Awal Tahun 2015, Estodania.SULTAN Iltizam menghentikan ratiban zikirnya. Kepalanya ditolehkan ke kanan, memandang isterinya yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Sudah dua minggu isterinya itu tertidur seperti tidak bernyawa. Sekembalinya dari Esramudra, dia dimaklumkan NASA bahawa isterinya itu tidak sedarkan diri. Syak wasangkanya terhadap Farihah semakin tebal sebaik sahaja dimaklumkan berita walang itu. Namun, dia cuba menepis jauh-jauh bisikan syaitan itu selagi dia belum menemukan bukti kecurangan tauhid Farihah. Sungguhpun tidak berjaya bertemu dengan suami Farihah, tetapi dia masih belum galak menuduh cucu Imam Syahriyan itu menjadi dalang isterinya tidak sedarkan diri. Tambahan pula, cadangan Farihah bahawa keselamatan isterinya lebih penting berbanding menjemput suami Farihah terdengar rasional dalam pengamatannya.
Dia sudah mencuba menghubungi sahabatnya Sultan Aminuddin untuk memaklumkan keadaan Permaisuri Isabella itu. Namun, selepas perpisahan mereka di Kepulauan Karimata, sahabatnya itu tidak dapat dihubungi. Mungkin kerana Sultan Aminuddin sudah memasuki kawasan Kepulauan Alit. Sebagai syarat perjanjian dengan kerajaan jin di kawasan kepulauan itu, mereka telah bersetuju agar teknologi Estodania dibataskan tidak memasuki kawasan kepulauan itu. Sungguh, misteri yang satu ini terasa sukar untuk dirungkaikan tanpa bantuan Sultan Aminuddin. NASA, mesin cerdas ciptaan mereka juga tidak mampu merungkaikan asbab Permaisuri Isabella tidak sedarkan diri. Sultan Iltizam pula ragu meminta bantuan jin-jin yang lain kerana dia hanya mempercayai Sultan Aminuddin seorang.
"Lahaula wala quwata illa billahil aliyil adzim"
Sultan Iltizam hanya mampu bermunajat kepada Allah selepas dia mati akal untuk merawat Permaisuri Isabella. Barisan Pegawai Perubatan Estodania juga tidak dapat mengesahkan kejadian sebenar yang dialami Permaisuri Estodania itu. Mereka hanya menyimpulkan bahawa Permaisuri Isabella mungkin kepenatan kerana terlalu banyak berfikir. Ada kemungkinan benar dakwaan pegawai-pegawai perubatan itu, kerana kali terakhir Permaisuri Isabella itu sedarkan diri, Estodania dalam ambang gawat akibat ancaman kemunculan semula Mandalika. Permaisuri Isabella itulah yang paling banyak berfikir tentang permasalahan tersebut.
Sudah hampir sebulan tiada sebarang khabar tentang Mandalika. Demikian juga dengan kembara Sultan Aminuddin ke Kepulauan Alit. Senyap tanpa perkhabaran. Sebagai pemimpin Estodania dan sebahagian besar tanah Nusantara, Sultan Iltizam tiada pilihan lain selain melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya, sendiri. Urusan pengambilan Lasykar Estodania juga terpaksa ditangguhkan berikutan pengganti Pangeran Badar untuk mengepalai Lasykar Estodania masih belum mahir dalam tugasan baharunya. Buat masa ini, dia hanya melantik Pangeran Firaz, daripada Unit Lasykar Darat untuk mengatur urus tadbir Lasykar Estodania.
"Assalamualaikum, tuanku. Maaf mengganggu. Pangeran Firaz sedang berdiri di hadapan pintu untuk bertemu dengan tuanku," tiba-tiba suara NASA memecahkan keheningan yang memenuhi kamar peraduan diraja itu.
"Wa alaikumussalam. Tidak mengapa NASA. Terima kasih maklumkan beta," jawab Sultan Iltizam. Dia segera bingkas bangun dan menuju ke pintu untuk bertemu Pangeran Firaz.
YOU ARE READING
ESTODANIA : HIKAYAT ADIWANGSA
Viễn tưởngSelamat datang ke Estodania. Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama. Dengan kecanggihan teknologi yang setinggi imaginasi, kota ini mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Im...