada mereka.
“Kau kan tau, aku akan bebas jugak? Bazir masa aje. Baik kau buka gari ni.” Hero masih cuba membodek. Rimas dia dengan tangan yang bergari itu. Rasa tak bebas.
“Sebab bapak tiri kau bermurah hati nak ikat jamin kau.” Anwar julingkan mata ke atas. Bapa tiri Hero merupakan orang atasannya, Inspektor Ismail. Lelaki itulah yang selalu mengikat jamin Hero. Semua orang tahu betapa Ismail sayangkan Hero walaupun sudah terlalu banyak kali Hero menconteng arang ke mukanya.
“Itu tugas dia.” Tanpa rasa bersalah, dia bersuara. Hubungan dia dengan bapa tirinya baik… tapi itulah. Pengaruh rakan sebaya yang membuatkan dia nakal terlajak. Banyak kali juga dia dimarahi Ismail tapi biasalah… anak muda. Degil tu wajib ada.
“Sampai satu tahap nanti, aku rasa dia akan fed up tolong kau…” Anwar menceber. Hero mencemik. Dia menyeluk tangannya ke dalam kocek dengan bersusah payah sebelum mengeluarkan sebatang pencungkil gigi yang wajib ada di situ. Pencungkil gigi itu disua ke mulutnya.
“Aku yang temukan jodoh dia dengan mak aku. Berani dia nak fed up?” selamba Hero berkata.
Dulu, sewaktu kali pertama dia ditangkap, dia menelefon ibunya untuk mengikat jamin. Dari situlah bermulanya pertemuan Ismail dengan ibunya. Masing-masing bergelar duda dan janda. Setiap kali ada masalah, pasti Ismail akan menghubungi ibunya. Disebabkan Hero seorang yang payah serik, maka berlakulah banyak masalah yang menyebabkan emaknya dan Ismail selalu berhubung. Akhirnya, mereka jatuh hati dan menikah.
Hero pula? Tak membantah langsung dengan keputusan emaknya untuk bernikah lagi. Lagi dia suka sebab mudah dia nak ‘kawtim’ kalau ada orang dalam. Lagipun, emaknya dah lama menjanda. Arwah abahnya telah pun meninggal dunia.
“Berlagaknya kau… bercakap macam jodoh tu kat tangan kau aje.” Kepala Hero disekeh-sekehnya akibat geram. Hero hanya terkekeh ketawa.
“Tapi kau tak nafikan, kan?” Hero angkat-angkat keningnya. Anwar menahan senyum. Teruk sungguh perangai anak tiri Tuan Ismail ni.

YOU ARE READING
Oh, Boy!
FanfictionNovel ini telahpun dibukukan. Di bawah penerbitan Love Novel Publication. Boleh cari di mana-mana kedai buku. Stok tiada pada saya. Sinopsis novel ada di dalam. Jemput baca. 🚫 Dilarang plagiat