Bab 15

229 7 7
                                    

“MEOW…” Hero buat bunyi kucing sebaik saja dia sampai ke rumah Fatiha. Cermin tingkap bilik Fatiha diketuk-ketuk dan dia buat bunyi Muncet berkali-kali untuk menyedarkan Fatiha yang dia datang menghantar Muncet.

“Muncet!” jerit Fatiha dari dalam.
Bunyi tapak kaki gadis itu berlari memang melucukan. Macam raksasa berlari dalam rumah. Itu baru rumah batu, belum lagi rumah kayu. Hero tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Baru tak jumpa satu malam dah macam tu tahap rindu Fatiha. Alangkah bahagianya dia kalau Fatiha jadi begitu sebab rindukan dia?

Pintu rumah terbuka. Mulut Fatiha terlopong, terharu bila melihat Muncet di dalam portable plastic cage yang entah dari mana Hero rembat itu. Hero dengar kata juga rupa-rupanya. Dengan adanya sangkar itu, selamatlah sikit kucingnya daripada terjun sewaktu di atas motor.
Kucing itu dikeluarkan dari sangkarnya.

“Jumpa mama, sayang.” Hero berbisik kepada kucing itu. Mata Fatiha terbuntang. Sejak bila pula dia menyandang gelaran mama tu? Dah macam pasangan bercerai pula. Bawak anak jumpa isteri yang kalah custody. Laju Fatiha memeluk Muncet.

“Awak pakaikan dia kolar…” kepala Muncet digosok-gosok. Hero senyum sebaik sahaja terlihatkan senyuman Fatiha. Itulah kali pertama Fatiha senyum kepadanya. Manis bergula sungguh!

“Kan abang pergi D.I.V dengan mak pagi tadi?” jawab Hero. Fatiha tersenyum lagi. D.I.V seperti kata emak Hero siang tadi. 

“Senyum pun…” Hero duduk di atas balkoni.

“Terima kasih.” Ucap Fatiha.

“Wanginya… Muncet wanginya…” kepala Muncet dicium-cium. Rindu sungguh dia pada kucing itu. Macam dah banyak hari tak jumpa. Kucing itu menggesel-gesel manja dengannya.

“Mestilah kena wangi macam abang.” Hero jawab bangga.

“Awak diamlah. Saya tak habis marah lagi dengan awak ni.” Fatiha jeling Hero. Hero sengih. Fatiha yang mendukung Muncet itu sudah berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah.

“Ambillah cage dia sekali. Senang Ti’ah atau abang nak bawak dia ke mana-mana nanti.” Arah Hero. Sebenarnya, tak puas dia nak berbual dengan Fatiha.

“Awak masih bercadang nak bawak dia keluar?” soal Fatiha dengan mata yang membulat.

“Tengok pada keadaan… kalau Ti’ah jual mahal, abang culik dia lagi.”
Entah kenapa, kata-kata Hero itu membuatkan Fatiha tersenyum.

“Hero…”

“Hmm.”

“Terima kasih sebab jaga elok kucing saya.” Ucap Fatiha setulus hati. Memang bersih kucingnya dijaga Hero.

“I love you too.” Jawab Hero dengan angau. Fatiha tersentak. Dia pandang muka Hero tersengih-sengih itu. Hero ni dah parah ni.

“Izzul takde kat rumah…” ujar Fatiha, menghalau Hero dengan bahasa kiasan. Dia meninggalkan Hero sendirian di luar.

Hero senyum. Hari ini Izzul bekerja. Hari cuti dia dengan Izzul tak sama. Mereka pilih hari yang berlainan. Tak ada apalah kalau sehari tak jumpa Izzul. Besok dah kerja, muka Izzullah dia kena hadap berjam-jam.


FATIHA mendapat mesej WhatsApp dari Hero tengah hari itu. Lelaki itu menghantar gambar kepadanya beserta ucapan selamat pagi (sedangkan dah nak masuk petang pun). Dan lelaki itu tak berbaju, masih di atas katil. Muka baru bangun tidur. Pipi ditongkat, bantal dipeluk. Allah, seksinya.

Fatiha pandang sekeliling. Takut ada mata lain yang nampak gambar itu. Berdebar tak tentu fasal dia, macamlah Hero hantar gambar tak senonoh. Laju tangannya menaip huruf A, kemudian send. Kemudian B, kemudian send sampailah huruf Z. Sengaja nak anjakkan gambar itu biar ke atas.

Kenapa ni? Abang dah kenal huruf tau. Ke nak abang ajar mak abang? – Hero.

Mujur Fatiha tak berdekah sebaik sahaja membacanya. Hampeh betul Hero ni. Ada ke patut dia cakap tentang mak dia macam tu? Mentanglah emak dia tertukar huruf V dengan Y. Terus dia tuduh emak dia tak kenal huruf. Teruk betul. 

Nanti orang lain nampak gambar ni… diaorang tuduh saya bukan-bukan pulak nanti. Kenapa hantar gambar macam ni? – Fatiha.

Saja… nak bagi jantung Ti’ah dup dap sikit. Oh, tak nak kongsi pemandangan indah dengan kawan-kawan ye? Shoooo shwitttt – Hero.

Bukan sedikit dup dap yang Fatiha hadapi sekarang… berlebih-lebih! Ini semua gara-gara muka seksi Hero tu. Memang dasar hero! Ikut kepala dia saja nak buat apa yang dia suka. Sebelum ini dia ada terima gambar-gambar dari lelaki itu. Tetapi dia buat tak tahu saja. Hero sengaja spam banyak-banyak. Katanya dia suka kalau Fatiha simpan gambar dia.

Otak awak! – Fatiha.

Ti’ah kerja eh? – Hero.

A’ah. Awak takkan tak kerja? – Fatiha.
Tiba-tiba mata Fatiha membaca Zero is recording an audio…

“Kerja. Baru pukul berapa ni...” Audio daripada Hero itu semakin mendebarkan. Seksi gila suara lelaki itu bila baru bangun tidur. Fatiha mengucap panjang.

Earphone dipasang ke telefonnya. Biarlah dia seorang saja yang dengar suara Hero. Nanti kalau Aina terdengar, mesti dia akan dihasut lagi supaya jangan dekat dengan Hero. Buat masa ini, kata-kata Aina terhadap Hero itu semuanya tak logik sebab Hero okey aje dengan dia. Memanglah kuat menyakat, selain daripada itu okey. Tak ada pun buat masalah. 
Semenjak Hero jaga rapi kucingnya, dia sering juga berhubung dengan Hero walaupun dia buat-buat jual mahal. Hero ni gigih! Kalau lelaki lain dilayan macam tu, tentu dah mengalah. 

Suka hati awak aje kan awak masuk kerja lewat? – Fatiha.

Dia bukannya tahu pun jadual kerja Hero. Apa yang pasti, setiap kali dia balik kerja, mesti muka Hero di pam minyak tersebut.

“Erm… memang belum masuk kerja lagilah sayang. Pukul tiga baru masuk. Bukan sengaja abang buat perangai macam ni…”  sekali lagi suara seksi itu menyapa. Ahhhh, apa dia nak buat ni? Panggilan sayang itu menyebabkan nafasnya nyaris terhenti. Memanglah dah jenuh Hero panggil dia sayang, tapi dengan suara yang husky macam tu… grrr… seksi!

Jangan kacau saya kerja. Bye. – Fatiha.

Fatiha menyimpan telefonnya di dalam laci. Tapak tangan yang tiba-tiba sejuk digosok-gosok. Kenapa dia berdebar sangat ni?

“Sejuk ke wei?” Aina muncul dengan kening yang terangkat.

“A’ah. Aku kena selesema agaknya.” Fatiha berlakon tak sihat. Selesema apa? Lepas tengok gambar seksi Hero tadi, terus sarafnya gagal berfungsi elok. Bukan setakat selesema, dia mungkin dah terkena sawan dalam dia tak sedar.

“MC lah weh…”

“Nantilah. Boleh kerja lagi ni…” bukan main seronok dia kelentong orang. Dia terdesak!


“BALIK karang kau singgah rumah aku tak?” soal Izzul kepada Hero. Mereka berdua melepak di tempat pam minyak itu, menanti pelanggan. Waktu malam dah kurang pelanggan. Sebentar lagi tamatlah waktu kerja mereka.

“Singgah.”

“Aku ingat nak ajak kau layan movie la.” Izzul berkata.

Bukannya apa, semalam seharian dia tak jumpa Hero. Dia jadi rindu pula. Sehari tak melepak dengan Hero terus harinya rasa tak produktif. Dia tak ada kawan segila Hero. Kawan yang boleh ‘masuk’ bila berborak tentang bermacam-macam topik! Semua Hero layan. Itu yang seronok tentang Hero.

“Porno?” Hero tayang muka gatal.

“Kalau tu, aku layan sorang je.” Izzul jawab dengan muka selamba. Hero mengekek gelak.

“Cerita apa?” soalnya tidak lama kemudian. Serius.

“Aku baru download. Conjuring 2.”

“Baru…” komen Hero.

“Hmmm. Torrent. HD. Sound clear.” Pancing Izzul.

“Okey jugak. Tapi takpe ke aku lepak kat dalam? Ti’ah dah warning aku dulu. Nak lepak, lepak kat luar dia kata.” Hero menyoal. Bimbang pula kalau buah hatinya tak suka dia di situ. Meskipun Fatiha sudah rajin membalas smsnya, tak bererti gadis itu sudah mesra dengannya. Sms dia pun dilayan pendek-pendek.

“Aku ada, takpelah. Dia jugak suruh aku tengok dengan kau sebab dia tak layan cerita hantu. Aku nak tengok sorang-sorang. Tapi takut.” Izzul mengadu.

“Penakut!” kutuk Hero. Terkejut juga dia mendengar kata-kata Izzul itu. Fatiha yang suruh? Maknanya Fatiha benarkan dia datang ke rumah merekalah ni?

“Eleh, kau pun sama sebenarnya kan? Jangan waktu nak balik tu, kau suruh aku teman sudah…” 

“Kalau aku takut, aku…” kata-katanya terhenti dek sekumpulan mat rempit memulas throttle motor mereka sekuat hati. Macam sengaja nak cabar Izzul dan Hero pula. Mat-mat rempit tersebut berpusing-pusing mengelilingi stesen minyak itu sebelum berhenti di depan Izzul dan Hero.

“Patutlah aku dengar kau dah taubat…” tegur salah seorang dari mereka. Leman. Musuh ketat Hero. Kes fail; mereka pernah bergaduh disebabkan seorang perempuan.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 14, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Oh, Boy!Where stories live. Discover now