“TU KERETA Ti’ah kan?” soal Hero. Izzul mula kelam-kabut. Fatiha tak boleh tahu yang dia bekerja sebagai pump boy! Nanti dia takut diketawakan Fatiha sebagaimana dia ketawakan Hero baru-baru ini.
“Jangan cakap aku kerja sini.” Sempat lagi dia berpesan sebelum menghilangkan diri sepenuhnya dari situ. Terkekeh-kekeh Hero ketawakan Izzul. Ceh! Jenis takut adik ni yang lucu. Kalau dia? Adik-adiknya sering menjadi mangsa buli.
“Hai sayang, isi minyak berapa puluh?” tegur Hero sebaik sahaja kereta Fatiha berhenti di pam nombor 8.
“Huh?” Fatiha nampak terkejut melihat wajah Hero. Kenapalah muka lelaki ini lagi yang dia perlu hadap? Melihat saja pada pakaian lelaki itu, dia tersenyum sinis. Mesti baru kerja. Sebelum ni tak pernah nampak pun Hero dekat situ… baju kerja pun tak pakai dengan kemas. Sakit hati Fatiha dengan perangai Hero yang tak berdisiplin itu.
“Nak isi berapa?”
“20.” Jawabnya ringkas. Kalau Hero bekerja di sin, lebih baik dia isi minyak RM20. Sekurang-kurangnya, tak perlu dia nak hadap muka Hero setiap hari.
“Okey. Bagi abang duit.”
“Please stop…” baru lagi nak membebel, Hero menyampuk.
“Bagi abang duit cepat, abang pergi bayarkan.” Hero menadah tangan. Fatiha mengeluh. Kenapa lelaki ini boleh bekerja di tempat yang dia selalu isi minyak? Lambat-lambat dia serahkan duit RM20 kepada Hero tanpa memandang wajah lelaki itu.
Hero tersenyum. Tak apa, aku akan buat sampai kau pandang muka aku.
“Bukak tank, sayang.” Cermin tingkap keretanya diketuk tidak lama kemudian. Fatiha mendengus. Meluat sungguh dia dengar suara lelaki itu. Dia membuka tangki minyak untuk Hero.
“Dari mana ni? Kenapa malam baru keluar? Bahaya balik sorang-sorang waktu malam.” Ujar Hero. Fatiha mencemik. Meluat dengan bebelan Hero. Dia pergi melepak makan aje pun dengan Aina dekat Pahang Club tadi.
Hero membuat kerjanya. Nampak gayanya dia kena gandakan usaha untuk mengurat Fatiha. Fatiha tak layan dia langsung. Cis!
Lambat-lambat dia menutup tangki minyak setelah selesai tugasnya. Kalaulah dia boleh berlama dengan gadis itu kan bagus?
“Datang lagi.” Lebar senyumannya dibalas dengan jelingan tajam oleh Fatiha. Tiada langsung ucapan terima kasih daripadanya.
“Sama-sama!” sindir Hero bersama senyuman yang semakin melebar. Sukanya dia melihat jelingan maut Fatiha itu. Pemergian Fatiha hanya dihantar dengan senyuman angaunya. Kenapalah begitu payah hendak memikat orang yang dia betul-betul suka? Sebelum ni, kalau dia mengurat perempuan lain sekadar suka-suka, mudah benar dia dapat.
Tidak lama kemudian, muncul semula Izzul bersama keluhan leganya. Nasib baik! Dari jauh dia tertilik-tilik adiknya sendiri.
“Izzul.” Panggil Hero. Matanya masih memandang ke arah jalan yang Fatiha tinggalkan tadi.
“Apa?”
“Berapa hantaran adik kau?” soalan itu membuatkan Izzul tersedak liur sendiri. Seriuslah Hero berfikir hendak memiliki adiknya secara mutlak? Memang dah angau sangat ke si Hero ni? Dari gaya Hero, dia fikir Hero sekadar suka-suka nak mengurat.
“Jangan nak mimpilah.” Orang gila pun belum tentu sanggup beradik iparkan Hero. Dia tak nak risikokan hidup adiknya menikah dengan lelaki seperti Hero. Tidak sama sekali.
“Serius ni. Berapa?” Muka Hero memang serius. Dan dia memang sedang serius.
“Tiga puluh ribu.” Izzul menjawab selamba. Padan muka. Memang dia cukup yakin yang Hero takkan mampu cari duit sebanyak 30 ribu. Hero bukannya bekerja mewah pun. Nak kata Hero rajin? Selisih. Tadi pun asyik memonteng aje dalam tandas, menghisap rokok.
“Mahal benar!” membuntang mata Hero.
“Sebab tak nak kau masuk meminang.” Jujur Izzul menjawab. Hero tersengih. Dia tak terasa pun. Dah biasa kena kecam, jadi kata-kata Izzul itu hanya dianggap sebagai sawang di tepi dinding. Bila-bila boleh dibuang.
“Tak apa. Tiga puluh ribu ek? Aku tabur depan muka kau sambil culik adik kau naik kuda nanti.” Hero buat gaya menabur duit di depan muka Izzul. Serentak itu Izzul meludah ke tanah. Menyampah dia dengan Hero. Berlagak. Cakap besar. Macamlah kerja mewah.
“Kau ingat kau koboi zaman Clint Eastwood?” Izzul angkat sebelah kening.
“Tak kisahlah. Asalkan aku dapat dia.” Hero berpeluk tubuh. Wajah cantik Fatiha menyapa mindanya. Memang dia akan jadikan Fatiha itu awek dia. Atau mungkin isteri. Siapa tahu?
“Tiga puluh ribu duit halal. Tak nak duit menang judi ke menang nombor ke…” Izzul menambah syarat.
“Alah.” Hero tumbuk tapak tangan. Baru dia rasa nak curi-curi main nombor ekor…
“Bye bye, adik ipar tak jadi.” Izzul ketawa mengekek. Suka dia mengejek Hero. Dia rasa Hero tu sekadar bergurau saja dengannya. Takkanlah Hero betul-betul suka pada Fatiha?
“Tak ada sesiapa dapat halang aku untuk dapatkan apa aku nak.” kata Hero penuh azam. Dah nama pun Hairul Azam. Dia sukakan cabaran.
YOU ARE READING
Oh, Boy!
FanfictionNovel ini telahpun dibukukan. Di bawah penerbitan Love Novel Publication. Boleh cari di mana-mana kedai buku. Stok tiada pada saya. Sinopsis novel ada di dalam. Jemput baca. 🚫 Dilarang plagiat