Air untuk adik

468 19 0
                                    

"Penatnya. Abang, adik lapar." Keluh si adik dengan harapan ada makanan untuk mereka menghilangkan rasa lapar yang ditahan sejak tengah hari tadi.

Arif pun terus ke dapur dan menjenguk nasi yang sudah dimasak pagi tadi. Kecewa melihat nasi yang sudah pun basi, Arif cuba menenangkan adiknya, Adam. "Nasi pagi tadi dah basi dik.. Sekejap ya abang masak nasi baru."

Pantas Arif membasuh periuk nasi dan terus membuka bekas beras untuk mengambil beras. Namun, alangkah kecewanya dia apabila beras sudah habis.

Pagi tadi semasa Arif memasak nasi, dia masih mengantuk dan tidak sedar itu adalah beras terakhir. Mereka tiada duit untuk beli beras lagi.

Tiada pilihan lain, Arif berikan air masak untuk adiknya. "Dik, beras dah habis. Ada air ni sahaja. Adik minumlah banyak-banyak sampai kenyang."

"Minum air ni boleh kenyang ke bang. Abang pula macam mana? Air kita kan sikit." soal adiknya yang risaukan abangnya.

"Adik ni macam tak biasa je. Selalu dah kan kita macam ni sejak duduk sini. Air habis nanti abang masaklah lagi." Cepat sahaja Arif membalas bagi melegakan hati adiknya.

Terus Arif ke dapur untuk masak air yang baru. Sementara menunggu air masak, ada juga dia curi-curi minum air paip kerana terlalu lapar.

Setelah air masak dan disimpan elok dalam jag, Arif menjengah adiknya sudah pun tertidur menahan lapar.

Arif seperti biasa menutup lampu dan membuka lampu suluh untuk menulis di diari kecilnya.

"Ibu..
Hari ini seperti selalu..
Abang dan adik menahan lapar.
Ayah seperti biasa tiada di sini.
Entah kerja di mana.
Hari esok belum tahu.
Abang takut untuk terus hidup di sini. Abang dan adik selalu sakit perut lapar.
Pergi sekolah pun mampu tengok sahaja kawan-kawan makan.
Dah lama kami tidak merasa masakan ibu.
Kalau ibu masih ada tentu kami sering tidur kekenyangan.
Kami rindukan ibu.
Selamat malam ibu. "

===================
Tersentuh dengan kisah ini? Klik vote, komen, dan share untuk memberi sokongan kepada penulis 💕

TRAUMAWhere stories live. Discover now