Bab 5

111 5 0
                                    

HERO diam dari tadi. Hanya membiarkan dirinya dibebel Badariah. Nampaknya si emak lebih awal mendapat tahu tentang masalah yang dia baru buat. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, dia dilempang sehingga terteleng mukanya. Tak sempat nak tanya kenapa, terus Badariah hadiahkan dia berbakul-bakul sumpah seranah.

“Ini yang aku dapat lepas bersusah payah bekerja macam nak mati nak bagi kesenangan dekat anak-anak. Dapat malu! Yang lain menjadi belaka. Tapi yang depan mata aku ni… perangai tak serupa orang. Jin pun malu nak mengaku kau kerabat dia!” marah Badariah. Air mata dilap dengan lengan baju.

Geram dengan berita yang didengarnya. Dari tadi dia tunggu kepulangan Hero. dia tahu mesti Ismail takkan benarkan Hero duduk di dalam lokap. Ismail terlalu sayangkan Hero.

“Mak…” Hero terasa liurnya kesat. Melihat emaknya mengalirkan air mata sebabnya bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi, dia tak berani berjanji yang dia tidak akan membuat emaknya menangis lagi. Dia cukup kenal siapa dirinya, dan disebabkan itu dia tak boleh nak berjanji apa-apa.

“Aku malu bila orang duduk bergosip pasal anak aku. Kecoh pasal anak aku kena tangkap. Lagi sedih, laki aku selama ni rahsiakan dari aku tentang perangai anak beruk aku ni.” Badariah membebel lagi. Bila dia marah, memang hodoh bahasa yang keluar.
Hero ketap bibir. Nak tergelak pun ada bila digelar anak beruk. Jegilan mata Ismail membuatkan dia terpaksa mengekalkan wajah seriusnya.

“Saya tak nak awak sedih… awak tu sakit, mana boleh dapat berita buruk. Nanti tumbang susah...” Ismail bersuara. Sengaja bagi alasan sedangkan Hero yang mendesak dia untuk merahsiakan setiap masalah yang Hero dah buat.

“Tak nak sedih? Berahsia macam tu lagi sedih saya ni, bang!” Marah si isteri.

“Lain kali biarkan aje dia dalam lokap tu. Biar lima tahun dekat dalam tu pun tak apa. Dia keluar pun menyusahkan orang aje… bukannya reti nak kerja. Sampai ke besar mintak duit dengan kita. Dah berbulu pun! Tak tahu malu sungguh. Suruh kerja, memilih! Usaha tak ada apa tak ada. Dia ingat duit tu jatuh dari langit agaknya.” Bebel Badariah lagi.

Hero garu lubang telinga dengan jari kelingkingnya. Apa dia nak jawab ni?

“Orang nak kerjalah ni.” Jawabnya tanpa memandang muka emaknya. Tak berani nak melihat air mata emaknya.

“Kerja apa? Kerja menyusahkan hidup aku?” Badariah bercekak pinggang dan membuntangkan mata. Semakin gelisah Hero dengan renungan emaknya.

“Badar, tak elok cakap macam tu…” nasihat Ismail.

“Nak saya cakap macam mana lagi dengan dia? Dia tak pernah dengar cakap pun. Esok lusa dia buat balik. Dari kecik dia macam tu, saya kenal dia. Perut ni yang mengandungkan dia.” Badariah membebel tanpa henti.

“Ye orang tahu orang salah. Orang cari kerja. Mak tak payahlah nak susah hati lagi.” Hero menjawab.

“Pergi cari kerja dulu. Selagi tak dapat kerja, jangan harap aku nak tengok muka kau kat sini! Pergi keluar cari kerja sekarang!” jari telunjuk Badariah menghala keluar.

“Pukul berapa dah ni?” Hero kerling jam di dinding. Dah malam.

“Bila suruh cari kerja, pandai terus tengok jam kan? Sebelum ni? Melepak sampai pukul berapa. Tak reti nak tengok jam! Sebelum aku mengamuk yang hodoh-hodoh, baik pergi. Jangan balik selagi tak jadi orang!” Badariah menengking.

“Mak. Orang nak tidur kat mana?” Hero susah hati.

“Tidur ajelah dekat mana-mana! Sebelum ni tak balik pun takde hal kan?” Badar berkata dengan nafas yang turun naik. Dia tak bermaksud nak berkasar begitu dengan Hero tetapi Hero perlukan seseorang untuk bertegas dengannya.

“Badar…” Ismail cuba menenangkan isterinya. Memang Badariah macam dah hilang sabar sungguh dah dengan Hero nampak gayanya.

“Awaklah ni, manjakan sangat dia. Tengok, dia naik lemak dah. Semua benda tak reti nak buat sendiri. Tak membesar langsung. Harap usia je makin tua. Perangai macam budak tak matang! Malu kat orang lain. Orang lain, sedang tengah bersekolah lagi dah tolong mak bapak cari duit. Dia? Menghabiskan duit mak bapak aje yang tahu. Saya dengar dia asyik peras ugut warga asing tu sebab nak duit. Perangai macam anak iblis!” Marah Badariah kepada Ismail pula.

Ismail terdiam. Kalau dia menjawab, maknanya semakin buruklah mood isterinya. Hero simpati pada Ismail. Tak pasal-pasal Ismail kena marah sebab nak pertahankan dia.

“Yelah. Orang keluar.” Dia menarik helmetnya. Kecil juga hati bila kena marah begitu tapi dia sedar semua itu berpunca daripadanya sendiri. Dia mengalah pun sebab tak nak panjangkan pertelingkahan itu. Takut bapa tiri kesayangannya itu menjadi mangsa amarah emaknya.


TOK TOK TOK! Pintu rumahnya diketuk pada jam sebelas malam! Fatiha melangkah malas ke pintu rumahnya. Terkejut melihat muka lelaki di hadapannya. Pintu kembali ditutup sebelum lelaki itu sempat menilik ke dalam.

“Aduh hidung aku!” tepat pintu itu terkena batang hidungnya yang mancung itu. Malang sungguh nasib dia pada hari ini. Sudahlah ditangkap polis, lepas tu ditempeleng si ibu. Lagi, hidungnya dihentam pintu pula.
Fatiha di dalam hanya membeku. Rasa bersalah, tapi dia tak mahu buka pintu. Padan dengan muka. Itulah balasan untuk si kaki cabul macam lelaki itu.

“Hish, bukannya reti nak bagi salam pun. Nak apa?” soalnya dari dalam rumah. Fatiha berdebar-debar. Bukan sebab dia jatuh cinta atau apa. Tapi sebab dia takutkan Hero. Entah-entah Hero datang sini dengan niat tak elok? Tadikan lelaki itu dah cabul dia? Gulp. Menyesal pula dia buka pintu. Patut dia tilik dulu siapa tadi.

Izzullah ni pandai-pandai aje beritahu Hero di mana mereka tinggal. Memang nak kena!

Hero di luar pula, tersengih sendiri. Kena bagi salam ek? Sebelum ni, dia pergi ke rumah kawan-kawan dia, tak payah bagi salam pun.

“Assalammualaikum.” Hero memberi salam. Automatik mata Fatiha menjuling ke atas.

“Waalaikumsalam. Nak apa?” Nak tak nak dia kena jawab salam Hero. 

“Nak awak.” Mendengar jawapan tak elok dari Hero itu menyebabkan Fatiha mendengus. Lelaki yang bernama Hero ni memang perangai macam katak ek? Menjijikkan!

“Jangan menggatal boleh tak? Awak nak apa?” tinggi suara Fatiha dari dalam rumah.

“Saya nak awak. Nak awak. Awak.” Nyanyi Hero dengan sumbang. Fatiha menggenggam penumbuknya. Sempat kut kalau dia buka pintu sekejap dan terus tinju muka Hero.

“Nak penumbuk?” soal Fatiha. Hero sengih lagi. Dah macam cerita Masam-Masam Manis pula. Bercakap di sebalik dinding. Hero lekapkan telinganya ke pintu, sambil itu, dia mencakar pintu itu.

“Boleh aje, asalkan dari awak. Penumbuk pun rasa macam madu.” Hero menumbuk tapak tangannya sendiri apabila berjaya mengeluarkan pick up line itu.

Fatiha di dalam sudah julingkan mata. Hero belum lagi merasa penumbuk dari dia. Nanti mulalah kata penumbuk dia macam hempedu. Dia bukannya jenis perempuan yang bagi penumbuk manja-manja alah. Kalau dia nak tumbuk, dia tumbuk sampai puas hati. Dia membesar dengan seorang bapa dan abang yang gemar menonton WWE dan UFC.

“Yuck! Awak pergi balik sekarang.” Halau Fatiha. Geram dia dengan mamat pervert itu. Bukannya pandai nak minta maaf pun pada kejadian tadi. Dia tayang muka tak malu pula dekat sini.

“Atau apa?” soal Hero. Dia menggigit penumbuk. Dengar suara Fatiha pun dia rasa nak tersenyum 24 jam.

“Saya call polis.” Ugut Fatiha.

“Bagus juga tu. Call lah abah saya. Cakap awak setuju nak dipinang saya. Saya lagi suka.” Sekali lagi Hero tumbuk tapak tangannya. Semenjak berjumpa dengan Fatiha, mulut manis dia menjadi-jadi. Dia sendiri pun tak sangka.

“Gatal! Miang! Jijik!” Fatiha rasa geram nak bagi penumbuk dekat muka Hero biar senget rahangnya. Terlupa pula dia yang ayah Hero itu seorang polis.

“Saya cari abang awak, Ti’ah.” Hero akhirnya bersuara serius. Dia nak masuk! Sebab itulah dia gunakan alasan itu. Kalau Fatiha panggil polis, memang sah dia kena masuk lokap punya. Bukankah dia dah janji dengan Ismail untuk tidak membuat masalah lagi?

“Dia tidur.” Jawab Fatiha laju. Malas dia nak bagi lelaki macam Hero itu berkawan dengan abangnya. Nanti entah apa jadi pada abangnya. Sudahlah Izzul tu cepat benar terpengaruh.

“Awalnya tidur. Macam budak kecik!” Kutuk Hero.

“Semua orang dah tidur. Baik awak pergi balik sekarang.” Fatiha berkata dengan suara mendatar.

“Siapa tu Ti’ah?” tiba-tiba suara si emaknya mengantoikan dia. Fatiha menjerit tanpa suara.

“Hah, tipu saya ye? Nakal awak ni Ti’ah. Gebu-gebab-debab-bab-bab!” Nyanyi Hero dari luar. Serentak itu, pintu dibuka. Wajah masam mencuka Fatiha dipandang dengan senyuman paling manis.

“Haaa, buka pun. Bagi abang masuk.” Serentak itu penumbuk dilayangkan tepat ke hidung Hero.

“Aduhhh makkkk!” sekali lagi hidungnya menjadi mangsa. Tak sangka langsung yang dia akan ditumbuk oleh Fatiha. Mujurlah jarak mereka tak terlalu dekat tadi. Kalau tidak, entahkan dah patah hidung dia. Kuat juga tumbukan Fatiha.

“Awak nyanyi lagi macam tu memang nahas! Kalau awak bahasakan diri awak tu abang dengan saya, tahulah awak. Awak jangan ingat saya takut dengan awak!” Fatiha memberi amaran. Penumbuk diangkat lagi. Memang gengster sungguh gaya yang dipamernya. Lantaklah kalau Hero itu bekas banduan atau apa.

“Kenapa buli dia? Ti’ah ni!” marah si emak.

“Dia ni, gatal!” adu Fatiha.

“Mana ada?” laju Hero menafikannya. Nanti emak Fatiha halau dia dari situ. Macam mana dia nak jumpa Fatiha lagi?

“Abang-abang tu tadi apa? Eh, jangan nak mimpi eh jadi abang saya.” Fatiha jegilkan mata.

“Saya kan kawan abang awak. Saya bahasakan diri saya abang… lagipun, tak lama lagi kita kan duduk atas satu pelamin. Apa kelas nak jadi abang awak? Baik jadi suami terus.” Semakin menjadi-jadi pick up line Hero. Depan mak Fatiha pun, selamba aje dia.

“Mak… tengoklah dia ni.” Nak menangis Fatiha dibuatnya. Serabut kepala otak dia dengan lelaki gatal itu. Depan mak dia pun selamba dia aje.

“Ini siapa?” kening Cik Yam berkerut-kerut.

“Cik Yam tak ingat saya? Saya Hero. Dulu rajin juga saya ke sini.” Panggilan Hero kepada emak Fatiha masih tak berubah. Cik Yam pula terkejut bila namanya disebut anak muda itu. Mereka saling mengenalikah?

“Hero mana?”

“Ala yang, gebu-gebab-debab-bab-bab tu.” Hero menyanyi selamba. Fatiha rasa macam nak mengamuk. Mujurlah ada emak dia. Muka emaknya automatik bercahaya.

“Oh, Hairul! Ya Allah, besar dah awak. Cik Yam terlupa sungguh dekat awak. Masuklah. Cik Yam kejut Izzul. Dah lama dia tidur tu.” Jemput Cik Yam. Hero tersengih kemenangan.

“Bagilah abang masuk.” Ujarnya perlahan kepada Fatiha. Fatiha menjeling.

“Jangan nak mengada. Tunggu sini je.”

“Biarlah. Mak jemput bakal menantu dia masuk.” Hero jelirkan lidah. Semakin meluat Fatiha dengan Hero. Mak? Bakal menantu?

‘Dia sedar tak yang dia tu bakal jadi hantu dikerjakan aku nanti?’ omel Fatiha di dalam hati.

“Saya tak benarkan awak masuk, kan?” Fatiha masih dengan muka tak berperikemanusiaannya. Hero pula langsung tak ambil hati.

“Marahnya dia. Ti’ah… mana pergi lemak-lemak perut Ti’ah yang boleh buat gitar dulu? Mana pergi double chin Ti’ah dulu?” soal Hero. Fatiha dah genggam penumbuk.

Takkanlah selamanya dia nak gemuk? Tahulah lemak di perutnya berlapis-lapis dulu, tapi takkanlah sampai boleh buat main gitar? Teruk sungguh imaginasi Hero ni! Biasalah, waktu kecik dulu berisi… tu tandanya dia bahagia, bukan?

“Eeee dia ni…” baru lagi dia nak belasah Hero, si emak sudah bercekak pinggang. Tak jadi. Dia terpaksa membenarkan Hero masuk.

Akibat bengang, dia pijak ibu jari kaki lelaki itu dengan tumitnya sekuat hati. Hero terloncat-loncat kesakitan. Kalau boleh, dia nak wrestling Hero dekat situ. Sebab Herolah, dia jadi geli telinga berjam lamanya.

Langsung dia tak ceritakan hal itu kepada sesiapa. Dia malu!
Fatiha puas hati melihat Hero menahan kesakitan. Dia tinggalkan lelaki itu sendiri di situ lantas menyambung aktivitinya tadi iaitu menonton tv. Hero tersenyum sendiri.

“Dia marah pun comel.” Bisiknya perlahan. Dia duduk di sofa berdekatan dengan tempat duduk Fatiha. Dia perasan Fatiha anjakkan diri menjauhi dia. Tersenyum lagi dia. Lantaklah pedih hidung sekali pun. Tak apa, nanti dia dapat jinakkan si Fatiha itu. Dia itukan Hero? Hero pantang menyerah!


Oh, Boy!Where stories live. Discover now