Penghujung Tahun 2014,
Kampung Pagung, Kepulauan Karimata.AZAN ISYAK berkumandang memecah keheningan malam, memberi isyarat bahawa penduduk di kampung tersebut perlu menghentikan semua pekerjaan mereka lalu berbondong-bondong ke masjid. Hanya golongan ibu sahaja yang biasanya masih tinggal di rumah. Peristiwa dua dekad yang lalu telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penduduk di kampung ini. Maka, tidak hairanlah mengapa apabila berkumandang sahaja panggilan untuk meninggalkan urusan dunia seketika, penduduk kampung ini tidak akan berfikir panjang untuk tidak menunda langkah kaki mereka ke masjid besar berkubah kuning yang terletak di tengah-tengah kampung mereka. Masing-masing menuruni jambatan rumah menuju ke perkarangan masjid. Ketakutan yang melahirkan pengajaran sehingga pengabdian kepada Allah cuba dimaksimumkan. Sungguh masih ada anak muda yang masih kurang proaktif ke masjid, namun peranan orang tua kampung ini yang membuatkan mereka tidak ada pilihan lain selain daripada menurut gerakan ruji kampung itu.
Seperti kelazimannya, Imam Syahriyan mengetuai jemaah Isyak. Dia memilih untuk membaca surah Al-Araf dan Al-Muddassir dalam ibadah kali ini. Surah kegemarannya kerana surah-surah inilah yang menjadi saksi permulaan syiar Islam di muka bumi ini. Firman-firman Allah yang paling awal diutuskan kepada Rasulullah melalui Malaikat Jibril.
'Setiap kamu dipertanggungjawabkan dengan apa yang kamu lakukan!' Antara inti Surah Al-Muddassir yang menjadi pegangan hidup Imam Syahriyan. Sudah terlalu banyak dia melihat manusia yang berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu sehingga akhirnya mereka lalai. Sehingga akhirnya mereka melupakan arah iktikad jihad mereka yang sepatutnya. Menghayati inti surah tersebut, hati Imam Syahriyan menjadi sayu lalu suaranya kedengaran sendu sehingga meninggalkan kesan di dalam hati barisan makmumnya. Mujurlah dia masih dapat mengawal diri sehingga dapat menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai ketua jemaah pada malam itu.
"Ada apa yang kamu fikirkan tadi, Imam?" Pak Ediris memulakan perbicaraan. Sebaik sahaja solat Isyak selesai, seperti kelazimannya mereka yang sudah lama hidup di kampung ini akan mengadakan usrah kecil sesama mereka, sedangkan golongan yang lebih muda lebih senang untuk kembali melakukan urusan yang ditangguhkan ketika azan berkumandang tadi.
"Tidak ada apa-apa yang penting, Deris," jawab Imam Syahriyan. Dia memegang bahu kiri ketua kampung mereka itu. Dia tahu, Pak Ediris pasti risau akan dirinya.
"Imam pasti rindu akan ilmu persilatan kampung ini, bukan?" duga Pak Ethihar pula. Dia juga merupakan rakan seperjuangan Imam Syahriyan. Semua mata memandang Imam Syahriyan. Imam kampung mereka itu tidak menjawab. Dia hanya mengukir senyuman untuk membalas pandangan mereka.
"Maafkan kami, Imam kerana membelakangkan cadangan Imam yang satu ini," ujar Pak Ediris pula. Sebagai ketua kampung, dialah yang berasa sangat rasa bersalah. Imam Syahriyan hanya meneruskan senyumannya.
"Aku sebenarnya tidak faham dengan kehendak orang kampung ini. Padahal ilmu persilatan itu bukan sesuatu yang syirik!" Imam Syahriyan meluahkan rasa hatinya. Bukan kali pertama mereka membincangkan hal ini. Bahkan sudah hampir dua dekad dia cuba untuk memarakkan kembali dunia persilatan di kampung mereka itu.
"Kami faham apa yang Imam maksudkan. Tetapi orang kampung kita sudah lama nekad untuk menghentikan ilmu-ilmu seperti itu," kali ini Pak Muzaimal bersuara. Antara mereka semua, dialah yang paling muda, namun dia jugalah yang paling lantang bersuara.
"Ada benarnya apa yang Imam pernah katakan dulu. Aku juga tidak bersetuju jika kita tidak meneruskan ilmu persilatan itu. Lebih-lebih lagi sekarang hanya Imam seorang sahaja yang masih mewarisi ilmu persilatan tersebut," Pak Ethihar memberikan sokongan kepada Imam Syahriyan.
YOU ARE READING
ESTODANIA : HIKAYAT ADIWANGSA
FantasySelamat datang ke Estodania. Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama. Dengan kecanggihan teknologi yang setinggi imaginasi, kota ini mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Im...