Hari terakhir tahun 2015,Estodania.
MALAM menjelma dengan pantasnya. Kali ini, Sultan Iltizam menitahkan seluruh warga istana menghadiri kuliah di masjid istana kerana kuliah malam ini akan dilanjutkan dengan Solat Sunat Hajat yang diadakan khas untuk memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah. Tatkala semua sudah berkumpul di masjid Istana untuk mendengar kuliah, Sultan Iltizam mengatur langkah ke perkarangan Istana. Menanti Pangeran Firaz dan Faris.
Sultan Iltizam menanti mereka berdekatan dengan taman mini Permaisuri Isabella. Bunga-bunga tumbuh mengembang di taman mini itu. Masing-masing merona merah seperti darah dengan duri-duri tajam mengitari tangkainya. Daun-daunnya tampak hijau gelap berkelopak tiga. Batas-batas tanahnya tergembur-gembur sambil mengeluarkan cairan yang berwarna hijau cair seperti bendalir hidung. Himpunan bunga ini ditanam mengitari air pancur yang terletak di tengah laman istana. Perlahan-lahan Sultan Iltizam menyentuh kelopak bunga salah satu bunga yang berada di hadapannya. Kasar dan berduri halus. Tidak seperti lazimnya kelopak bunga yang lainnya.
"Aduh!" dengan pantas Sultan Iltizam menarik jarinya. Darah menitik ke atas kelopak bunga tersebut. Jarinya sedikit terluka, mungkin akibat geseran duri halus pada kelopak bunga tersebut.
Sultan Iltizam mengigit jarinya. Cuba untuk mengeluarkan duri yang mencucuk hujung jarinya itu. Sedang kusyuk mencuba, tiba-tiba telinga menangkap bunyi kelicap mulut seperti seseorang sedang mengunyah sesuatu. Bunyi suara itu diiringi dengan rindingan bulu roma pada tengkuknya. Satu rasa yang sudah lama dia tidak alami.
Sultan Iltizam memerhatikan sekeliling. Cuba melihat kalau-kalau ada sesiapa yang sedang duduk berdekatan dengannya. Namun, hanya kegelapan malam yang dilimpahi cahaya lampu yang hinggap pada pandangannya.
Sultan Iltizam mendongak ke atas, memandang pangkin utama istana. Satu jasad sedang terpacak di sana sambil memandang ke arahnya. Dari kejauhan, Sultan Iltizam dapat mengagak jasad tersebut sedang memandangnya dengan pandangan marah. Sultan Iltizam menelan air liur jauh ke dalam anak tekak tatkala dia menyedari gerangan yang sedang memerhatikannya itu. Permaisuri Isabella. Tetapi tampangnya sangat menakutkan dengan gaun hitam yang dipakainya. Lebih mengejutkan lagi apabila dia menyedari Permaisuri itu tidak mengenakan sebarang jilbab untuk menutup rambutnya.
"Tuanku! Pandang apa di atas sana?" suara Pangeran Firaz mengejutkannya. Sultan Iltizam mengalihkan matanya, memandang Pangeran Firaz yang baru sahaja tiba itu.
"Tidak ada apa-apa," bohong Sultan Iltizam. Sekali lagi dia memandang pangkin istana itu. Kosong. Permaisuri Isabella sudah menghilangkan diri.
"Bunga apa ini?!" tidak semena-mena muncul satu suara dari belakang Pangeran Firaz. Ada raut marah pada wajah cucu Imam Syahriyan itu.
"Faris!" tingkah Pangeran Badar. Dia kurang bersetuju dengan sikap Faris yang tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Iltizam.
"Maafkan patik, tuanku. Saya Faris," ujar Faris, setelah dia menyedari kekhilafannya. Sultan Iltizam menghadiahkan sekuntum senyuman, lalu diikuti dengan huluran salam.
YOU ARE READING
ESTODANIA : HIKAYAT ADIWANGSA
FantasíaSelamat datang ke Estodania. Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama. Dengan kecanggihan teknologi yang setinggi imaginasi, kota ini mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Im...