Ibu Rusydina menghulurkan dua keping kertas bersaiz kecil dan memanjang kepada anaknya itu.
Rusydina mengerutkan dahi kerana curiga dengan pemberian tersebut. Lantas, dia menilik kertas itu lalu membaca setiap huruf yang dicetak pada kertas berwarna biru tua itu.
Mata Rusydina membulat. Mulutnya terlopong. Badannya habis tegak kerana terkejut dengan isi kandungan kertas itu.
Ahli keluarga yang lain sudah mula tidak sabar mahu tahu apakah kertas itu sebenarnya. Cek duitkah?
"Oh, Tuhanku! Mama! Inikan....," Rusydina tidak mampu meneruskan kata-katanya. Tangannya menutup mulutnya yang membuat bentuk huruf 'O'. Matanya sudah berkaca dan menjadi kemerah-merahan.
Ibunya mengangguk sambil tersenyum manis. "Ya, sayang. Itu tiket VIP ke konsert kumpulan K-Pop kesayangan kamu itu,"jawab ibu Rusydina, sekaligus cuba untuk melenyapkan rasa tanda tanya di dalam kepala kami semua.
Air mata Rusydina menitis. Lantas, dia memeluk ibunya erat. Ucapan terima kasih diulanginya beribu kali.
"Ya, sama-sama. Tapi jangan lupa, minggu depan dah mula SPM. Gembira, gembira juga. Belajar jangan lupa," pesan ibu Rusydina sambil menggosok kepala anak perempuannya yang berambut paras leher itu.
Rusydina tersengih. Kepalanya lantas dianggukkan ke atas lalu ke bawah. Air mata gembiranya disapu laju.
"Tiket tu ada dua. Ajaklah lagi sorang buat teman," sambung ibunya.
Rusydina melepaskan pelukannya, lalu memeriksa semula tiket yang dipegang kemasnya itu. Betullah, ada dua!
Rusydina memusingkan kepalanya lalu memandangku. Aku cepat-cepat menyambut kek-ku itu semula kerana ingin berpura-pura tidak nampak apa yang sedang berlaku tadi.
Seperti kilat, Rusydina pantas menyambut lenganku lalu memeluknya manja. "Yaya, please....," katanya sambil membuat muka comel.
Aku mengeluh kecil. Ah, terkantoi! "Rusydina, kau tahu kan aku tak minat K-Pop? Nanti buat bazir je sebab aku nanti tidur masa konsert tu,"
Tidur masa konsert? Wah, biar betul aku ni?
Rusydina mencebik. Dia perlahan-lahan melepaskan pelukannya pada lenganku. Tiba-tiba, ibuku muncul dari dapur.
"Teman jelah sepupu kamu itu! Anggaplah itu hadiah hari jadi daripada kamu,"
Ah, sudah! Ibuku sudah masuk campur. Ahli keluarga yang lain juga sudah mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Nampaknya, tak dapatlah aku mengelak dan terpaksalah aku menemani Rusydina ke konsert yang aku tak tahu pun siapa penyanyi dan penarinya itu!
****
Aku mengeluarkan buku latihan subjek Biologi daripada laci mejaku. Lalu, aku membuka muka surat yang masih lagi aku belum siapkan. Pen sudah bersedia di jari, otak pula tidak sabar untuk diasah.
Baru saja mahu membaca soalan yang pertama, tiba-tiba telingaku menangkap sesuatu bunyi daripada perbualan seseorang. Ia agak menarik perhatianku lalu aku mula memasang telinga,
"Aku dengar tiket konsert H-Boys dah habis dijual," Izyan, salah seorang rakan sekelasku sedang berborak bersama Huda.
"Seriuslah? Wah, ramai juga peminat H-Boys rupanya!" balas Huda sambil menarik kerusi di tempat duduknya, iaitu di belakang tempat dudukku.
Izyan yang tempatnya berada di sebelah Huda, turut menarik kerusi lalu duduk.
"Aku sumpah nak pergi tapi mak aku tak kasi. Dia suruh fokus SPM dulu," ngadu Izyan. Mulutnya dimuncungkan tanda sedih dan kecewa.
YOU ARE READING
Kim Seung-hyu
Teen FictionDemi merealisasikan kehendak Encik Crush iaitu bersama-sama menjadi seorang penyanyi, Yaya Suhaila tekad untuk mengejar sinar harapan di kota Korea Selatan yang sememangnya terkenal dengan ahli bidang hiburan yang berbakat. Kata pepatah, "hujan emas...