Bab 9

86 4 0
                                    

IZZUL tanggal baju kerja yang dipakai dan disorokkan ke bawah seat motornya sebelum dia masuk ke dalam rumah. Fatiha tentu sedang menonton tv di ruang tamu. Kepada Hero, dia katakan adiknya sudah tidur sebab dia tak nak Hero melekat di rumahnya sampai lewat malam.

Memandangkan dia dah tahu tujuan Hero ke rumahnya semata-mata untuk berjumpa dengan Fatiha, lebih baik dia elakkan Hero dari kerap datang ke rumahnya. Nanti naik lemak pula si Hero tu.

“Baru sekarang kau balik?” teguran Fatiha itu memeranjatkan dia. Nyaris dia tak bersilat. Soalan adiknya diabaikan. 

“Dah pukul berapa ni?” Fatiha menyoal dengan lagak seorang ibu. Emak mereka sudah pun lena diulit mimpi.

“Nek Wan, aku keluar melepak ajelah.” Bohong Izzul.

“Melepak sampai pagi. Dengan budak tak matang itulah agaknya.” Fatiha mencemik. Terbayang muka gatal Hero. Automatik dia menjulingkan matanya ke atas. Nampak gayanya Hero dah mempengaruhi abang dia.

“Kau pasal apa tak tidur lagi?” Izzul menyoal. Dia sendiri tak boleh jangka pukul berapa adiknya tidur. Kadang-kadang awal. Kadang-kadang lewat.

“Kalau aku tidur, siapa nak bukakan pintu untuk kau? Daripada kau ketuk tingkap bilik aku waktu aku tengah lena tidur, baik aku tunggu kau balik dulu.” Ujar Fatiha. Dia paling pantang bila tidurnya terganggu.

“Aku suruh bagi kunci kat aku, kau tak nak bagi…” Izzul terasa macam dia itu budak kecil pula kerana dikawal oleh adiknya sendiri.

“Ah, malas aku. Nanti kau hilangkan lagi.”

“Kejadian tu dua tahun lepas dah…” rungut Izzul. Dulu, sewaktu mereka tinggal di Selangor, dia pernah terhilangkan kunci rumah mereka. Mengamuk-ngamuk Fatiha sebab terpaksa pecahkan mangga dan tukar tombol pintu yang baru.

“Dua tahun pun… kau masih tak boleh dipercayai. Ni kenapa lewat sangat balik?” Fatiha masih tak berpuas hati. Semenjak dia mengikat jamin abangnya beberapa hari lepas, setiap jam pergerakan abangnya pun dia nak tahu kalau boleh. Takut Izzul tak berubah-ubah.

“Adalah hal aku.” Izzul berahsia. Malulah dia nak mengaku yang dia sudah bekerja.

“Dengan si gatal miang tu kan?” soal Fatiha sambil menjeling Izzul dengan tajam. Bergolek-golek mata hitamnya setiap kali teringatkan Hero.

“Dia tanya aku, hantaran kau berapa. Aku rasa dia memang nak kat kau la.” Izzul ubah topik. Serentak itu Fatiha menggeliat kegelian.

“Eee, geli. Dia tu ada masalah mental ke apa?”

“Jangan risau. Aku pun tak nak beradik-iparkan lelaki ligat macam dia. Aku cakap hantaran kau 30k.” Izzul terkekeh ketawa sendiri apabila teringat muka kelat Hero tadi.

“Kenapalah kau tak letak 100K terus?” ceber Fatiha.

“Tiga puluh tu dah kira banyak okey? Aku yakin sangatlah dia takkan mampu.” Izzul bersuara.

“Kalau dia mampu pun memang aku tak nak dekat dia.” Fatiha bangkit. Dia nak tidur.  

“Ni, boleh tak bagi aku kunci? Nanti tiap-tiap hari kau kena tunggu aku balik lewat.” Ujar Izzul.

“Tak. Nanti bila kau dah pegang kunci, kau akan balik waktu pagi buta…” Fatiha berkata lantas menutup tv. Dia masuk tidur tanpa ucapan selamat malam kepada abangnya. Izzul mengeluh. Payah pula kalau macam ni. Dia nak melepak selepas balik kerja pun tak boleh.
Nanti dia kena buat kunci pendualah.


“KAU ke mana, Hero? Dah lewat malam baru reti nak balik. Ingatkan betullah nak berubah. Tapi tetap juga balik lewat. Sampai ke pagi aku menunggu kau balik.” Bebel Badariah sebaik sahaja wajah Hero menyapa matanya.

“Kerja.” Hero melabuhkan punggung ke sebelah ibunya. Dah bersedia hendak dipukul. Mujur juga emaknya belum tidur lagi. Kalau tidak, panjat pagar sekali lagilah dia.

“Kerja apa? Bau petrol kuat sungguh kau ni.” Komen Badariah sambil mengembangkan hidungnya.

“Minyak tumpah kat seluar tadi.” Jawab Hero. Dia bukan sengaja pun tumpahkan minyak tu. Tapi gadis tadi isi minyak banyak-banyak sampai tertumpah keluar. Dia mana tahu isi dalam tangki gadis itu. Sepatutnya gadis tersebut lebih tahu berapa banyak yang ingin diisi minyaknya.

“Minyak tumpah?”

“Ye, ni ha, baju kerja orang. Orang kerja pump boy dekat Petron. Jangan risaulah lepas ni kalau orang balik lewat.” Gumpalan baju kerja itu dibuka dan dibentangkan di atas paha ibunya. Badariah mati kata. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman. Tak sangka langsung dia yang Hero betul-betul bekerja. 

“Tak sangka kau serius.”

“Baru hari pertama mak. Jangan nak gembira sangat.” Pesan Hero. Takut emaknya berharap lebih. Dia menaikkan kakinya ke sofa. Dia mengubah posisi dengan meletakkan kedua belah kakinya di atas paha si emak. Tangan Badariah automatik mengurut lembut paha anaknya.

“Mak tau kau boleh buat.” Ujar Badariah. Hero memejamkan matanya dan hanya diam. Tak mahu berjanji apa-apa.

“Nak tidur? Pergilah mandi dulu.”

“Penat.” Jawab Hero sepatah.

“Tak biasa buat kerja, penatlah… pergi mandi dulu, aku kata.” Desak Badariah. Tak suka bila si anak mengabaikan kebersihan diri.

“Melainkan mak nak mandikan orang, baru orang pergi mandi.” Hero pula, bila dia rasa tak nak mandi, memang dia takkan mandi. Paksalah macam mana sekalipun.

“Ish! Dah buang tabiat ke apa?” bebel Badariah.

Bila Hero bekerja, dia mula rasa lain macam. Macam tak percaya aje anaknya tiba-tiba dapat ‘hidayah’ nak bekerja sedangkan selama ini sudah puas didesak, dia tak mahu. Rasa sangsinya bertambah bila Hero suruh dia mandikannya. Memang betul-betul buang tabiat ke? Dia tak naklah anak jantannya mati sekalipun Hero banyak menyusahkan hati dia. Siapa tak sayang anak? Nakallah macam mana sekalipun, dah namanya anak, sayang tetap sama semuanya.

“Mak, Fatiha tu…” Hero tiba-tiba bersuara.

“Kenapa dengan dia?”

“Hantaran dia abang dia letak 30 ribu.” Sebenarnya, dia bukan nak bercerita sangat pun pasal Fatiha. Tapi dia nak menagih simpati emaknya. Mana tahu, emak dia boleh bantu dia kumpul duit untuk dijadikan hantaran?
Izzul kan tak bagi dia guna duit menang judi? Kiranya dia kena bermula dari kosong betullah ni.

“Abang dia yang letak?”

“A ah. Mak kenal abang dia. Izzul. Orang pernah buat balik zaman sekolah dulu… abang dia kata dia tak nak orang nikah dengan adik dia. Tu pasal dia letak 30k.” cerita Hero. Serentak itu emaknya ketawa mengekek tanpa suara.

“Padan dengan muka. Aku tak nak tolong.” Selamba Badariah berkata. Memang patut pun Izzul letak harga hantaran macam tu. Baru Hero sedar diri sikit. Siapalah nak beradik iparkan dia tu?

“Tak apalah. Cuma nak beritahu mak, suruh paksa orang kerja keras sikit nak kumpul duit tu.” Hero tukar fikiran pula. Tak namanya Herolah kalau guna pertolongan emaknya. Hish, nanti mesti Fatiha dan Izzul akan perlekehkan dia kalau dia gunakan pertolongan emaknya.

“Kau tu, aku paksalah macam mana sekalipun, tak jalan punyalah.” Badariah berkata geram. Hero itukan ‘hero’ sangat? Dia je betul. Degil!

“Alah, sebut-sebutlah nama Ti’ah tu. Bagi naik sikit semangat orang ni.” Ujar Hero lagi. Badariah mencemik. Daripada dia duduk sebut-sebut nama Fatiha, baik dia hantar anaknya berjampi bagi turut sikit kata dia.

“Ingat nak buat kerja lain jugaklah.” Tiba-tiba Hero berkata sendiri. Badariah agak terkejut. Memang Hero ni serius ke nak berbinikan si Fatiha tu? Mulalah dia rasa tak sabar nak jumpa Fatiha. Nak tengok sikit macam mana orangnya sampai anak jantan dia boleh jadi macam tu?

“Jangan yang takde faedah sudah le…” si emak berkata.

“Tau. Kerja halal ha, nak cari. Bercakap pasal dia, rindu pulak.” Keluh Hero.
Dia tak singgah ke rumah Izzul dulu tadi. Kalau dia singgah nanti, entah-entah Fatiha dah pun tidur. Izzul kata, Fatiha akan tidur awal bila dia harus kerja keesokan harinya. Jadi sia-sialah kalau dia datang rumah Izzul sekali pun. Nak berborak dengan Izzul? Cukuplah waktu bekerja saja dia menghadap muka Izzul. Itu pun sampai dah takde modal mereka nak berbual tadi.

“Angau! Menyampahlah aku layan kau ni!” Badariah menolak kaki Hero ke bawah sebelum bangkit. Tak kuasa dia nak melayan perangai gatal anaknya itu. Disebabkan seorang perempuan baru anaknya itu pandai nak berubah!

Sebelum ini, dah naik berbuih mulutnya menyuruh Hero berubah. Haram…



“HAI Ti’ah, minyak berapa puluh kali ni?” teguran itulah yang dia paling menyampah sekali! Tapi nak buat macam mana? Dia dah biasa isi minyak dekat situ. Memandangkan dia gunakan kereta Honda 1.6 cc, penggunaan minyak sangat banyak.

“Isi penuh.” Jawab Fatiha penuh meluat. Dia nak isi penuh supaya nanti dia tak perlu hadap muka Hero untuk beberapa hari. Ramai yang kata isi minyak di Petron ni banyak kelebihannya. Selain daripada kad ahli, minyaknya juga lebih murah berbanding pam minyak yang lain. Tak tahulah setakat mana kesahihannya. Selama, Fatiha selesa mengisi minyak di situ sehinggalah kemunculan Hero.

“Ada nak pergi mana-mana ke?” soal Hero. Pelik. Biasanya orang letak penuh sebab nak berjalan ke luar daerah saja.

“Kalau boleh nak pergi jauh dari awak.” Jawab Fatiha jujur namun berjaya menerbitkan senyuman nakal Hero.

“Alah, janganlah jauh sangat. Letih abang kejar nanti.” Hero bersandar ke kereta Fatiha tanpa rasa bersalah. Mujur dia lagi yang jaga di depan.
Rezeki dia agaknya dapat berjumpa lagi dengan Fatiha. Mujur juga pada waktu yang sama, Izzul kena buat kerja di dalam bilik staff. Selepas ini, dia dah boleh agak pukul berapa Fatiha akan muncul di situ dan Izzul tak perlu berlari selamatkan diri lagi.

“Diamlah.”

“Eh, Ti’ah pun layan lagu Deep Purple?” soal Hero terkejut apabila mendengar rentak salah satu lagu dari kumpulan kegemarannya, Deep Purple dari corong radio Fatiha. Apa lagi? Seronok dia menyanyikan lagu itu. Siap buat muka nakal lagi.

There once was a woman
A strange kind of woman
The kind that gets written down in history
Her name was Ti’ah
Her face was nothing fancy
She left a trail of happiness and misery
I loved her

“Tolong cepat sikit, boleh?” marah Fatiha sambil menghulurkan duit dan kad ahli Petron kepada Hero. Radio diperlahankan. Dia baru saja beli CD itu. Tak ada mood nak layan lagu itu bila mana Hero seperti sudah menghafal lagu itu. Dahlah suara macam katak. Lepas tu, siap buat isyarat petik gitar lagi. Bajet gila!

I want you, I need you, I got to be near you!” nyanyi Hero sambil kenyit mata ke arah Fatiha. Dia berjalan ke arah kaunter sesudah mengambil wang yang dihulurkan kepadanya. Kalau orang lain datang isi minyak, jangan harap dia nak jadi serajin itu untuk menolong membayar di kaunter. Fatiha punya pasal, dia sanggup.

Hero muncul semula. Kad diserahkan semula kepada Fatiha. Dia menarik nozzle Ron 95 lantas dimasukkan ke dalam lubang tangki kereta Fatiha. Sampai angka RM 10.00, pam itu automatik terhenti. Fatiha ternganga melihatnya.

“Kenapa sepuluh? Saya suruh letak penuh kan?” soal Fatiha.

“Kalau rasa nak letak penuh sebab tak nak tengok muka abang lagi, sorrylah Ti’ah. Abang bayar minyak 10 ringgit aje. Esok datang lagi ye?” ujar Hero sesudah melakukan kerjanya.

“Mana baki?” tak percaya sungguh yang dia bakal diperdaya oleh Hero!

“Esok datang, abang bagilah…” jawab Hero bersahaja. Tangan menyeluk kocek, dikeluarkan pencungkil gigi lantas digigit-gigit.

“Eh! Dia ni… bagi balik!” Fatiha rasa nak mengamuk. Tangan ditadah. Hero buat muka tak bersalah. Langsung dia abaikan permintaan gadis itu.

“Bagilah balik…” Fatiha mula menggunakan nada memujuknya. Mana tahu, hati Hero akan sejuk? Hero, walau bagaimanapun berjaya mengukir senyuman mendengar suara lembut Fatiha itu.

“Abang tak lari ke mana. Ada kat sini. Esok datang lagi. Kesian orang belakang. Dah lama tunggu…” bohong Hero. Fatiha mendengus. Tak berjaya juga rupanya dia nak memujuk.

“Cepatlah. Hati-hati, sayang.” Sempat lagi Hero kenyit mata.

I hate you!” Sempat dia menyeranah.

I love you too.” Jawab Hero sambil memuncungkan mulutnya, melayangkan flying kiss. Fatiha menjelingnya setajam-tajamnya. Lantaklah, Ti’ah…

Fatiha mendengus kasar. Macam mana niat murni dia diketahui oleh Hero? Hero pakar nujum ke apa? Menyesal dia tak tipu Hero dan cakap yang dia nak ke KL atau ke mana-mana. Ahhh! Dah melepas duit RM40 dia. Entah besok duit itu ada lagi entahkan tidak. Hero tu bukannya boleh percaya!
Dia pandang melalui cermin pandang belakang. Terkejut melihat lelaki itu terkinja sambil melagakan kedua belah kakinya di udara. Bahagia sangat. Baru Fatiha perasan, dia ditipu. Mana ada orang yang tunggu di belakang dia. Memang Hero ni nak kena betullah!
Kalau dia pusing balik, nanti semakin giat Hero menyakatnya. Heee, semakin hari dia semakin benci pada Hero.

“Kalau dapat tu memang aku cekik-cekik dia sampai biru!” ujar Fatiha dengan gigi yang terkacip. Siapa sangka yang minyaknya bakal dicatu oleh Hero? Memang puaka sungguhlah Hero ni.

Kalaulah dia tahu ilmu pertahankan diri, dah lama patah tulang si Hero tu dia kerjakan.


Oh, Boy!Where stories live. Discover now