Bab 7

116 5 0
                                        

“ASSALAMMUALAIKUM…” Kali ini, salam diberi. Maklumlah, semalam dia dimarahi Fatiha sebab tak beri salam. Tak cukup dengan itu, pintu rumah itu diketuk berkali-kali. Fatiha yang berada di dalam rumah hanya buat tak endah. Dia tahu, itu suara Hero. Itu yang dia tak suka tu. Lebih baik dia diam saja.

“Assalammualaikum. Ti’ah! Bukalah pintu ni, baby! I mish you shiooo muchhh, hunny bunny!” Hero memekik di depan rumahnya dengan buat suara comel ala-ala budak kecil yang pelat. Sengaja cari perhatian sebab dia tahu Fatiha di dalam rumah. Bunyi tv kedengaran. Kereta Fatiha pun ada di garaj.

Akhirnya, Fatiha buka juga pintu dengan hati tak rela. Sakit hati bila mendengar suara Hero. Ada pula cari perhatian dengan cara yang macam itu? Macam mana kalau jiran-jiran dia dengar? Tak pasal-pasal jadi isu terbesar. Memanglah rumah jauh-jauh jaraknya, tapi dengan kelantangan suara Hero tu, macam boleh didengari serata alam saja.

“Awak ni memang meng…” rahang Fatiha jatuh. Terkejut melihat penampilan Hero sekarang.

“Tulang rusuk bergetar ye, baby?” soal Hero sambil mengenyitkan mata.

“Awak dah buang tabiat ke?” soal Fatiha garang. Senyuman Hero mati mendengar kata-kata Fatiha itu. Ingatkan mata Fatiha akan bertukar menjadi bentuk hati. Rupa-rupanya kata-kata pedas itu yang dilemparkan buatnya.

“Kenapa?”

“Apa pasal pakai macam ni?” sinis Fatiha.

“Nak ajak abang awak ke masjid.” Jawapannya itu membuatkan Fatiha ketawa mengekek sampai tertunduk-tunduk. Siap dengan pakej air mata lagi. Lucu sangat.

“Hahahahahahaha. Berani awak geletek saya dengan kata-kata lucu awak tu!” Fatiha kesat air matanya. Tak sangka dia akan ketawa sekuat itu.

“Betullah.” Hero, walau bagaimanapun tak terasa nak ketawa sekali. Sampai hati Fatiha ketawakan niat murninya?

“Sekarang pukul sepuluh pagi. Ada apa dekat masjid tu? Atau awak ada sertai pertandingan Qari Antarabangsa?” semakin seronok Fatiha menyindir lelaki jahil dalam segala hal itu.

“Lebih kuranglah.” Hero menjawab tanpa memandang muka Fatiha.
Dia salah langkah. Kenapalah dia boleh beri alasan bodoh sebegitu sedangkan dia tahu solat Zuhur lambat lagi? Meskipun dia tak pernah sembahyang, tetapi dia masih tahu jam berapa setiap sembahyang lima waktu. Sebab biasanya, waktu orang azanlah, dia lari menyorok. Takut kena ajak ke masjid.

“Perlu ke berjubah? Senteng pulak tu. Jubah budak tadika mana awak belasah ni?” sindir Fatiha. Meluatnya dia dengan perangai Hero ni.

“Astaghfirullahal’azim, Ti’ah… bila abang cuba berubah, sepatutnya Ti’ah galakkan. Lagipun, Izzul ada cakap. Abang boleh berkawan dengan Ti’ah kalau abang berubah. Abang cuba biasakan diri ke masjid, nak buat solat sunat… mana tahu, satu hari nanti abang dapat imamkan Ti’ah? Ti’ah kan tulang rusuk kiri abang?” Hero tersenyum senget. Lantaklah apa Fatiha nak kata.

Disebabkan kata-kata emaknya pagi buta tadilah dia berpakaian begitu. Sekarang dia menyesalinya. Fatiha tak suka lelaki yang soleh nampak gayanya.

Stop! Meluat sangat! Hipokrit gila.” tapak tangan Fatiha diangkat betul-betul depan mukanya. Mulut Hero terkatup rapat. Tak menjadi ke lakonan bajet imam muda dia tu? Fatiha langsung tak berdebar ke bila tengok dia berjubah?

“Awak ingat saya tak tahu perangai sebenar awak? Apa yang awak cuba buktikan dengan berpakaian macam ni?” sinis Fatiha lagi. Aduh, Hero rasa dialah manusia paling kerdil sekarang. 

Menyesal dia pakai jubah! Banyak kali juga dia menyeranah jubahnya itu sebab terselak bila dia merempit naik motor tadi. Jarak dari Padang Tengku ke Kampung Gua juga bukanlah dekat sangat. Banyak jugalah mata yang memandangnya tadi sebab dia seorang saja yang berpakaian ala-ala tabligh di situ.

“Ti’ah tak suka ke lelaki berjubah?” soal Hero hampa.

“Tak.” Jawab Fatiha laju. Semenjak muncul jubah moden untuk lelaki, dia tidak lagi suka lelaki berjubah walaupun jubah biasa.

“Mak cakap, Ti’ah suka pada lelaki soleh.” Hero berkata sambil mengerdipkan matanya berkali-kali.

“Mak siapa?”

“Mak abang…” ibu jari ditekan ke dadanya.

“Saya tak kenal pun mak awak. No wonder dia cakap macam tu. Awak tak sedar ek? Dia cakap macam tu sebab nak awak tu berubah! Dia mesti tak tahan ada anak perangai macam unta!” Fatiha menyedarkan hakikat itu kepada Hero. Hero sengih saja. Terkena dia dengan emaknya.

‘Licik kau, Badar!’ bisik hatinya.

“Lelaki macam mana yang Ti’ah suka?” soal Hero.

“Semua saya suka asalkan bukan awak. Dah! Jangan banyak tanya. Pergi balik, salin baju.” Serabut Fatiha dibuatnya. Banyak cakap juga Hero ni.

“Panggil Izzul…” Hero malas nak balik. Bazir minyak motor.

“Izzullll! Kawan gila kau ni datang!” jerit Fatiha dari situ. Malas dia nak kejutkan abangnya yang suka buat tahi mata itu.

“Zullllll!” pekiknya lagi sehingga tegang urat tekak. Hero telan liur. Besar juga suara Fatiha rupa-rupanya. Nampak saja lembut.

Bagai ternampak-nampak Fatiha menjerit begitu memanggil anak-anak mereka yang degil nanti. Oh tuhan, dia nampak masa depan mereka!


“LARR,  kenapa pakai macam ni, Hero? Kau nak ke mana ni?” Izzul ternganga-nganga melihat penampilan baru Hero itu. Kenapa teruk sangat? Kepala digaru-garu pelik. Setahunya, dia tak ada berjanji nak ajak Hero ke masjid atau ke mana-mana madrasah pun. Sekolah pondok lagilah tidak.

“Aku nak pergi sinilah.” Hero berkata sambil bersandar ke tiang beranda. Dikibas-kibas badannya dengan jubah itu. Panas.

“Hahaha! Lawak apa yang kau cuba buat ni, bahalol? Kau ni buang tabiat dah ke?” Izzul mengekek ketawa. Apa yang mengubah Hero ni?

“Kau cakap, aku boleh rapat dengan adik kau kalau aku berubah.” Hero beri alasan. Takkan dia nak mengaku yang dia tu dah kena tipu dengan emak sendiri? Karang terkencing pulak budak Izzul tu sebab ketawakan dia.

“Perangai! Bukan penampilan. Allah! Jubah tak sesuailah dengan kau. Buruk! Makin jauh adik aku nanti.” Izzul ketap bibir. Sakit perutnya menahan gelak. Nak kata bongok karang, Hero lebih berpelajaran berbanding dia. Tapi perangai? Allahu!

“Panas weh. Bagi aku pinjam baju seluar kau.” Hero terpaksa mengalah. Naik berlecak ketiaknya dengan peluh dek kerana panas. Dah kipas banyak kali pun tak jalan.

“Bodoh betullah kau ni. Tengah musim panas macam ni, pergi pakai jubah. Pak Bahaman si lebai itu pun pakai baju t-shirt biasa je tau? Hish, buat malu sungguh.”

“Kutuk sikit-sikit dahlah…”

“Betullah. Aku ingat ada orang nak berdakwah dari pintu ke pintu dah ni tadi. Baru nak suruh adik aku kunci pintu.” Izzul bersuara selamba. Dia bukannya apa, tak suka orang yang datang berdakwah dari pintu ke pintu sebab pernah terjadi kes pecah rumah oleh orang yang berpenampilan begitu.

“Senteng jubah kau. Kau dapat dari mana ni?” dia menarik bahu jubah Hero dengan hujung jarinya. Berpeluh-peluh!

“Jiran aku punya.” Hero berkata sambil lap peluh di dahinya.

“Kau pinjam jiran kau punya jubah?”

“Dia jemur. Kering, aku ambik pakai.” Hero berkata tanpa rasa bersalah.

“Kau ambik macam tu aje?” mata Izzul terbeliak.

“Yelah. Dekat ampaian dia.”

“Lepas tu kau pakai depan dia? Genius!” Izzul meluku kepala Hero dengan buku limanya.

“Tak. Dia takde tadi. Balik karang aku gantunglah balik dekat situ. Bukannya aku nak buat hak pun.” Hero berkata selamba.

“Eeee, ketiak berpeluh-peluh… habatlah (pengotor) kau ni! Kut ya pun, basuhlah dulu sebelum gantungkan semula. Kau dah pakai kut…”

“Malas aku. Nanti dia kering sendirilah. Rajin pulak aku nak kena basuhkan baju dia? Bukannya aku pakai lama pun.” ceber Hero selamba. Sakit telinganya dibebel Izzul.

“Perangai macam ni nak mengurat adik aku? Memang puih. Usahkan adik aku, mana-mana perempuan pun memang tak nak dekat kau.” Seronok sungguh Izzul kutuk Hero. Sebab lelaki jenis Hero ni, kalau kutuk banyak mana pun tetap rileks. Macam dah biasa sangat kena kutuk.

“Eh, cantik sikit. Ramai gila nak dekat aku. Aku nak fokus dekat Ti’ah je sekarang ni.” Hero berkata bongkak. Sebenarnya, dah tak ada orang nak dekat dia semenjak nama dia femes satu kampung setahun yang lalu.

“Jangan nak mimpi!”

“Kenapa pulak?”

“Pertama, kau berubah tragik macam ni. Kau ingat ada ke orang yang malam tadi dia mencarut-carut sebab tak dapat tuntut duit nombor dia, tetiba hari ni berubah alim? Melainkan kalau kau kena cabul malam tadi, tak pun kena sentuhan maut ke, baru aku percaya.” Izzul mengutuk selamba.

“Kedua, kau pakai jubah senteng. Apa ni, Hero? Senteng-senteng macam ni, nak ke mana?”

“Sentenglah okey. Senang nak selak. Macam ni ha…” Hero berkata bersama demonstrasinya. Izzul halang matanya dengan tangan. Tak sanggup dia nak tengok kaki kurus Hero tu.

“Dah-dah buat free show. Jijik! Bagi aku teruskan. Ketiga, ni jubah orang. Keempat, kau curi jubah orang. Curi! Tak mintak izin, kau main rembat aje. Kelima, kau nak pulangkan dalam keadaan yang dah kotor. Keenam, kau punya tingkah laku memang tak boleh diterima akal! Aku pulak yang sakit kepala memikirkannya.” Izzul picit kepala.

“Alasan ketiga dengan keempat tu sama je…” Hero mencemik. Langsung tak ada rasa apa-apa meskipun dah dikutuk teruk oleh Izzul. Dulu pun mereka saling mengutuk juga.

“Weh, cepatlah. Panas ni. Aku nak pinjam baju.” Hero kibas-kibas badannya dengan jubah itu.

“Ketujuh, kau menyusahkan aku pulak sekarang ni.” Izzul mendengus. Tak pasal-pasal baju dia jadi mangsa.

“Alah, cepatlah. Kalau tak nak cari, takpe, aku cari sendiri. Tepi sikit!” Hero menolak Izzul ke tepi. Dia masuk ke rumah Izzul tanpa rasa bersalah.

“Weh, bongok! Mana boleh kau masuk rumah aku sesuka hati aje! Tu kesalahan kelapan kau hari ni.” Izzul rasa nak tempeleng saja kawan tak tahu malu dia tu.

“Aku panas. Kau bernasib baik sebab aku tak cakap yang aku nak tumpang mandi kat sini, nak tumpang tidur dekat sini.” Hero berkata selamba.

“Dah cepat. Lepas tukar, kita lepak kat luar je. Jangan mengada-ngada nak buat muka tak malu kau tu dekat dalam rumah aku.”

“Alah… kerek.”

“Mak aku takde. Kang dia bising pulak dekat aku. Aku ada adik perempuan.” Terang Izzul.

Oh, Boy!Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang