NOTA PENULIS : Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Terima kasih kerana berminat untuk membaca karya saya yang tidak seberapa ini. Boleh tahan jauh juga anda membaca dah sampai bab ini.. Saya sangat menghargainya...
.Minta tolong untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya. Terima kasih.Jom sambung mengembara dalam dunia Estodania.
Penghujung Tahun 2014,
Ekrandia.
AINUL HAYAT menitiskan airnya tanpa henti. Punca airnya masih menjadi tanda tanya. Bentara Lakhus sendiri tidak mengetahui dari mana punca mata air Ainul Hayat ini. Hanya menitik dari batu kecil di atas kolamnya. Kolamnya yang agak kecil tidak pernah kelihatan keruh. Tetap indah dengan kilauan-kilauan bak permata. Airnya sehijau zamrud. Malangnya, makhluk sepertinya dihalang untuk merendamkan diri dalam kolam abadi itu. Bentara Lakhus menitahkan jika sesiapa daripada mereka yang ingkar perintah, kelak ajal akan menemui mereka. Dek kerana itulah, dia dan sahabat-sahabatnya menjauhkan diri daripada pulau terpencil ini. Lagipun, mereka tidak memerlukan kesaktian kolam itu kerana mereka sudah dijanjikan umur yang panjang. Hasil kebijaksanaan nenek moyang mereka terdahulu. Kunjungannya ke sini hanya untuk melaksanakan arahan kedua Bentara Lakhus yang tercatat dalam Pandora hitamnya.
"Soowa.... Soowa... Patua... Naka... Soowa... Soowa... Patua... Naka...!"
Nilakendra memulakan jampi serapah memanggil penunggu pulau terpencil itu. Dia ditugaskan untuk menjaga Ainul Hayat selepas dia mencetuskan huru-hara di kepulauan Jawa.
"Soowa.... Soowa... Patua... Naka... Soowa.... Soowa... Patua... Naka...!" ujarnya lagi. Lalu muncullah ekor ular yang besar tergantung dari atas pokok diikuti dengan bunyi desisan ular. Nilakendra segera mendongak ke atas pokok.
"Turunlah kamu Mandalika. Ada perkhabaran Bentara utuskan," ujar Nilakendra. Seraya susuk tubuh ular yang berkepala manusia itu menjalar turun tepat di atas kolam Ainul Hayat. Ular itu mengapungkan dirinya. Tidak menyentuh air Ainul Hayat.
"Bentara mengutuskan titah agar kamu melanggar Esramudra. Ramalnya, kota duyung itu bakal menjadi punca Estodania tidak terhapus," beritahu Nilakendra.
"Esramudra? Sudah berkurun aku cuba ke sana. Usaha ku lebih lama sebelum Bentara meminta aku terbang ke sini. Pasti gagal lagi kali ini," balas Mandalika. Nada kesal ada pada suaranya. Kesal dengan kegagalannya sendiri. Gagal meruntuhkan kawasan jin yang mentauhidkan Allah.
"Kamu hanya perlu mencari yang fasiq dalam kota itu. Makhluk yang kulitnya tidak serupa dengan yang lain. Dia adalah pintu untuk kamu," ujar Nilakendra lagi.
"Lalu, apa untungnya bagi aku?" tanya Mandalika. Tandukknya yang melengkung tergerak-gerak seiring dengan keningnya yang dinaikkan.
"Menjadi raja di Esramudra! Bukankah itu yang kamu inginkan?" ujar Nilakendra. Tersenyum. Dia yakin, Mandalika akan jatuh dengan helahnya itu.
YOU ARE READING
ESTODANIA : HIKAYAT ADIWANGSA
FantasySelamat datang ke Estodania. Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama. Dengan kecanggihan teknologi yang setinggi imaginasi, kota ini mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Im...