Awal Tahun 2016, Estodania.
SIREN kecemasan bergema seluruh alam. Ketenangan pekat malam dinodai oleh cahaya hijau yang menjulang naik ke langit dari laman istana. Cahaya hijaunya sangat terang sehingga menyebabkan seluruh Estodania disimbahi cahaya hijau, menenggelamkan warna-warna cahaya yang lain. Semua penghuni Estodania mula memenuhi ruang-ruang terbuka jalan untuk melihat anomali malam yang berlaku dari arah istana itu. Keadaan yang sama turut dilakukan oleh warga istana. Masing-masing berhenti melakukan kerja lalu menapak keluar menghampiri jendela istana. Tidak kurang juga yang berlari keluar, ke perkarangan istana dan pangkin. Mata masing-masing terpaku melihat Permaisuri Isabella yang sedang terapung di udara, dengan rambut separas bahunya yang kini menggerbang.
Tangan permaisuri itu didepakan menghadap cahaya hijau berbentuk silinder yang menjulang ke atas itu. Semua serba kaku dengan degupan jantung yang semakin laju. Masing-masing dapat merasakan bahana yang mendekat, cuma kaki mereka seperti terpaku melihat cahaya tersebut. Hanya Sultan Iltizam, Pangeran Firaz dan Faris sahaja yang tidak kelihatan dalam kerumun manusia yang ramai itu. Beberapa ekor jin mula menampakkan diri mereka dalam celah-celah manusia. Muncul dalam pelbagai rupa dan bentuk. Masing-masing turut terpaku melihat fenomena yang berlaku di hadapan mereka saat itu.
*
Sementara itu, di tangga menara menuju ke kamar diraja, Medicak sedang meratap sayu di sisi Sultan Iltizam yang semakin sekarat. Simbahan cahaya hijau yang suram menambahkan lagi suasana sedih yang sedang menggamit jiwanya. Sultan Iltizam telah termakan muslihat Nilakendra. Tubuh sultan manusia yang disayanginya itu mula layu dengan tubuhnya yang terjelopok di atas tangga. Tidak ada sesiapa yang lalu di situ memandangkan ruangan itu merupakan ruangan ekslusif untuk sultan dan permaisuri sahaja.
"Kamu ini satu kerugian nyata Ekrandia, Medicak! Kalau bukan kerana Niyang, sudah lama aku habisi hayat kamu!" terngiang-ngiang di telinga Medicak ugutan Nilakendra yang mendiami tubuh Permaisuri Isabella sebentar tadi.
"Sultan Iltizam... jangan mati, tuanku," tangis Medicak. Dia mendekati tubuh Sultan Iltizam. Tangannya mengigil-gigil hendak menyentuh cucuk sanggul yang tertanam pada tengkuk manusia itu. Sanggul berbentuk daun. Darah merah terpancut-pancut keluar daripada lubang cucukan sanggul tersebut. Memercik ke tubuh Medicak, namun kemudiannya darah itu hilang, diserap ke dalam tubuh Medicak.
YOU ARE READING
ESTODANIA : HIKAYAT ADIWANGSA
FantasíaSelamat datang ke Estodania. Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama. Dengan kecanggihan teknologi yang setinggi imaginasi, kota ini mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Im...