Bab 4

138 8 0
                                    

“KALAU kau serius, abah cabar kau berterus-terang dengan mak kau tentang apa yang kau dah buat selama ni. Minta maaf dengan dia sebab kau dah banyak kali buat dia susah hati.” Ismail berpeluk tubuh di hadapan Hero. Hero mengeluh sebaik sahaja mendengar ‘syarat’ bapa tirinya. 

“Tak berani kan?” soal Ismail sambil tersenyum sinis.

“Duduk ‘dalam’ dululah sampai kau dapat kesedaran.” Ismail bersuara tidak lama kemudian.

“Jap… jap… jap! Fatiha punya pasal, bolehlah.” Bukan sebab Fatiha pun sebenarnya tapi sebab dia dicabar. Dia pantang dicabar! Dan dia tak mahu bermalam di lokap.

“Tak kisah kalau mak tak nak cakap dengan kau?” soal Ismail lagi, giat nak menyakat. Walaupun Hero ni nakalnya terlajak, tapi dia akan kalah dengan emaknya.

“Takkan lama…” jawab Hero yakin. Amarah emaknya takkan lama. Sama macam tempoh dia dengar nasihat orang. Nanti dia buat balik perangai buruk dia.

So?” Ismail angkat kening.

Deal!” Hero melompat turun dari meja yang dia duduk tadi.

“Dan, abah betul-betul nak tengok kau berubah. Kali ni abah betul-betul maksudkannya. Kalau tak ada juga, abah mintak maaf sangat-sangat. Abah akan biarkan aje kau kat dalam.” Suara Ismail bertukar serius.

“Baik, Tuan!” dia menabik bapanya.

No more rosakkan anak dara orang…” jari telunjuk Ismail betul-betul di depan muka anaknya. Hero julingkan mata ke atas.

“Keringlah aku nanti.” gurau Hero. Mata Ismail membesar, serentak itu tangannya mencepuk belakang kepala anak. Kuat. Hero tergelak besar. Belakang kepala digosok-gosok.

“Kau duduk dalam jel je. Apa punya penyakit mental yang kau ada ni, Hero? Jadi satu kepuasan ek rosakkan anak dara orang? Nanti orang cap kau sebagai perogol baru padan dengan muka. Duduklah kau kat jel bertahun-tahun.” Kadang-kadang dia tak sangka yang isterinya sebaik itu dikurniakan anak setan seperti Hero.

“Alah… aku main-main aje pun. Serius sangat tu nak ke mana, bah? Aku tak pernah rosakkan anak dara oranglah. Diaorang dah rosak pun…” Hero merungut. Dia bergurau aje pun. Itupun Ismail nak ambil serius. Takkan matilah dia kalau tak dapat sentuh perempuan. Tapi dia akan mati kalau tak dapat bebas dari lokap itu!

“Jangan jadi tikus membaiki labu. Kau ni dah macam orang tak ada agama. Kau nak jadi macam abah kandung kau ke?” soal Ismail. Berubah air muka Hero sebaik saja mendengar perkataan abah kandung itu. Kadang-kadang dia rasa macam Ismail itu abah kandungnya.

“Aku takde abah yang macam tu.” Rengusnya.

Clearly perangai kau memang menunjukkan kau nak jadi macam dia.” Semakin tajam kata-kata Ismail itu membuatkan Hero naik angin.

“Aku tak main dadah! Aku tak pukul perempuan. Aku tak sama macam dia!” dada Hero turun naik. Mengherdik orang tua bukanlah perangainya, cuma dia geram sangat!

“Tapi keluar masuk jel… menyusahkan hati mak kau. Tak ada tanggung jawab langsung dalam diri. Sama tak, sekarang?” Ismail terpaksa gunakan cara itu. Dulu dia bimbang Hero bakal goyah dengan kata-katanya itu. Sekarang tak lagi. Hero perlu sedar.
Hero diam lama. Keningnya berkerut marah. Dia tak marahkan Ismail. Dia marah pada dirinya sendiri. Dia sedar yang dia banyak menyusahkan emaknya tapi tetap juga dia tak nak berubah.

Itu cara dia senangkan hati sendiri. Bukannya dia nak cari perhatian pun. Kalau dulu, ya. Tapi sekarang tidak lagi. Perlakuan buruknya dah menjadi satu rutin yang dia tak boleh nak ubah.
Ismail mengeluh. Dia tak selesa bila melihat riak sedih Hero. Hero tak pernah kelihatan sesedih itu. Hero yang dia kenal sentiasa tersenyum megah. Bahu Hero disentuh.

“Abah minta maaf.” Tersedar keterlanjurannya.

“Aku bencikan dia, bah. Kenapa tak abah je yang jadi abah kandung aku dari pertama kali aku celik mata dulu?” soal Hero. Penuh terkilan suara dia. Ismail mengeluh. Rasa terharu, sedih, bersalah semuanya bercampur menjadi satu.

“Takdir…” jawab Ismail sepatah.
Hero betul-betul sanjung tinggi pada Ismail. Cita-citanya sewaktu kecil dulu ingin menjadi seorang anggota polis tetapi diketawakan oleh ayah kandungnya sendiri.

‘Kau nak buat apa jadi polis? Nak terima rasuah? Nak tangkap aku? Jadi polis ni indah khabar je dari rupa.’ terngiang-ngiang lagi ejekan ayah kandungnya yang sedang berkhayal dulu.

“Semua orang ada pengalaman yang tak serupa. Ada yang celik mata tak ada mak ayah langsung. Ada yang tak ada mak. Kau ada dua-dua, walaupun bapak kau tak macam bapak orang lain… tapi kau patut belajar dari situ, Hero. Jangan jadi macam dia. Kau patut jadi pelindung untuk adik-adik dan mak kau.” Ismail berkata. Hero hanya diam.

Ismail turut membisu. Dia tahu Hero bukannya suka dipujuk. Jadi mereka berdua hanya mendiamkan diri.

“Aku tak retilah, bah…” tiba-tiba Hero bersuara. Ismail angkat kening.

“Apa?”

“Berubah. Dah banyak kali aku try. Tapi tak ada yang best pun jadi baik. Balik-balik, orang tetap cap aku budak jahat.” Kata-kata Hero itu membuatkan Ismail tersenyum. Jadi, Hero ada fikirkannya?

“Kalau kau berubah semata-mata nak orang pandang mulia dekat kau memang susahlah. Niat tu kena betul. Baru semuanya jadi lancar. Macam mana kau reti berubah dari baik ke jahat waktu kau kecik dulu, macam itu jugalah kau kena ubah perangai dari jahat ke baik. Abah tahu, kau tak terus berubah jadi jahat sekelip mata. Kau mesti mula buat nakal dengan rasa teragak-agak. Dalam masa yang sama, kau tetap nak try. Bila dah try sekali, kau buat kali kedua. Sampai last-last rasa teragak-agak kau tu hilang.
Macam itu jugalah nak berubah jadi baik. Mula-mula rasa tak yakin. Tapi bila dah satu demi satu kebaikan yang kau buat, last-last, benda tu jadi rutin. Dan bila dah jadi rutin, kau nak buat jahat pun kau rasa serba-salah balik. Kalau kau expect yang kau boleh berubah mendadak, memang taklah. Manusia bukannya boleh berubah dalam sekelip mata.” Selamba Ismail berkata.

Hero tak nafikan kata-kata Ismail itu. Memang betul. Pada awalnya dulu, dia mula menjadi budak nakal dengan cubaan pertama memonteng sekolah. Kali kedua, rasa takut masih kuat. Kali ketiga, dah berkurangan. Rasa seronok sebab dapat menakal dengan kawan-kawan sebaya. Bila dah selalu buat, rasa takut, ragu-ragu semua dah tak ada. Malah, buat nakal menjadi satu kebanggaan pula bagi dia.

“Aku cubalah.”

“Attaboy!” digosok-gosok kepala Hero bagaikan menggosok kepala budak tadika. Hero tersenyum dengan perlakuan Ismail. Perlakuan penuh kasih itulah yang membuatkan dia semakin sayangkan bapa tirinya.

“Tapi aku memang kena bagitahu mak ke pasal aku kat sini?” soal Hero tiba-tiba. Ismail sengih. Tak sangka Hero masih fikirkan tentang itu.

“Mestilah.”

“Matilah aku.” dia garu telinga. Dia tahu nasibnya nanti.

Oh, Boy!Where stories live. Discover now