Gembiranya Arif mendengar bunyi motor ayahnya. Bergegas dia membuka daun pintu menjengah raut ayahnya yang dirindui.
Walaupun ayahnya semakin berubah, namun sayangnya tetap seperti dahulu. Ibunya telah tiada, ayahnya sahaja tempat dia dan adiknya bergantung. Biar dimarah mahu pun dipukul, ayahnya tetap tempat berpaut.
Selepas ayahnya mandi dan berehat, Arif mula menyusun ayat.
"Ayah, beras kat dapur dah habis."Ayahnya terus membisu antara dengar atau tidak. Arif tidak berani lagi bersuara. Bimbang ayahnya mengamuk lagi seperti selalu.
Esoknya pulang sahaja dari sekolah, sekampit beras sudah pun terletak di pintu.
Belum sempat Arif membuka kasut, sudah dijerkah mak su.
"Woi apahal lembab sangat tu? Cepatlah angkut beras tu masuk! Tahu merengek je kat bapak ko beras habis. Makan je tahu. Last aku gak yang susah-susah nak melayan kerenah korang ni."Arif yang berbadan kecil mengangkut perlahan beras tu ke dapur. Adam mengikut rapat abangnya dalam ketakutan. Dia cukup gerun memandang mak su. Adam hanya mampu tertunduk dengan nadi yang berdenyut laju.
Bisu. Itu sahaja yang mereka mampu lakukan. Tiada suara yang mampu mereka ungkap. Jangan kan berkata-kata, salah pandang pun boleh singgah laju libasan rotan dari mak su.
Walau dalam ketakutan, Arif tetap bersyukur kerana ada makanan untuk mereka terutama adiknya yang masih terlalu kecil untuk bertahan.
Seperti biasa, setiap kali mak su singgah, akan ada sahaja salah mereka yang diwujudkan. Arif dah boleh meramal, pulang nanti pasti ayahnya akan merotan kerana adu domba dari mak su.
Semasa mak su ingin pulang, sempat mak su menarik kuat baju Adam. Pantas sahaja tangannya menyeluk saku Adam dan merampas sekeping wang RM1. Arif juga tidak terkecuali.
Arif dan Adam hanya tunduk ketakutan sambil menahan tangis. Itu sahaja baki yang ditinggalkan ayahnya malam tadi untuk belanja sekolah.
Malam itu Arif dan Adam hanya menangis di penjuru bilik. Mereka rindukan kehidupan yang dahulu. Mereka rindukan ibu mereka.
Dalam tangisan kecil, Arif tetap menulis di diarinya.
"Ibu.. Hari ni mak su datang lagi..
Abang dan adik takut sangat.
Mata mak su sangat menggerunkan sampai kami takut untuk memandangnya.
Jerkahan mak su cukup untuk buat abang dan adik menggigil ketakutan.
Tadi mak su ambil lagi duit kami walau hanya RM1.
Malam ni abang tak tahu ayah akan balik tak.
Jika tak, tiada belanja untuk kami esok.
Mujur beras dah ada, boleh kami makan untuk esok.
Ibu.. Kenapa mak su layan kami begini..
Apa salah kami..
Abang dan adik takut sangat.
Tapi kami tak berani nak mengadu.Ibu doakan abang dan adik ye.
Selamat malam ibu. "===================
Tersentuh dengan kisah ini? Klik vote, komen, dan share untuk memberi sokongan kepada penulis 💕

YOU ARE READING
TRAUMA
Fiksi UmumArif, 12 tahun dan Adam, 8 tahun baru sahaja kehilangan ibu mereka setahun yang lalu. Sejak ketiadaan ibu, mereka dijaga oleh ayah dan mak su. Memandangkan ayah mereka jarang pulang ke rumah kerana sibuk bekerja, mak su yang dipertanggungjawabkan un...