Bab 3

199 6 0
                                    

“LAMA GILA! Aku dah tak sabar nak basuh kau ni. Kecik besar aje aku tengok kau ni. Kau tak kesian dekat aku ke? Tak habis-habis nak susahkan aku. Apa masalah kau ni sebenarnya?” rasa geram pada Hero tadi dilampiaskan kepada abangnya yang baru melabuhkan punggung ke kerusi penumpang.

“Ti’ah. Kau adik aku, bukan nenek aku kan?” Izzul berkata selamba sebelum menutup pintu kereta. Tapi Fatiha tetap tak masukkan gear. Fatiha pandang dia dengan wajah garang. Ada bendalah tu yang adiknya tak puas hati.

“Kau bergaduh pasal apa pulak kali ni? Kalau pasal awek lagi memang nak kena. Aku kena cekik perempuan tu agaknya. Aku paling benci orang bergaduh sebab perempuan. Macam tak ada benda lain nak dikejar! Bodoh punya otak!” Izzul agak pelik dengan mood adiknya ini. Nampak lebih garang dari tadi. Siap dengan maki hamun lagi. Kenapa?

“Tak. Dah putus dah. Aku bergaduh dengan taukeh kedai kat Kechau tu. Dia tipu aku. Awal-awal dia kata harga barang motor aku tu 50 ringgit. Bila aku setuju, dia naikkan 80 ringgit pulak. Anginlah aku.” Izzul membela diri.

“Sebab 30 ringgit aje? Apa pasal tunjuk parang? Kau ingat kau dah gengster sangat ek?” kembang kuncup hidung Fatiha memarahi abangnya. Dia geram bila tak dapat marahkan Hero. Sekarang mula dia menyesal sebab tak sepak je celah kelengkang lelaki itu biar sampai mandul!

“Kalau dia mintak lebih 30 ringgit pun aku boleh tambahlah. Asalkan kau mintak dengan aku. Ini tidak, nak jugak bawak bergaduh. Terbang RM500 aku! Lagi mahal dari jumlah yang kau gaduhkan tu. Bingai!” marah Fatiha.

“Allah, Ti’ah. Bagi aku bernafas boleh tak? Aku pun teringin nak hirup udara luar jel. Nak dengar bunyi alam sekitar aku ni. Bukan nak dengar suara bising kau tu.” Izzul geram dengan sikap adiknya itu.

“Dah banyak kali kau kat sini rupanya, kan? Polis tadi bagitahu aku. Malu muka aku ni yang nak kena ikat jamin kau. Duit aku pun dah habis korek dah untuk kau. Lepas ni, memang aku nak sangat biarkan kau duduk jel sampai bila-bila. Dahlah tak kerja! Bila tak ada duit, tak tahu malu mintak pinjam. Mintak dengan mak. Patut kau bagi mak duit, sara kitaorang. Kau anak sulung. Lelaki pulak tu. Apa kata arwah abah kalau dia masih ada?” bebelan Fatiha semakin tajam.

“Aku kerjalah. Aku ganti balik duit kau. Aku janji.” Izzul menjawab acuh tak acuh. Sengaja dia berkata begitu supaya Fatiha berhenti menangis. Tak tahan juga dia bila ada orang membebel pada saat dia kepenatan begitu. Lagi dia tak suka bila Fatiha mula sebut tentang arwah bapa mereka.

“Aku tak percayalah! Kau memang sengaja nak biarkan aku tanggung semua kan? Bil air, bil api, barang  rumah, wifi, Astro. Kau tak malu muka ke?” Fatiha membebel lagi. Dia tak mahu abangnya jadi macam lelaki tadi. Lelaki tadi memang takkan ada masa depan. Tengok rupa pun dah tahu.

“Ti’ah, janganlah macam ni…” Izzul mula rasa bersalah bila adiknya tiba-tiba menangis. Rasanya tak adalah teruk mana pun kesalahan dia. Okey, teruk! Tapi kenapa Fatiha menangis sampai tahap macam tu?

“Kau tak kesiankan aku, aku boleh terima, Zul. Tapi kau tak kesiankan mak ke? Dia dahlah macam-macam sakitnya sekarang…” Fatiha teresak-esak. Sudah lama dia pendamkan amarahnya itu. Pedulilah pangkat lelaki itu dengannya sekarang. Dia nak Izzul sedar tanggung jawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga.

“Okey. Janganlah menangis. Kau buat aku rasa jahat pulak. Aku kerja okey? Aku janji, akan bayar balik duit kau. Aku kerja!” Izzul bertegas. Bukannya dia tak nak bekerja. Cuma nasibnya selalu malang. Bila dah kerja dua minggu, dia kena pecatlah, ada yang cabar kesabaran dialah…

“Kawallah sikit baran tu… jangan tahu nak bergaduh aje dengan orang.” Fatiha kesat air matanya. Tak sangka dia terlalu beremosi. Kesian Izzul, tentu Izzul fikir yang dia betul-betul marah.

“Eleh, kau pun sama. Kau lagi baran dari aku. Dahlah suka naik tangan.” Kutuk Izzul. Serentak itu penumbuk Fatiha naik.

“Haaa, tengok? Baru aje aku cakap.” Izzul tergelak.

Laju saja Fatiha turunkan tangannya. Dah menjadi tabiatnya untuk naik tangan bila dia tak berpuas hati dengan mana-mana lelaki. Dia biasa berkawan dengan lelaki. Dia membesar juga dengan Izzul yang sememangnya ganas itu. Takkanlah Izzul expect dia untuk menjadi seorang adik yang lemah lembut? Mengarut!

“Aku serius ni, Zul.” Fatiha mendengus.

“Aku tau. Dah, janganlah menangis. Kang mak tanya kenapa…”

“Ini last eh, aku tolong kau?” Fatiha mengugut. Dia masukkan gear D, bersedia untuk pergi dari situ setelah puas mentarbiahkan si abang.

“Tahu. Terima kasih.” Izzul angguk-angguk. Tangan membuka radio. Takut kena tarbiah lagi.

“Tadi Hero kata kau ada serempak dengan dia.” Teringat pula dia tentang Hero. Teralih tumpuan Fatiha mendengar nama itu. Yarghh! Anginnya muncul semula. Rasa nak hempas semua benda yang ada dekat depan mata dia bila terkenangkan muka nakal Hero tu.

“Kau kenal ke budak gatal miang tu?” soal Fatiha. Air mata dah kering tapi sendu masih ada. Soalannya itu membuatkan Izzul tergelak. Nampak sangat Hero ada mengurat Fatiha.

“Kenallah. Alah, takkan kau tak ingat dia? Muka dia tak banyak beza pun. Jerawat je yang hilang.”

“Tak.” Jawabnya pendek.
Nak kenang semula muka laki miang tadi pun dia tak sanggup. Berani betul mulut jijik lelaki itu singgah ke telinganya? Menggelikan! Kenapalah dia tak tampar sekuat hatinya? Biar pecah bibir lelaki itu. Lebih bagus, biar terpelanting semua gigi yang cantik tersusun itu.

“Dia tu aku pernah bawak balik waktu kau kecik dulu.” Cerita Izzul. Dia memang selalu bawa rakan pulang ke rumah sewaktu bersekolah dulu. Biasalah, budak lelaki.

“Waktu aku kecik dulu, no wonderlah aku tak ingat.” Stereng digenggam penuh geram. Sakitnya hati membayangkan muka nakal Hero tadi.

“Alah, yang ejek kau sambil nyanyi gebu-gebab-debab-bab-bab tu…” Izzul berkata sambil menyanyi lagu yang pernah Hero nyanyikan untuk adiknya dulu. Mata Fatiha yang besar itu semakin membesar. Dia ingat sangat lelaki tak ‘sekolah’ tu. Nampak gayanya, dari kecil memang lelaki itu ada niat tak elok padanya.

“Oh! Dialah orangnya?” stereng dicengkam semakin kuat. Kenapa dia boleh terlupa pada peristiwa itu? Semakin benci dia pada Hero.

“Hah, ingat pun!” Izzul menepuk tangannya apabila dia berjaya mengembalikan ingatan Fatiha terhadap Hero.

Dulu, pernah dia bawa pulang Hero ke rumah. Tapi Fatiha tak suka. Setiap kali dia bawa pulang Hero, setiap kali itu jugalah Fatiha menangis kerana diejek Hero. Selagi Fatiha tak menangis memang Hero takkan berhenti menyakat. Akhirnya arwah bapa mereka melarang Izzul dari membawa pulang Hero ke rumah.

Fatiha ketika itu baru berusia sepuluh tahun manakala dia dan Hero sudah di tingkatan tiga. Fatiha memang gemuk pada waktu kecilnya. Sebab itulah dia diejek Hero yang memang nakal dari kecil itu.

“Memang panggil dia Hero ke?”
Rasa macam tak sanggup dia nak panggil lelaki itu dengan panggilan Hero. Zero bolehlah.

“Hairul. Tapi biasalah. Bila dah sebut laju-laju, jadi Hero… lekatlah nama tu sampai ke tua.”

“Hero my ass.” Kalau boleh dia muntah, dah lama dia muntah. Mujur dalam kereta.

Oh, Boy!Where stories live. Discover now