Jalan Kaki

173 7 0
                                    

"Abang, dah setengah jam kita jalan.. Tak sampai lagi pun.. Jauh lagi ke rumah kita bang?"

"Sabarlah dik. Dah nak sampai dah. Kat depan tu je."

Pujuk Arif walaupun hakikatnya ada lagi separuh perjalanan untuk sampai. Hari semakin gelap. Dia hanya berdoa mereka sampai ke rumah dengan selamat.

Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya. Takut ada kereta terlanggar mereka yang berjalan di jalan yang gelap. Takut ada penculik yang menculik mereka. Takut ada anjing yang akan mengejar dan menggigit mereka. Takut ada hantu yang mengikuti mereka.

"Abang, adik penat sangat. Tak larat nak jalan. Rehat jap ye bang."

Rayu adiknya sambil memaut erat lengannya. Baju Adam sudah basah peluh. Tekaknya kering. Mukanya lesu tak bermaya.

"Oklah adik, tapi kejap je. Dah malam ni. Nanti sampai lambat mengamuk pula mak su. Jom kita duduk bawah tiang lampu tu."

Baru lima minit mereka berehat, Adam ternampak van putih. Terasa seperti mahu meletup jantungnya berdebar laju. Terbayang perkara menakutkan dalam fikirannya. Kes-kes penculikan yang melibatkan van putih, pembunuhan untuk mencuri organ dalaman semuanya menghantuinya.

Bingkas dia bangun dan tarik tangan abangnya.

"Abang, van penculik! Cepat lari!" Jerit Adam.

Pantas Arif menoleh dan memang benar ada van putih. Rupanya bukan dia sahaja yang berfikir macam-macam. Pantas mereka lari sekuat hati. Beberapa kali terjatuh, bajunya kotor terkena tanah. Arif ternampak tandas awam, terus tarik adiknya bersembunyi di tandas.

Lama mereka bersembunyi. Termengah-mengah. Tekak bertambah haus.

"Adik ok tak? Kalau ok jom kita balik."

"Tak nak. Adik takut. Kalau van tadi culik kita macam mana? Adik tak nak kena culik. Nanti kena potong."

Rayu adiknya sambil menangis.

"Van putih tak semestinya penculik. Mungkin tadi van lain ke. Kalau van penculik pun dah lama dia lalu. Mesti dah jauh dah. Jom dik."

Adiknya terpaksa akur. Sepanjang perjalanan matanya sentiasa melilau memastikan tiada van putih lagi. Akhirnya mereka berjaya sampai ke rumah dengan selamat.

Balik sahaja, Arif terus keluarkan nasi sejuk dari peti ais untuk dimakan bersama adiknya. Arif goreng telur dan ambil kicap untuk mereka makan bersama. Mereka sangat letih lebih satu jam berjalan. Mahu sahaja terus baring dan tidur.

Tetapi perut mereka minta diisi. Mereka terlalu lapar kerana langsung tidak menjamah makanan di sekolah tadi. Ayah sudah tiga hari tidak pulang, wang belanja yang ditinggalkan telah habis. Kalau ada pun, pasti akan dirampas oleh mak su.

Sebelum tidur, Arif membersihkan baju mereka yang kotor akibat terjatuh. Itu sahaja satu-satunya baju sekolah yang mereka ada. Mulalah Arif teringat ibunya. Pantas dia mengambil diari kecilnya dan mula menulis.

"Ibu.. Alhamdulillah abang dan adik selamat sampai ke rumah.
Tadi abang takut sangat-sangat.
Abang tak tahu tu van penculik ke bukan.
Tapi abang takut nak jalan kaki lagi.
Kalau abang dan adik kena culik macam mana ibu.
Mesti kena ikat, pukul dan kena potong macam selalu kawan-kawan cerita kan.
Macam mana ni ibu.
Abang takut sangat. Adam pun takut.
Siapa nak selamatkan kami.
Siapa boleh jaga kami.
Abang rindu sangat kat ibu.
Kalau ibu ada, mesti ibu tak bagi abang dan adik jalan kaki jauh-jauh kan.
Mak su tak sayang kami ke ibu.
Dia tak kisah ke kalau kami mati.
Kalau tak kisah kenapa dia tak bunuh je abang.
Boleh abang jumpa ibu di syurga.
Abang dah penat nak hidup macam ni.
Abang nak ibu..
Nak sangat peluk ibu..
Nak sangat cium ibu.. "

===================
Tersentuh dengan kisah ini? Klik vote, komen, dan share untuk memberi sokongan kepada penulis 💕

TRAUMAWhere stories live. Discover now