Hampir setiap hari Adam ditegur oleh guru-guru yang mengajarnya. Mana tidaknya, Adam sentiasa tiada buku untuk ditulis. Buku aktiviti dan buku latihan langsung tiada. Hanya buku teks sahaja yang lengkap. Itu pun kerana dibekalkan pihak sekolah.
"Abang, tadi cikgu tanya lagi pasal buku. Adik mana ada buku pun. Macam mana nak tulis."
"Adik cakap apa dengan cikgu?"
"Adik diam je macam biasa. Takutlah nanti salah cakap."
"Adik sabar ye. Nanti abang beri satu buku kosong abang punya. Adik tulis je kat situ. Ada duit lebih lagi nanti kita beli lagi."
"Terima kasih abang. Adik tak ada sesiapa pun untuk mengadu. Nasib ada abang. Adik sayang abang."
Arif lega dapat membantu adiknya walau hanya sebuah buku. Semasa pendaftaran sekolah pada awal tahun, ayahnya hanya memberikan wang RM30 untuk Arif ke sekolah untuk mendaftarkan Adam. Wang yang ada hanya cukup untuk membeli buku-buku penting seperti kad gigi, buku JQAF, buku koko dan lain-lain. Wang yang ada tidak cukup untuk buku latihan.
Semasa pendaftaran, Arif hanya terpinga-pinga melihat ramai ibu bapa mendaftarkan anak masing-masing. Arif tidak tahu bagaimana untuk mendaftar dan apa yang perlu dibeli. Mujur ada guru yang membantunya.
Begitu juga dengan pendaftaran Arif sendiri. Arif sendiri yang menguruskan pendaftarannya dengan jumlah wang yang sama. Bezanya, Arif membeli buku aktiviti dan buku latihan dahulu. Segala kad gigi, buku kokurikulum, buku JQAF dan seumpamanya langsung tidak dibeli. Arif bimbang ketinggalan pelajaran jika buku latihan tidak mencukupi.
Bukanlah ayahnya tidak mampu, tetapi Arif sudah malas ingin meminta. Berkali-kali Arif menyuarakan banyak lagi kelengkapan sekolah mereka yang belum cukup. Guru juga asyik bertanya. Ayahnya tetap buat tidak peduli.
Pakaian ayahnya sentiasa yang mahal dan bergaya. Kereta mewah ke sana sini. Makan juga mewah di luar tanpa mereka. Tetapi entah mengapa jika untuk makan pakai anak-anak langsung tiada.
Sudahnya, guru kelas langsung tiada rekod untuk Arif kerana tiada buku kesihatan, buku kokurikulum dan seumpamanya yang dibeli.
Bukan guru-guru tidak menyedari masalah mereka, tetapi mereka terus berdiam diri setiap kali ditanya. Ada sahaja guru yang mengambil berat.
Ada yang setiap pagi membantu mereka merapikan rambut dengan kemas kerana terlalu tidak terurus. Ada juga yang memberikan wang belanja kerana melihat mereka dihantar terlalu awal. Kelas bermula 7.30 pagi, tetapi ayah mereka menghantar mereka seawal 5.00 pagi ke sekolah.
Mujurlah mereka mudah tersedar walau di awal pagi. Malah, merekalah yang sering mengejutkan ayah mereka bangun dari tidur.
Pernah suatu pagi, Adam terhilangkan jadualnya. Teruk Adam dimarah oleh ayahnya. Adam dipaksa untuk membawa semua buku yang ada. Tubuhnya yang kecil terpaksa memikul beban yang berat sepanjang perjalanan.
Hampir sahaja Adam pitam kerana tidak larat berjalan di tengah panas dengan beg yang berat. Mujur Arif bekalkan air masak untuk menyegarkannya. Berjalan kaki menjadi rutin, tetapi hari itu lebih mencabar kerana Adam membawa semua buku yang ada.
Basikal yang mak lang belikan telah lama rosak. Arif sengaja merosakkannya kerana tidak mahu adiknya terus dipaksa membawa basikal dalam keadaan membahayakan. Biarlah mereka keletihan berjalan kaki, dari membiarkan Adam berisiko untuk kemalangan.
Begitulah hari-hari yang mereka lalui, serba kekurangan dan keletihan tiada henti. Namun, segalanya terpendam rapi di hati.
===================
Tersentuh dengan kisah ini? Klik vote, komen, dan share untuk memberi sokongan kepada penulis 💕
YOU ARE READING
TRAUMA
General FictionArif, 12 tahun dan Adam, 8 tahun baru sahaja kehilangan ibu mereka setahun yang lalu. Sejak ketiadaan ibu, mereka dijaga oleh ayah dan mak su. Memandangkan ayah mereka jarang pulang ke rumah kerana sibuk bekerja, mak su yang dipertanggungjawabkan un...