“TENGOK cerita apa ni?” soal Hero cuba mengajak Fatiha berbual. Fatiha menjelingnya sekilas. Tiada jawapan yang terbit dari mulutnya. Sepatutnya Hero dah boleh nampak tajuk yang tertera dekat hujung skrin tu.
Hero sengih gatal. Dipandang Fatiha atas bawah. Comel saja gadis itu berseluar tidur putih bercorak kucing. Baju yang dipakai hanya t-shirt kosong yang berwarna kelabu. Duduk di rumah pun pakai seluar panjang. Kalau adik-adik perempuannya, jangan haraplah nak berseluar panjang di rumah.
“Apa tengok-tengok?” soal Fatiha tanpa memandang ke arahnya. Dia pandang tv, tapi dia masih boleh merasakan dirinya ditenung lelaki itu. Geli sungguh! Hero ketawa kecil mendengarnya.
“Cantik telinga Ti’ah. Macam keropok.” Laju Fatiha menekup kedua belah telinganya. Geli datang lagi. Geli dan meluat dengan suara Hero. Hero ketawa melihat reaksi spontan Fatiha itu. Comel!
“Perv!” marah Fatiha. Dia tahu tujuan Hero tegur telinga dia. Lelaki itu sengaja nak ingatkan dia pada kejadian itu.
Tidak lama kemudian, muncul Izzul yang tak berbaju. Rambut masih serabai. Mata digosok berkali-kali. Si emak pula ke dapur, sediakan air untuk Hero.
“Woi, nak apa datang cari aku malam-malam?” tegurannya sekali gus mengalih tumpuan Hero. Hish, Izzul ni, kacau!
“Aku nak jumpa adik kau. Tapi dia buat tak tau je. Aku bagi alasan nak jumpa dengan wali aku.” Hero berkata sambil tersengih gatal memandang Fatiha. Mata hitam Fatiha mula berkeliaran. Meluat!
“Wali ke pembaca talkin?” Fatiha menjegilkan matanya.
“Eh eh? Tersilap pula. Maafkan abang ya, sayang?” Hero buat-buat takut. Garang sungguh Fatiha ni. Tak boleh nak bawak bergurau langsung. Fatiha mendengus geram. Kenapalah abang dia boleh berkawan dengan lelaki segatal Hero?
“Heee, geli betul aku dengan makhluk ni.” Fatiha menggeliat geli-geleman. Dia bangkit, bantal sofa dicampak ke muka miang Hero sebelum dia masuk ke bilik. Memang mati selera dia untuk terus menonton tv.
Izzul ketawa lucu. Dia fikir Hero hanya bergurau. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Hero.
“Kenapa weh?”
“Saja je. Dah lama tak melepak dengan kau.” Kata Hero sekadar berbasa-basi.
Pada awalnya tadi dia bercadang nak pergi melepak di kedai Encik Rosli di Simpang Tiga memandangkan dia dah dihalau oleh emaknya. Tapi kawan-kawan dia pula tiada di situ. Masih terlalu awal untuk melepak agaknya. Jadi, dia buat keputusan untuk merempit ke Kampung Gua.
“Kau datang ke sini naik apa?”
“Motor.” Jawabnya sepatah.
“Sorang-sorang je? Lampu jalan takde weh, gelap. Bahaya…” ujar Izzul.
“Tapi lampu motor aku ada. Lagipun dah biasa sangatlah, Zul. Lipis ni hak aku. Jalan dia semua aku dah hafal.” Hero berkata penuh lagak. Izzul mencemik. Sekali tersembam dekat jalan yang dia hafal tu nanti, padan dengan muka. Bisiknya dalam hati.
“Macam mana kau boleh lepas? Eh, jangan cerita dekat mak aku pasal kita tu, dia tak tahu.” Izzul garu belakang tengkuk sambil kepala menoleh ke arah dapur. Bimbang emaknya dengar perbualan mereka.
“Oh, mujur kau pesan. Okey. Aku… adalah aku buat deal sikit dengan abah aku.” Hero bersuara perlahan.
“Deal apa?” soalan Izzul itu membuatkan dia tersenyum. Takkanlah dia nak mengaku yang deal itu melibatkan Fatiha?
“Aku kena kerja. Serius dalam hidup. Itu, ini… biasalah orang tua. Nak pulak kantoi dengan mak aku, teruk dia mengamuk ni tadi…”
“Macam mana boleh kantoi?” soal Izzul berbisik. Takut emaknya dengar.
“Ada kawan dia bergosip pasal aku. Teruk weh aku kena basuh.” Perlahan-lahan dia cuba lencongkan topik.
“Patutlah kau nampak bersih semacam. Aku pun teruk jugak kena basuh tadi. Singa garang tu dah warning aku dah. Sekali lagi aku masuk jel, dia tak nak tolong dah. Kau takpe lagi, banyak kabel. Aku, dia itulah satu-satunya orang yang boleh tolong aku.” Izzul berkata perlahan. Lagipun, dia dah fikirkan apa yang Fatiha bebelkan siang tadi. Memang dia perlu lebih bertanggung jawab dalam hidupnya.
“Kau pun kena cari kerja ke weh?” soal Hero dengan mata terbeliak.
“Ha ah. Aku kena ganti balik duit dia sebelum dia pecahkan rahsia aku.” Izzul menceber. Dia tak ada pilihan lain dah.
“Jomlah cari kerja dengan aku.” ajak Hero. Lagi seronok kalau ada kawan untuk bekerja sekali. Tak adalah dia rasa bosan nanti. Lagi-lagi kalau bekerja dengan kawan yang sekepala dengannya.
“Aku ingat nak mintak kerja 7E je.” Izzul bersuara. Hero tergelak.
“Aku dah tanya member-member yang kerja 7E tadi. Tiga-tiga takde kerja kosong. Kat sini ada tiga je pun 7E.” cemik Hero. Peluang pekerjaan di sini memang agak terbatas.
“Adeh…”
“Aku nak try mintak kerja dekat Petron.” Hero berkata pula tidak lama kemudian.
“Cashier?” teka Izzul. Hero mencebik.
“Pumpboy.” Sebaik sahaja mendengar jawapan itu, Izzul ketawa berguling-guling sampai ke lantai. Bukannya dia ketawakan pekerjaan itu. Tapi dia ketawakan Hero sendiri.
Sewaktu mereka remaja dulu bukan main eksen Hero kata yang dia tak nak kerja yang bergaji kecil. Tak nak kerja kuli-kuli orang. Nak jadi bos katanya dulu… orang yang bekerja sebagai pump boy tu hanyalah orang yang bertaraf rendah katanya. Sekarang apa jadi?
“Gelaklah. Aku tahu ini reaksi kau.” Hero tepuk tangan dengan muka meluat. Dia masih ingat dengan kata-kata angkuhnya sewaktu mereka remaja dulu. Salah dia sebab dah perlekehkan kerja itu.
“Apa berdekah-dekah sampai macam tu, Long? Seram jiran dengar nanti. Malam ni kan?” marah si emak yang datang dengan secawan air kopi di tangannya. Jiran bukannya duduk dekat-dekat pun. Kalau silap dengar, nanti mereka fikir hantu melolong pula.
“Jemput minum, Hairul.” Cik Yam menghidangkan air Nescafe O panas di depan Hero bersama biskut tawar cap Ping Pong.
“Untuk Hero aje ke, mak?” soal Izzul.
“Kau boleh tuang sendiri, kan? Ke dah tak ada tangan?” jeling si emak. Malas dia nak tuangkan air untuk anaknya.
“Eh, susah-susah aje, mak…” Hero malu-malu.
“Mak?” Izzul kerut kening. Amboi, sejak bila mak dia jadi mak Hero pula ni?
“Saya dah anggap mak cik macam mak saya sendiri.” Pick up line untuk bakal emak mertua pula diberi.
“Oh, panggil ajelah mak. Mak tak kisah pun. Dah lama kenal Hairul…” ujar Cik Yam. Dia tak kisah pun kalau kawan-kawan anaknya nak panggil dia dengan panggilan ‘emak’. Dia lagi suka. Itu tandanya dia disenangi oleh kawan-kawan anaknya.
“Kelas ayat kau.” Puji Izzul sebaik sahaja emaknya meminta diri untuk masuk tidur. Hero tersengih bangga. Tu baru sikit…

YOU ARE READING
Oh, Boy!
FanfictionNovel ini telahpun dibukukan. Di bawah penerbitan Love Novel Publication. Boleh cari di mana-mana kedai buku. Stok tiada pada saya. Sinopsis novel ada di dalam. Jemput baca. 🚫 Dilarang plagiat