"Abang, best sangat cuti sekolah kan, kita tak payah nak jalan kaki jauh-jauh."
Arif hanya tersenyum. Ya, memang cuti sekolah dia dan adiknya tidak perlu keletihan dan ketakutan untuk berjalan sejauh itu. Tetapi Arif tetap sedih, risau dan takut.
Cuti sekolah bermakna lebih banyak masa di rumah. Rumah yang penuh kisah derita dan penyeksaan. Rumah yang menjadi saksi dia dan adiknya menangis dipukul, dirotan dan diugut. Rumah tempat yang menjadikan Adam seorang yang sangat pendiam dengan orang lain. Adam kehilangan suaranya dan keberaniannya di sini.
Dahulu Adam seorang yang ceria dan peramah. Sejak tinggal di sini di bawah jagaan ayah dan mak su, Adam berubah sekelip mata. Adam menjadi sangat pendiam. Sangat susah untuk berkata-kata, tersenyum, bahkan untuk memandang mata orang lain. Adam terlalu takut dengan persekitaran sekarang. Dia takut jika tersilap langkah, teruk dikerjakan oleh mak su. Hanya Arif teman bercakap Adam.
Lain pula dengan Arif yang menjadikan sekolah sebagai zon bebasnya. Bagi dia, di sekolah sahaja dia bebas melakukan apa sahaja. Arif boleh tersenyum, peramah, bergurau, aktif di sekolah. Tiada siapa yang akan memarahinya tanpa sebab dan memukulnya di sekolah. Sekolah ibarat syurga dunianya. Apabila dia di sekolah, segala masalah di rumah dilupakan. Mungkin kerana itu, tiada guru yang menduga mereka mengalami penderitaan yang terpendam rapi.
"Abang, cepat! Tengok tu mak lang datang."
Tersentak Arif dari lamunannya. Bergegas dia ke ruang tamu dan membuka pintu. Gembiranya mereka jelas terpancar di wajah. Mak lang ibarat Captain Marvel untuk mereka.
Mak lang tidak memarahi dan memukul mereka seperti mak su. Memang mak lang seorang yang garang, pasti akan marah apabila mereka melakukan kesalahan. Tapi, setiap tegurannya penuh dengan kasih sayang. Bukan dengan amarah yang penuh kebencian seperti mak su.
Mak lang marah sebab sayang, untuk mendidik. Kasih sayang itu jelas dirasai Arif dan Adam yang sangat dahagakan kasih sayang."Arif, Adam cepat siapkan baju ya, mak lang dah cakap dengan ayah dan mak su. Cuti sekolah ni Arif dan Adam tinggal rumah mak lang ya. Mak lang nak buat kenduri tahlil arwah ibu."
Itulah khabar yang paling gembira buat mereka. Keluar dari rumah yang menderitakan itu. Impian mereka selama ini, walau hanya sementara.
Pernah juga sebelum ini, mereka ke rumah mak lang. Tetapi hanya sehari dua. Setiap kali ke sana, pasti mak lang soal bermacam-macam soalan. Bermula dari rutin harian, sekolah, rumah dan banyak lagi.
Mak lang penuh kerisauan. Risaukan kehidupan mereka sejak ketiadaan ibu. Mak lang bertanya untuk memastikan kehidupan mereka benar-benar baik tanpa sebarang unsur pengabaian dan penderaan. Mak lang kerap juga bertanya jika ada yang memukul, mendera atau membuli.
Tapi Arif hanya menjawab dengan jawapan yang sangat baik. Arif mengatur ayat sebaik mungkin supaya mak lang berfikiran positif dan fikirkan hidup mereka baik-baik sahaja.
Adam pula memilih untuk berdiam diri sahaja. Dia tidak berminat menjawab soalan-soalan itu. Dia lebih gemar pura-pura tidak mendengar dan mengelak. Bagi dia, soalan itu tidak mampu untuk menyelamatkannya. Dia tetap akan dikerjakan hari demi hari. Lagi pun, dia tidak mahu mencari masalah. Setiap kali balik dari rumah mak lang, pasti mak su akan menyinga.
Mak su akan merotan mereka bertubi-tubi sambil menyoal apa yang mereka beritahu mak lang.
"Cepat cakap, kau ada beritahu apa-apa tak kat mak lang?"
"Kau mengadu ke sini tak cukup makan?Hah? Cakap cepat! Ada tak?"
"Kau mengadu ke sini asyik kena marah? Kena rotan? Aku cakap cepat cakap kan! "
"Suka sangat kan balik rumah mak lang? Apa kau cerita ha? Cepat cakap!"
"Aku dengar macam-macam nanti siap kau!"
"Mulut ni aku tarah-tarah dengan pisau! Sekali kau bukak cerita buruk, hilang nyawa kau!"
Terngiang-ngiang suara mak su menyoal dan mengugut mereka setiap kali balik dari rumah mak lang. Kadang, dia menolak dari balik rumah mak lang jika terlalu letih atau serik dirotan. Dia tahu, setiap kali balik dari rumah mak lang, pasti akan dirotan teruk. Lebih baik dia tinggal sahaja di rumahnya.
Seminggu di rumah mak lang mereka sangat gembira, bergelak tawa, bermanja, makan sedap-sedap dan bermain dengan sepupu.
Tetapi Adam tetap sama, walau gembira tetap membisu. Dia begitu takut untuk berkata-kata. Takut tersilap langkah.
"Abang, Adam takut nak balik. Mesti kena rotan lagi."
"Takpe dik, kita kena kuat. Sekejap je dik. Nanti adik diam je. Tahan je kena rotan ya. Ni semua dugaan sekejap je. Abang kan ada. Kita hadap sama-sama ya."
Arif terpaksa berlagak kuat dan tenangkan adiknya. Sedang dia sendiri berdebar untuk balik. Takut menghadap jerkahan mak su. Tapi itulah dugaan besar yang perlu mereka lalui.
Sepanjang perjalanan pulang, Arif termenung merindui ibunya.
"Ibu, alhamdulillah seminggu yang menggembirakan di rumah mak lang.
Mesti ibu gembira kan, ada majlis tahlil untuk ibu.
Ibu doakan abang dan adik ye balik ni.
Doakan kami kuat untuk berdepan dengan mak su.
Doakan kami dapat tahan kesakitan dilibas rotan yang sangat sakit.
Doakan kemarahan mak su tidak menggila.
Doakan abang dan adik kuat ya.
Abang pun takut sangat nak jejak rumah.
Tapi itu sahaja arah tuju yang ada.
Itu sahaja tempat kami tanpa ibu.
Abang takut dengar suara mak su.
Abang takut dirotan bertalu-talu.
Abang takut mak su ugut dengan pisau.
Tapi dengan ibu je abang dapat luahkan rasa takut ni.
Ibu doakan abang.
Abang tak kuat. "===================
Tersentuh dengan kisah ini? Klik vote, komen, dan share untuk memberi sokongan kepada penulis 💕

YOU ARE READING
TRAUMA
General FictionArif, 12 tahun dan Adam, 8 tahun baru sahaja kehilangan ibu mereka setahun yang lalu. Sejak ketiadaan ibu, mereka dijaga oleh ayah dan mak su. Memandangkan ayah mereka jarang pulang ke rumah kerana sibuk bekerja, mak su yang dipertanggungjawabkan un...