“HAI…” Teguran Hero itu disambut dengan pandangan kosong dari Fatiha. Sudah tiga hari, Hero langsung tak datang ke rumahnya. Mungkin terkesan sangat agaknya dengan nama Aina. Bila Fatiha datang ke pam minyak pun Hero buat tak nampak saja, sebaliknya menyuruh pekerja Bangladesh yang tolong isikan minyak.
Mujurlah Hero jujur. Duit RM30 masih berbaki. Dan duit itu pun sudah habis digunakan untuk minyak kereta Fatiha.
Hero dan Izzul berpandangan bila tegurannya tidak dibalas Fatiha. Fatiha seperti merajuk pun ada gaya… takkan rindukan suara dia kut? Hero tersenyum sendiri dengan andaiannya. Izzul ke dapur, mencari makan. Lapar sebab masih belum makan malam. Fatiha mengesot ke kanan bila Hero mengambil duduk di sebelahnya.
“Meoww…” panggil Hero tiba-tiba. Fatiha menjeling. Sekejap saja kucing tersebut memanjat seluar Hero dan duduk di atas ribaannya.
Fatiha memandang perlakuan lelaki itu dengan ekor mata. Hero sedang mengusap kucingnya.
“Dah hantar vet?” soal Hero, cuba memulakan perbualan.
“Dah.” Jawab Fatiha sepatah. Tak selesa bila berdua-duaan di situ. Kenapalah Izzul boleh jadi ‘sporting’ sangat hari ni.
“Doktor kata?” soal Hero lagi.
“Doktor sembur je. Pastu bagi ubat cacing.” Jawab Fatiha, mana yang perlu.
“Dah bagi nama?” soal Hero lagi.
“Panggil Meow je.” Jawab Fatiha sepatah. Hero mati kata. Payah sungguh nak ajak Fatiha berbual. Merajuk ke sebab dah tiga hari tak bersua muka selepas ‘kes’ Aina dulu?
“Aina tu, kenapa Ti’ah berminat nak tanya tentang dia?” soal Hero tiba-tiba. Kali ini, perhatian Fatiha sepenuhnya terganggu. Dia pun masih memikirkan tentang hal itu. Alang-alang dah Hero sebut ni…
“Saja nak tahu kenapa dia menyampah sangat dekat awak. Dia pesan macam-macam. Tak bagi saya dekat dengan awak. Tak bagi Izzul dekat dengan awak. Literally, dia tak bagi sesiapa pun dekat dengan awak…” jujur Fatiha berkata. Kedengaran Hero ketawa kecil mendengarnya.
“Oh, Ti’ah rasa?” soal Hero. Fatiha diam. Kemudian dia angkat bahu. Dia tak tahu sebenarnya dia rasa apa sekarang. Dia rasa nak tahu sangat. Itu saja. Takkanlah Hero sampai tak layan dia kalau Aina tu tak ada apa-apa dengan dia kan? Ish. Kenapalah dia risau sangat kalau Hero tak layan dia? Bukankah itu lebih bagus?
“Saya syak, dia ex awak. Mungkin pernah terkena dengan awak. Mungkin pernah awak rosakkan dia.” Kata Fatiha tanpa memandang ke arah Hero. Hero tergelak mendengar andaian Fatiha itu.
“Dia ex…” tak sempat Hero nak sambung kata-katanya, suara Izzul menyapa.
“Woi! Turunkan kucing tu. Aku nak makan.” Izzul muncul dengan pinggan nasi di tapak tangan. Dia duduk di antara Hero dan Fatiha. Tak bagi Hero rapat dengan adiknya. Tidak sama sekali.
“Satu hari nanti, kita akan ada a very nice conversation. Waktu tu kita cakap pasal dia ek?” Hero terpaksa menunduk ke depan untuk memandang Fatiha yang terhalang dengan badan Izzul.
“Apa? Apa ni? Aku missed drama apa ni?” Izzul memandang adiknya dan Hero silih berganti. Fatiha bangkit. Kucingnya terjun dari ribaan Hero sebaik sahaja dia bangkit.
“Adalah. Hal orang besar.” Hero jawab selamba namun berjaya membuatkan Fatiha hampir tersenyum. Hampir. Besarlah sangat…
“Puih besar dia.” Izzul buat muka meluat. Hero mengekek ketawa. Fatiha tak pasti sama ada hendak meminta diri atau terus saja pergi. Sewaktu kakinya melangkah, dia dipanggil Hero.
“Ti’ah…”
“Hmmm?”
“Kucing tu. Letak nama Muncet.” Hero memuncungkan mulut ke arah kucing Fatiha.
“Kenapa?” berkerut-kerut kening Fatiha. Nak kata kucing itu buncit? Tak pun… kenapa nama comel sangat tu?
“Nanti bila dia dah dijaga rapi… badan dia pun dah sihat… nama tu sesuai dengan dia.” Jawab Hero selamba. Fatiha berlalu ke dalam biliknya. Pelik.
Muncet mengekorinya masuk ke dalam bilik.
“Weh, apa kena dengan kau ngan Ti’ah?” Izzul mula memasang syak.
“Tak ada apalah… adik kau mungkin tengah tahan ego dia dari tak peluk aku.” Hero sengih nakal.
“Puih kau!” serentak itu, nasi-nasi yang dikunyahnya tersembur ke arah Hero.
“Weyyy habat!” Hero bangkit. Mujur tak tersembur ke mukanya. Izzul sengih.
“Jangan nak perasan sangat.”
“Aku rasa dia rindu aku. Dah tiga hari aku tak tegur dia.” Hero masih lagi perasan.
Izzul gelengkan kepalanya. Kalau Fatiha rindu, mesti Fatiha tanya dekat dia tentang Hero. Ini tak ada pun. Tiga hari Hero tak datang ke rumahnya, adik dia boleh buat selamba. Macam tak ada apa… Hero yang terlebih perasan.

YOU ARE READING
Oh, Boy!
FanfictionNovel ini telahpun dibukukan. Di bawah penerbitan Love Novel Publication. Boleh cari di mana-mana kedai buku. Stok tiada pada saya. Sinopsis novel ada di dalam. Jemput baca. 🚫 Dilarang plagiat