"Abang, kenapa kita tak pergi sekolah hari ni?"
"Adik lupa ke, semalam kan mak su dah bising jangan pergi sekolah hari ni. Mak su nak suruh jaga budak-budak yang mak su jaga tu."
Seperti selalu, Arif dan Adam tidak ke sekolah semata-mata menjaga anak asuhan mak su. Pernah suatu ketika, semasa Arif memasak nasi di dapur dan Adam membasuh baju di bilik air, mereka tidak sedar Haikal yang berumur setahun setengah telah berjalan ke luar halaman rumah.
Memang pintu dibiarkan terbuka kerana sebelum itu, Haikal telah pun tidur lena. Jiran memaklumkan kejadian itu kepada mak su dan mak su mengamuk, mengherdik Arif dan Adam sambil rotan bertubi-tubi.
"Korang ni menyusahkan aku je! Tak boleh harap! Bodoh!"
"Aku suruh jaga budak pun tak boleh ke? Korang buat apa hah?"
"Baik mati je lah korang ni! Hidup tak habis-habis menyusahkan orang!"
Sebatan bertalu-talu hinggap ke tubuh kecil mereka. Air mata mengalir tanpa sebarang suara. Mata terpejam, gigi terketap rapat menahan sakit. Mereka bimbang jika terdengar suara tangisan pasti lebih teruk mereka dikerjakan. Mereka sedar mereka salah.
Malam itu, mak su mengadu dengan ayah mereka. Ayah yang sedang keletihan pulang kerja mula hilang akal. Arif dan Adam yang sedang tidur di lantai ruang tamu di terajang tiba-tiba. Kepala Adam diterajang sehingga terhantuk kuat ke dinding.
Dada Arif dipijak dan dihentak kuat. Sepakan bertalu-talu di tubuhnya. Adam pula ditampar berulang kali.
Makian demi makian diterima."Korang ni kenapa asyik buat hal je hah? Tak habis-habis buat hal!"
"Bodoh sangat kenapa? Susah sangat ke nak jaga perangai tu?"
"Aku nak tanggung korang, lepas tu kau buat hal! Bodoh!"
Segala kesakitan hanya mampu mereka tahan sedaya upaya. Mereka tidak berani melawan atau bersuara. Mereka sangat takut. Terlalu takut. Mereka hanya mampu menggigil ketakutan dan menahan sakit sekuat hati. Air mata laju di pipi tanpa dipedulikan. Mereka dipukul seperti insan yang tiada perasaan.
Ayah mereka seperti orang lain setiap kali mengamuk. Matanya merah dan penuh emosi amarah. Tiada langsung rasa kasihan, hanya melepaskan amukan yang membuak-buak. Mak su hanya tersenyum puas melihat mereka dibelasah sepuasnya. Hatinya puas! Umpannya mengena!
Bukan kejadian tu sahaja yang menjadi memori hitam dibelasah teruk, tapi hampir setiap masa. Setiap kali mak su pulang, pasti Arif dan Adam kelam-kabut mengemas rumah. Anak asuhan mak su sering bermain sehingga mainan bersepah walaupun sentiasa dikemas kerana mereka masih kecil. Tapi, jika mak su pulang dan ternampak mainan bersepah, rumah bersepah, pasti malam itu mereka dibelasah teruk oleh ayah.
Rotan bertubi-tubi dan dibelasah tiba-tiba menjadi rutin mereka. Sehingga pernah juga Arif berlari sembunyi di tandas semasa ayahnya mula mengamuk dan membelasah Adam. Arif berlari ke tandas dan kunci pintu, duduk rapat kepala ke siku, tutup mata dan telinga sekuat hati. Arif tidak fikirkan perkara lain waktu tu. Hanya satu, selamatkan diri daripada dibelasah. Selepas beberapa ketika baru Arif boleh berfikir dengan rasional. Arif teringat adiknya yang bersendirian sedang dibelasah ayahnya. Arif segera keluar menyerah diri. Dia tidak sanggup melihat adiknya menghadap detik hitam seorang diri. Tadi, dia terlalu takut dan trauma sehingga terlupa keadaan adiknya.
Demikianlah hari-hari mereka berlalu tanpa siapa tahu. Setiap kesan dan lebam mereka simpan rapi tanpa menunjukkannya kepada sesiapa pun. Tiada seorang pun yang tahu peritnya hidup yang mereka lalui.
Bagi Arif, mujur sahaja mereka masih bernafas setiap kali dibelasah. Mereka pasrah. Mereka tiada hala tuju. Tiada guna mereka mengadu. Tiada siapa yang boleh menyelamatkan mereka. Mereka sudah tiada harapan dan berputus asa. Itulah punca utama mereka terus berdiam diri.
===================
Tersentuh dengan kisah ini? Klik vote, komen, dan share untuk memberi sokongan kepada penulis 💕

YOU ARE READING
TRAUMA
Narrativa generaleArif, 12 tahun dan Adam, 8 tahun baru sahaja kehilangan ibu mereka setahun yang lalu. Sejak ketiadaan ibu, mereka dijaga oleh ayah dan mak su. Memandangkan ayah mereka jarang pulang ke rumah kerana sibuk bekerja, mak su yang dipertanggungjawabkan un...