Bab 14

115 4 0
                                    

“TAK machonya kena teman mak pergi Tong Fat…” Hero menarik kolar bajunya untuk menutup mukanya. Malu bila kena tolak troli pasaraya tersebut. Si emak hanya melenggang di depan.

“Baru sekali kena tolong aku, terus kecoh.” Si emak mencemik. Bila lagi dia nak berjumpa dengan Hero? Hero cuti kerja pun sehari seminggu. Dalam tempoh sehari tu, lebih baik dia manfaatkannya.

“Yelah. Macam tak ada orang lain mak nak mintak tolong.”

“Bukan senang aku nak pergi Tong Fat dengan kau. Sekarang bukan main busy lagi dengan budak Fatiha tu…” Si emak berkata selamba.

“Puan Badar, kamu jeles ye dengan Fatiha?” Hero menyoal emaknya. Badariah ketawa perlahan. Rasa nak lempang-lempang Hero bila Hero panggilnya Puan Badar. Kepala digeleng-gelengkan. Dia lega sebenarnya bila si anak sudah bekerja. Biasanya Hero bila dah bekerja sehari dua, mesti berhenti. Kali ini tidak… itu yang dia rasa bangga sangat tu.
Hero terpandangkan kereta yang cukup dia kenal. Bibir terukir senyum nakal. Memang kuat betul jodoh mereka.


TERNAMPAK saja Hero yang seperti sedang menunggunya di depan pintu masuk Tong Fat itu, laju kaki Fatiha melangkah ke arahnya. Buat pertama kalinya, dia teringin sangat nak berjumpa dengan Hero.

“Tengok tu…” tegur Cik Yam. Dia rasa macam Hero bakal dimarah oleh Fatiha. Tengok muka cemberut Fatiha pun dia dah tahu.

“Mak masuk dulu… Ti’ah nak settlekan bayi pra matang tu.” Fatiha sinsing lengan. Senang dia nak silatkan Hero sebentar lagi. Cik Yam menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mengambil troli dan terus masuk. Sempat Hero menyapanya.
Manakala Fatiha… gadis itu sudah tercegat di depan Hero.

“Haiii. Miss me?” sapa Hero. Fatiha julingkan matanya ke atas.

“Mana kucing saya?” marah Fatiha. Hero usap dada.

“Amboi garangnya. Tenang… tenang… Muncet ada dekat rumah main dengan Lulu, Debbie, Baby…” Hero sebut nama kucing-kucingnya. Serta-merta amarah Fatiha menyurut sebaik saja mendengar nama-nama kucing Hero yang sangat comel bunyinya.

“Bagi dia makan tak?” soal Fatiha dengan nada mengendur.

“Bagilah tentunya…” Hero geleng kepala. Takkanlah dia sekejam itu untuk membiarkan kucing insan kesayangannya itu kelaparan?

“Petang karang awak pulangkan balik…” jari telunjuk Fatiha sudah di depan muka Hero, tanda amaran. Siap dikecilkan matanya lagi. Hero senyum dan menabiknya.

“Mak, ni bakal bini orang, Fatiha.” Tiba-tiba Hero mencuit seorang wanita tua di belakangnya yang tadi sibuk berbual dengan kenalannya. Fatiha ternganga. Laju dia menurunkan jari telunjuknya tadi. Tak tahu pun yang emak Hero juga di situ. Haraplah emak Hero tak dengar amarahnya tadi.
Nama aje Hero, tapi kena teman emak pergi beli barang pasar! Lawak.

“Inilah orangnya?” ceria bukan main wajah Badariah sebaik sahaja melihat muka Fatiha. Fatiha serba-salah. Dia bencikan Hero. Tapi… emaknya comel sangat pula.

“Amm… hmmm… saya Fatiha, mak cik…” nak tak nak Fatiha terpaksa mengalah. Tangan dihulur untuk bersalam.

“Saya bukan bakal bini dia, mak cik. Dia ni kawan abang saya. Anak mak cik ni nakal sangatlah. Dia culik kucing saya.” Adu Fatiha. Hero nampak terkejut dengan tindakan Fatiha itu. Tiba-tiba dia tersenyum. Tak hairan langsung bila gadis itu mengadu pada emaknya. Emaknya dah tahu pun.

“Memang dia macam ni. Jangan risau. Hero suka kucing. Dia jaga baik kucing tu. Katanya, kejap lagi dia nak mandikan pulak. Tadi dia bawak mak cik ke Mr. D.I.V, beli kolar kucing tu.” Badariah berkata dengan riuh. Ramah sungguh orangnya. Bisik hati Fatiha.

“Mr. D.I.Y lah mak. Bukan D.I.V. Kalau D.I.V tu jadi Do It Vourself. Kan payah nak sebut tu?” Hero membetulkan kata-kata emaknya. Fatiha tahankan dirinya daripada gelak. Bengong sungguh Hero ni! Iyakan sajalah. Biasalah orang tua, mesti ada benda yang mereka salah sebut.

Macam emaknya dulu, bila ajak pergi Tong Fat, mesti sebut Tong Fong. Banyak kali dia dan Izzul ajar, baru sekarang boleh sebut dengan nama yang betul.

“Mana-mana ajelah…” Badariah menjeling anaknya.

“Mak cik, petang ni suruh dia pulangkan balik ya pada saya?” pinta Fatiha tanpa malu. Dia memang nak kucing dia balik. Kalau dia kena minta dengan nenek Hero pun dia sanggup.

“Hero, kau dengar kan?” Badariah menjeling anaknya.

“Hmmm. Yelah.” Hero mengalah. Fatiha senyum kemenangan. Mujur juga dia jumpa emak Hero dekat sini. Biar Hero tu kena azan sikit.

“Okeylah, mak cik. Saya masuk dulu. Emak saya dah ada kat dalam.” Fatiha meminta diri. Emak Hero tersenyum-senyum dari tadi.

“Awak tak pulangkan memang siap eh? Saya upah Misha Omar mintak awak pulangkan kucing saya.” Jari telunjuk diangkat lagi di depan muka Hero dengan gaya gengsternya tersendiri.
Hero tergelak mendengar kata-kata Fatiha itu. Walaupun Fatiha sangat serius, namun dia rasa ayat itu lucu. Dia boleh bayangkan suara Misha Omar dalam lagu Pulangkan itu.

“Lawanya dia.” Komen Badariah setelah Fatiha meninggalkan mereka.

“Kan?”

“Comel sangat budaknya. Tak payahlah Hero nak tackle dia. Cari orang lainlah. Tengok aje pun aku dah tahu anak aku tak layak untuk dia.” Ujar si emak penuh selamba.

“Tak layak? Ini Herolah mak. Mestilah layak! Tak ada orang lain dah yang lagi layak dari orang…”  Hero berkata penuh semangat.

“Dia boleh dapat lebih elok dari kau. Apa yang menyebabkan kau yakin nama kau mampu meyakinkan dia untuk terima kau? Cakap sikit ada apa yang hebat sangat dengan ‘hero’ kau tu. Asyik buat masalah aje! You are nothing to her. Useless.” Bebel si emak lagi. Cuba untuk menyedarkan Hero tentang kedudukannya.

“Amboi bab mengutuk anak sendiri, terus boleh cakap orang putih ek? Tadi huruf V dengan Y pun tak boleh beza.” Hero sedikitpun tak terasa walaupun dikutuk sebegitu oleh emaknya sendiri. Itu memang cara emaknya membakar semangat anak-anaknya.

Emaknya tahu yang dia itu suka dicabar. Bila dia rasa tercabar diperlekehkan, dia akan buktikan kepada emaknya yang dia boleh lakukannya.

Macam nak dekati hati Fatiha. Dia akan cuba sampai jaya.

Badariah mengekek gelak bila dikutuk anaknya. Bukan dia tak kenal huruf. Dia cuma tak nampak sangat. Biasalah mata orang tua…



“APA yang awak buat ni?" Sergahan Fatiha mengejutkan dia. Cis! Dia ingat tak ada sesiapa yang nampak perbuatannya. Perbuatan yang dirasakan seronok.

"Masukkan barang dalam troli orang." Jawabnya selamba sambil meletakkan lagi sebungkus biskut ke dalam troli milik entah siapa itu. Siapa suruh tinggalkan di merata-rata? Kan dah jadi mangsa? Ada troli pun masih malas hendak menolak. Bukan susah pun… zaman dulu orang kena heret raga langsung.

"Ya, saya nampak. Maksud saya, apa kepentingan awak buat macam tu? Keluarkan balik sekarang." Arah Fatiha tegas. Tak suka betul dia dengan cara Hero yang suka cari pasal itu.

"Suka-suka aje pun..." Hero tersengih-sengih.

"Suka-suka? It's not funny! Macam mana kalau orang tu betul-betul sedang berjimat untuk segala perbelanjaan dia? Lepas tu waktu nak bayar, tak cukup duit? Seronok betul kan awak bagi masalah dekat orang?" Bebel Fatiha lagi.

Kalau ikutkan, tak ingin sebenarnya dia nak menegur Hero. Tapi dia ternampak perlakuan lelaki itu tadi. Takkan nak dibiarkan ramai orang menjadi mangsa kepada kenakalan Hero itu? Tak elok sungguh!

"Baik mak cik."

Hero keluarkan semula barang-barang yang dia masukkan tadi lantas diletakkan secara rawak ke rak di tepinya. Fatiha berpeluk tubuh dan masih berdiri di situ. Dia nak tunggu sampai Hero betul-betul pergi baru dia puas hati.

Hero pula, sibuk menari dengan gaya macho mengelilingi Fatiha. Fatiha tak tahan! Dia rimas dengan Hero yang tak pernah serius itu. Dia mengalah akhirnya dan meninggalkan lelaki itu.

Hero tersenyum nakal.

"Ti'ah ni baik sangatlah..." Dia bersuara perlahan. Biskut di rak tadi, diletakkan semula ke dalam troli tadi sebelum dia meloncat dan melagakan kedua belah kakinya penuh gembira. Yippie!
Bahagia bila ditegur kekasih hati.


“EH, kuat betul jodoh kita kan? Jumpa lagi.” Hero sengih-sengih bila mereka terserempak lagi di tempat menimbang sayur.

“Ya, sebab Tong Fat ni bukannya sebesar kedegilan awak.” Fatiha berkata dengan gigi yang terkacip. Besar manalah sangat TF tu. Pusing-pusing, memang akan nampak muka yang sama membeli barangan.

“Sebesar kedegilan abang? Whoa. Bukan sebesar ego Ti’ah ke?” ujar Hero sebelum berlalu. Budak tukang timbang sayur dah tersenyum-senyum mendengarnya. Hero bersiul-siul bila mendapat jelingan dari Fatiha.

Don’t talk to me.” Fatiha segera menjauhi Hero. Sejak bila pula dia ego? Ketika dia sedang memilih petola, sekali lagi Hero bertepek dekat situ. Hero bukannya tolong emak dia sangat pun, banyak nak merayap aje.

“Urghhhh!” Fatiha menderam sendiri. Keluar suara ala-ala monster. Geram!

“Hai sayang. Isk. Kuat sangat jodoh kita ni. Asyik jumpa aje.” Hero seluk tangan ke dalam kocek. Barang yang ditimbang tadi dah tak ada. Mesti dah masuk ke dalam trolinya.

“Sebelum saya libas awak dengan petola ni, baik awak pergi jauh-jauh…” ugut Fatiha tanpa memandang ke arah Hero. Sedaya-upaya dia kawal suaranya. Kenapalah makin dia nak lari, makin kerap pula Hero menghantui hidupnya? Apa dosa masa silam dia?

“Kena libas dengan petola, apalah sangat?” Hero senyum berlagak. Serentak itu Fatiha mengacah-acah nak libas dia dengan petola.

“Alamak!” mulut comel gadis itu terlopong bila petola tersebut patah dan tercampak dalam troli orang yang dibiarkan tersadai di sebelahnya. Dia cuma pegang bahagian tangkai saja tadi. Matilah! Hero pula mengekek-ngekek ketawakan muka kantoi Fatiha itu. Comel betul!

“Annn… annn, aiyok… tak tahu!” Hero mula menyakat.

“Bisinglah awak ni! Saya dah cakap kan? Jangan cakap dengan saya? Tak paham bahasa?” marah Fatiha. Malu sebab kejadian itu berlaku di depan mata lelaki itu. Kenapalah malang sangat nasib dia hari ni?

Baru lagi dia nak mengambil semula troli itu, si empunya troli sudah muncul dan menolak troli tersebut. Mulut Fatiha ternganga. Nak cakap, tapi dia malu…

“Ti’ah pun sama tau? Masukkan barang dalam troli orang…” giat Hero bila tuan troli itu menghilang dari pandangan mereka.

“Awak diamlah Hero… semua ni sebab awak.” Rajuk Fatiha.

“Lain kali libas dengan kacang panjang. At least, liat sikit. Petola, nampak aje kasar luarannya. Tapi dalaman lembut. Macam abang. Abang petola. Ti’ah kacang panjang. Luar dalam kasar.” Selamba saja Hero bagi ceramah. Siap dengan menggelarkan Fatiha kacang panjang pula tu. Memang dasar hero zero!

Fatiha tak bercakap apa, hanya merenung Hero dengan tajam. Dia tahu kalau dia berkata-kata sekali pun, Hero masih tak nak berhenti bercakap dan berakhir dengan dia yang lelah sendiri mendengar mulut pot pet lelaki itu.

“Ayokkk. Tak tau… Ti’ah pun sama macam abang. Haaa, kita memang berjodohlah! Banyak sangat persamaan ni.” Hero tumbuk tapak tangannya.

Fatiha tarik nafas dalam-dalam. Cuba bersabar selagi mampu. Dia tak rasa nak cekik orang pun hari ini, sampailah dia nampak Hero!

“Sebelum saya mencarut, baik awak blah.” Muka Fatiha memang dah tebal sangat. Mujurlah tak ada mata yang nampak tadi. Dia bukannya sengaja nak masukkan petola tu ke dalam troli orang pun. Dia bukannya jahat macam Hero. Sekarang dia rasa menyesal pula sebab tak beritahu dekat tuan punya troli tadi tentang petola itu.

Hero pula masih ketawa. Teringat-ingat muka takut Fatiha tu sebaik sahaja petolanya ‘terbang’ ke dalam troli orang.

Muka masam, comel. Muka menangis, comel. Muka merajuk, comel. Muka terkejut, comel. Muka meluat, comel! Hailah… dia dah jatuh hati berkali-kali dekat Fatiha.

Oh, Boy!Where stories live. Discover now