“TI’AH, aku asyik nampak abang kau melepak dengan budak tak semenggah tu. Kenapa? Kau janganlah bagi abang kau rapat sangat dengan dia… tak jadi apa abang kau nanti.” Teguran rakan sekerjanya, Aina menyebabkan Fatiha terbayangkan muka nakal Hero.
“Siapa?” soal Fatiha. Bimbang tersalah orang. Selain Hero, Izzul ada juga berkawan dengan orang lain. Cuma semenjak dua menjak ini, rapat mereka lain macam. Macam ada projek rahsia pula.
“Hero.” Jawab Aina sepatah.
“Kau kenal dia ke?” kening Fatiha berkerut. Popular sangat ke Hero tu dekat sini? Kenapa dah lama dia dekat sini, sekali pun Aina tak pernah sebut pasal lelaki itu? Sehinggalah hari ini.
Kenapa selepas pertemuannya yang pertama dengan Hero dulu, setiap hari dia kena dengar dan lihat muka lelaki itu? Kenapa sebelum ini tak ada pun? Malah, dia sendiri pun dah lupa pada kewujudan lelaki itu.
“Siapa aje tak kenal dia?” Aina mencemik meluat sebaik sahaja terbayangkan muka Hero.
“Entah? Dah banyak kali aku pesan dekat abang aku. Tapi itulah. Kalau dia adik aku, senang sikit aku nak nasihat-nasihat… Perangai pulak dua kali lima aje dengan Hero tu. Itu hari diaorang reunion dekat jel tahu? Jel! Tak ada tempat elok sikit ke nak reunion?” Fatiha mendengus. Malu dia dengan Aina.
Aina seorang saja yang tau tentang abangnya.
“Abang kau masuk jel sebab baran dia. Tapi dia ada hak rasa bengang macam tu. Kalau aku pun aku marah sebab janji lain, kena bayar harga lain. Yang si Hero ni, keluar masuk jel dengan bermacam-macam alasan!” semakin meluat nada Aina pada pendengaran Fatiha. Memang semua orang menyampahkan Hero agaknya…
“Huh? Kau tahu ke alasan dia masuk jel?”
“Gila tak tahu? Akak yang jaga dekat kaunter polis tu rapat dengan aku. Dialah selalu cerita dekat aku. Macam-macam yang dia dah buat… sampai semua orang tertanya-tanya, apa aje yang Hero tu tak buat?” Aina semakin seronok mengata.
Automatik wajah Hero terbayang di minda Fatiha. “Nakal gila…”
“Tapi, akak tu suka Hero tu.” Kata-kata Aina itu menimbulkan kerutan di dahi Fatiha. Ada juga ke orang yang sukakan Hero? Siapa yang bongok sangat tu?
“Huh, suka?” Nak termuntah Fatiha rasa. Terbayang aje muka Hero, mati selera dia nak makan.
“Ha ah. Dia kata Hero tu kelakar. Banyak buat diaorang gelak. Kalau takde Hero tu memang sunyi satu balai.”
“Pulak?”
“Entah kan? Harap je Hero tu anak polis. Perangai tak semenggah gila.” Aina mengutuk lagi. Bukannya apa, Hero itu satu kawasan dengannya. Padang Tengku. Bezanya, Hero tinggal di Taman Dahlia dan dia tinggal di Kampung Beralas. Tapi nama Hero tu tetap popular dalam satu Padang Tengku tu.
“Dia masuk jel baru ni sebab apa?” Fatiha tiba-tiba rasa nak mengorek rahsia yang dia teringin sangat nak tahu. Bila tanya Hero sendiri, lelaki itu main-main.
“Main judi. Waktu tu polis buat ronda-ronda pulak. Dia selamba aje duduk tunggu atas motor, tunggu nak kena tangkap. Orang lain dah merebas (bertempiaran) lari.” Aina bercerita lagi tahap ‘hardcore’ perangai buruk Hero.
“Oh…” teringat dia pada perbualan Hero dengan ayahnya. Katanya rindu nak naik trak polis. Betullah agaknya.
“Dulu berjudi malam-malam, kena angkut sekali dengan geng-geng dia. Lepas tu tak serik, merempit. Helmet takde, road tax takde. Dah tu, lepas kena ikat jamin, dia buat semacam kesalahan yang sama. Lumba motor. Lepas tu bergaduh…” Aina nampaknya anti sungguh dengan Hero itu.
“Kat sini ada tempat judi ke weh? Mesin-mesin tu semua?”
Pelik. Fatiha tak pernah tahu pun. Kat Lipis itu apa aje yang ada? Atau dia aje yang tak tahu pusat hiburan di Bandar Kuala Lipis? Biasanya dia tengok 999, kawasan bandar besar saja ada tempat berjudi begitu. Takkanlah tempat macam Kuala Lipis ini boleh ada?
“Ada dengarnya. Tapi yang dia kena tangkap yang latest tu bukan judi mesin. Dia main terup dengan kawan-kawan dia. Duit penuh dalam kocek dia. Dia bab berjudi, memang terror. Orang kata… dia pandai baca riak orang waktu main terup! Macam lagu Lady Gaga, Pokerface tu. Kalau kat sini ada kelab malam, aku rasa muka dialah yang wajib ada dekat situ.” Aina menyerkap.
Fatiha yang mendengar, sudah menggeleng-gelengkan kepalanya. Teruk sungguh. Kalau seteruk itulah perangai Hero, tak dapatlah nak dibantu. Macam tak boleh nak ubah pun perangai lelaki itu. Teringat yang lelaki itu berkata sesuatu tentang blackjack. Judilah rupa-rupanya!
“Oh. Nakalnya. Ada kesalahan hidu gam, dadah atau mabuk tak?” siasat Fatiha lagi. Bukannya dia nak tahu sangat pun tentang kesalahan Hero sebab dia rasa, semua tu Hero pernah buat.
Hero tu nakal. Entah apa lagi yang dia dah buat, siapa boleh jangka? Manalah tahu kut-kut dengan sebut perkataan ‘dadah’ itu, Aina akan buka cerita yang sama macam Izzul buka baru-baru ini?
“Takde. Tak dengarlah pulak. Entahkan ada? Mana tahu orang sorok kes tu sebab dia anak polis, kan?”
“Mungkin juga.” Fatiha agak hampa mendengarnya. Kalau dia dengar kisah yang sama, mungkin dia akan jadi lebih simpati pada Hero, sekaligus memaafkan kenakalan lelaki itu. Mungkin Hero jadi begitu sebab kurang perhatian dan kasih sayang…
“Tapi, dengar-dengarnya dia memang tak usik dadah… dia ada kenangan buruk berkaitan dengan dadah.” Aina berkata pula tidak lama kemudian.
“Oh…” betullah tu. Tiba-tiba Fatiha termenung. Kalau betullah Hero membesar dengan berayahkan seorang penagih, dia benar-benar rasa Hero itu seorang lelaki yang ‘tersesat’. Mungkin menjadi ‘graduan’ jel bukan pilihan Hero.
“Kalau tak ada pun, tetap dia budak paling jahat dekat daerah kita ni. Kuat menyakat. Vandalisme selalu sangat… membuli budak. Dia pow pekerja asing yang takde permit tu. Dia ugut nak bagitahu ayah dia kalau diaorang tak beri dia duit. Nak duit cara mudah aje. Itu aku paling menyampah dengan dia. Bukannya reti nak bekerja! Sibuk ukur jalan. Bila duit habis, peras ugut orang sana sini.” Aina mengutuk lagi.
Fatiha terbayang lagi muka nakal Hero. Kepala digeleng-gelengkan. Ada ke patut nak duit cara mudah? Tapi tak peliklah. Lelaki itu berjudi! Tentulah nak duit cara mudah itu memang sikapnya.
Tapi sekarang Hero dah bekerja.
“Dia tu, orang yang takde masa depan, tahu? Jadi, baik kau suruh abang kau jauhkan diri dari dia.” Aina nasihat bersungguh-sungguh.
“Banyak kau tau tentang dia.” Itu yang terbit dari mulut Fatiha. Untuk seseorang yang membenci Hero, informasi itu terlalu banyak.
“Allah, Tiha… hari-hari telinga aku ni dengar nama dia. Dah macam sumpahan tau tak? Mak abah aku pesan, jangan keluar malam. Nanti terserempak dengan Hero. Hero tu orang je tau? Bukan ponti. Tapi gaya orang tua aku bagi nasihat macam dia tu ponti.” Aina geleng kepala. Nak tergelak pun ada bila Fatiha dengar kisah Aina yang menyayat hati itu.
“Aku pun rajin kena sakat dengan dia weh. Meluat sungguh rasa. Abang akulah, suka sangat bawak balik dia ke rumah. Apa masalah nak melepak dekat rumah orang pun aku tak tahulah.” Rungut Fatiha. Semakin menyampah dia dengan perangai Hero. Nama macam sedap aje, perangai entah apa-apa.
“Dia memang kuat menyakat weh. Orang balik dari sembahyang tarawih tu, habis disakatnya. Dia duduk atas pokok, terjerit-jerit macam langsuir. Sekali ada seorang yang kuat iman ni suluh, muka dia. Apa lagi? Teruk dia kena dengan orang kampung.”
“Larrr…”
“Dia bukannya reti munculkan diri nak sembahyang bang ke apa. Dia munculkan diri kat masjid nak menyakat orang sembahyang. Kau fikir sendirilah jahat tak jahatnya dia? Sebab dialah ramai orang ke masjid naik kereta! Masing-masing takut nak jalan kaki. Mujurnya lepas dia kena tangkap tu, ramai yang jalan kaki balik.” Cerita Aina lagi.
“Agaknya sebab tu tak, mak bapak kau tak bagi kau keluar malam?” Fatiha tahan gelak. Walaupun perangai Hero itu cukup menjengkelkan, tetapi kenapa tiba-tiba dia rasa nak ketawa?
Aina angkat bahu.
“Agaknya? Lagi teruk… itu hari dia kena tahan, lepas tu boleh dia terjun dari trak polis tu.” Fatiha jadi pelik. Kenapalah Aina bersungguh-sungguh nak ceritakan keburukan Hero kepadanya?
“Habis tangan dia bergari kan?” dia layankan saja kisah Aina itu.
“Tak. Sebab dia dah jadi ‘pelanggan tetap’ trak tu, polis tak gari lagi dah sebab memang dia ni pesen tak lari. Katanya Hero mana boleh lari? Tapi lepas dia buat kes tu, terus kena gari balik.”
“Kenapa dia terjun?” Fatiha jadi tertarik pula nak bergosip lagi tentang perangai buruk Hero.
“Dia bergaduh dengan polis yang tangkap dia tu. Aku dengar dia ludah polis tu sebelum terjun. Trak tengah bergerak weh! Selamba badak dia aje…”
“Aku kena warning abang akulah.” Tiba-tiba Fatiha bersuara. Kalau dah macam itu tahap Hero tak respek dekat orang, lebih baik dia jauh-jauhkan abangnya dari Hero. Kalau susah sangat nak warning Izzul, baik dia warning Hero terus.
“Baik kau warning cepat-cepat. Aku tak naklah abang kau rosak… Hero tu, bab rosakkan pemikiran orang, memang dialah nombor satu.”
“HAI SAYANG. Datang lagi eh ke sini? Rindu ek?” tegur Hero dengan senyum sengetnya. Fatiha menjeling, seperti biasa. Kali ini, cepat saja dia buka tangki minyak. Dia tak nak berlama dekat situ. Sekali lagi dia menjeling Hero.
“Garangnya.” Komen Hero. Nampak sangat Fatiha tak nak layan dia.
“Isi cepat.” Arah Fatiha. Hero akur. Dia berjalan ke kaunter. Diserahkan RM10 ke kaunter. Hasil duit minyak Fatiha yang dicatu.
“Hero…” panggil Fatiha tiba-tiba ketika Hero sedang mengepam minyak.
“Apa?” Hero angkat sebelah keningnya. Fatiha jadi teragak-agak pula nak bersuara sebaik sahaja Hero pandangnya dengan pandangan serius itu. Ini kali pertama dia diberi pandangan itu.
“Awak… kenal Aina, kan?” soal Fatiha takut-takut. Janganlah Hero pam minyak tu ke dalam mulut dia pula.
“Aina? Abang kenal ramai Aina. Aina mana satu ni? Aina masuk minang you ke?” sempat dia bagi pickup line terbarunya.
“Aina muntah mendengarnya.” Balas Fatiha sambil julingkan mata ke atas. Hero tergelak. Okey, dia semakin sukakan Fatiha. Meskipun Fatiha melayannya acuh tak acuh, dia tetap rasa berbunga-bunga.
“Aina jadi your everything…” Hero kenyit mata.
“Ha ha. Kelakar.” Sindir Fatiha dengan wajah sinis. Kenapalah dia berdebar dengan pick up line Hero yang entah apa-apa itu?
“Aina mana?” soal Hero dengan suara serius memandangkan dia ada sedikit saja masa lagi untuk berbual dengan Fatiha. Itupun dia sengaja melambatkan kerjanya. Sengaja disekat-sekat minyak yang keluar sebab hampir nak cecah angka RM10.00.
“Aina Najihah. Kampung Beralas. Dia kawan saya. Dia cakap dia kenal awak. Dia kenal sangat…” ujar Fatiha. Wajah Hero nampak berubah sebaik sahaja mendengar sepatah nama itu. Tangannya turut terkaku.
“Oh, dia. Kenal. Kenapa?” berubah dingin suara Hero. Fatiha jadi takut pula nak tanya lebih.
“Err…” nak tanya ke tak payah? Kalau dia tanya nanti, Hero mesti perasan lebih. Lagi satu, ini bukan urusan dia pun. Urusan Hero dengan Aina tak ada kaitan dengan abangnya. Dia perlu bagi amaran dekat abangnya saja supaya tak rapat dengan Hero, bukan? Tapi kenapalah dia masih ada rasa nak tahu?
“Hmmm, patutlah masam semacam aje muka. Jeles dengan Aina ye?” serkap Hero. Dia cuba berlagak normal. Malas nak kenang perkara lama yang buat hati dia bernanah teruk dulu.
Fatiha menceber. Macam yang dia jangkakan, Hero akan tuduh dia cemburukan Aina. Meluat betul. Dia nak tahu sebab dia agak busybody. Itu saja. Bukan sebab dia cemburu!
“Okey dah siap…” tangki ditutup Hero sesudah pam minyak diletakkan ke tempat asal.
“Saya tak habis…”
“Bye…” Hero senyum hambar dan melambai.
Fatiha geram. Dia tak habis tanya lagi. Kalau dia tanya lebih-lebih nanti, takutlah semakin giat Hero menyakatnya. Please! Dia cuma nak tahu apa yang menyebabkan Aina benci sangat dekat Hero? Mesti ada kesalahan besar yang Hero dah buat.
Kenapa sekarang Hero macam terus tak nak bercakap dengan dia selepas nama Aina disebut? Biasanya, sedaya-upaya Hero melengah-lengahkan dia. Dan kenapa senyuman Hero dah tak senakal ketika pertama kali lelaki itu ternampak dia tadi?
Atau sebenarnya Aina itu bekas kekasih Hero?

YOU ARE READING
Oh, Boy!
FanfictionNovel ini telahpun dibukukan. Di bawah penerbitan Love Novel Publication. Boleh cari di mana-mana kedai buku. Stok tiada pada saya. Sinopsis novel ada di dalam. Jemput baca. 🚫 Dilarang plagiat