Awal Tahun 2015, Estodania.
"Siapa, tuanku?" Farihah bertanya.
"Nilakendra," jawab Sultan Iltizam sambil memandang tepat ke anak mata Farihah.
"Dari mana tuanku dengar nama itu?" tanya Farihah lagi.
"Apakah kamu sedang cuba berdalih daripada menjawab soalan beta?!" Sultan Iltizam meninggikan suaranya.
"Bukan begitu maksud patik, tuanku. Nama itu sepertinya patik pernah mendengarnya. Dek kerana itulah patik bertanya lagi. Sekadar meminta kepastian," Farihah masih berusaha keras cuba menutup kebenaran dirinya. Suara sedikit bergetar menahan gemuruh.
"Nama itu tercatat dalam kotak hitam kamu itu!" jawab Sultan Iltizam sambil memuncungkan bibirnya ke arah kiri Farihah.
Farihah menoleh ke arah kirinya. Matanya menangkap tampak kotak pandora pemberian Bentara Lakhus sedang terkuak di atas katilnya. Bunga putih yang berduri itu terpampang jelas. Pada penutup kotak pandora tersebut, kata NILAKENDRA terukir kemas daripada dakwat berwarna merah. Terkejut bukan kepalang Farihah apabila melihat tulisan nama itu. Seingatnya, sebelum ini tidak ada langsung ukiran-ukiran aksara pada penutup kotak tersebut. Apa maksud ukiran nama ini? Adakah ini petanda daripada Bentara Lakhus yang cuba untuk menghubunginya? Lebih malang, ukiran nama itu muncul ketika Sultan Iltizam sedang bertemu dengannya. Malang!
"Farihah, beta sedang bertanya kepada kamu ini? Apa yang kamu menungkan?" tanya Sultan Iltizam apabila melihat Farihah hanya mendiamkan diri sambil memandang kotak hitam di atas katilnya itu.
"Err... maaf tuanku. Patik juga tidak tahu siapa Nilakendra," bohong Farihah.
"Tidak tahu, atau kamu sengaja tidak mahu beta tahu?" duga Sultan Iltizam lagi.
"Maaf tuanku. Patik memang tidak tahu," sekali lagi Farihah berbohong, menyembunyikan kebenaran.
"Jika kamu tidak tahu, bagaimana nama itu boleh tercatat dalam kotak kamu? Kotak hitam itu kepunyaan kamu bukan??" asak Sultan Iltizam lagi dengan soalan. Keningnya diangkatkan sedikit, tanda tidak berpuas hati.
"Ya, kotak ini milik patik. Tetapi sebelum ini nama itu tidak ada di situ, tuanku. Atau mungkin patik yang tidak perasan kewujudannya," kali ini Farihah berkata jujur tanpa memuntahkan keseluruhan kisah sebenar. Sultan Iltizam hanya mampu menarik nafas panjang sambil berpeluk tubuh mendengar jawapan Farihah itu. Sudah sering kali jawapan yang dia berikan tidak dapat memuaskan hatinya.
"Tidak mengapalah Farihah. Kami pergilah berehat. Jangan difikirkan sangat masalah suami kamu itu. Anggap sahajalah jodoh kamu dengan dia sudah selesai. Kelak kamu sudah sihat, jangan lupa laksanakan tanggungjawab kamu di sini sebagai fuqaha. Kalau tidak, kamu beta akan hantar kembali ke Kampung Pagung," ujar Sultan Iltizam akhirnya. Matanya masih galak memerhatikan reaksi Farihah yang menghembuskan nafas lega selepas mendengar ujarannya itu.
"Boleh patik melawat Tuanku Permaisuri sekarang?" tanya Farihah. Terkebil-kebil matanya mengharapkan jawapan Sultan Iltizam.
"Usai zohor kamu pergilah melawat Permaisuri. Medicak sedang menjaga permaisuri di sana. Sedekahkan Al-Fatihah untuk adinda beta. Semoga dia segera sihat." Sultan Iltizam memberi kebenaran. Dalam kotak mindanya, dia sudah menyusun strategi untuk merungkai rahsia yang disembunyikan oleh Farihah itu.
"Terima kasih, tuanku. Patik mohon untuk beransur," ujar Farihah dengan nada yang riang. Lagaknya sedikit terkinja keseronokan.
Sungguh, lagak Farihah sangat berbeza dengan fuqaha-fuqaha wanita sebelum ini. Padahal dia ialah cucu Imam Syahriyan. Sepatutnya, lagaknya lebih muslimah berbanding yang lain. Apakah Imam Syahriyan tersalah mendidik Farihah? Apa mungkin Imam Syahriyan berat sebelah dalam memberi kasih sayangnya kepada kedua-dua cucunya? Tidak mengapa, kelak apabila cucu lelaki Imam Syahriyan bertugas di sini, dia akan bertanya tentang kisah lalu Farihah.
'Astaghfirullah!'getus hati Sultan Iltizam apabila dia menyedari serkap jarang yang berlaku dalam kotak mindanya.
Sultan Iltizam kembali ke ruangan rahsia istana. Mod Labirin Istana telah dimatikan. Kamar Farihah juga telah diletakkan kembali ke tempatnya. Sultan Iltizam sedang duduk memandang hologram istana yang terpusing-pusing di atas Meja Replika yang terletak di ruang tengah bilik tersebut.
Jari-jemarinya dihayunkan di udara untuk menekan butang-butang halimunan. Setiap kali jemarinya menyentuh butang ghaib tersebut, cahaya biru kelihatan terpercik di udara. Usai menekan butang-butang yang perlu, Meja Replika di hadapannya berubah wujud. Replika istana segera lesap. Ruang tengah meja itu terbuka dua. Bunyi-bunyi mesin terputar-putar kedengaran dari ruang meja yang terbuka. Dari bukaan tersebut, timbullah kotak berwarna emas yang diletakkan rapi di atas rihal emas.
Sultan Iltizam mencapai kotak tersebut, seraya membuka isinya. Jilidan buku kitab suci terpampang. Satu-satunya objek konkrit yang disimpan dalam istana. Isi-isinya sudah diterbitkan dalam bentuk maya dan dimuatkan ke dalam tablet-tablet pintar. Isinya juga dimuat naik ke dalam aksesori-aksesori manusia untuk memudahkan mereka membaca isinya. Agar tidak ada alasan lagi batasan masa menjadi punca manusia jarang membaca isinya. Buku dalam kotak emas ini, hanyalah simpanan untuk semakan jika berlaku apa-apa kemungkinan.
"Assalamualaikum, tuanku," suara NASA kedengaran.
"Wa alaikumussalam. Ada apa NASA?" tanya Sultan Iltizam. Dia sedikit pelik apabila NASA bersuara tanpa dia memanggilnya.
"Ada musibah apa yang melanda sehingga Nadi Estodania dikeluarkan, tuanku?" tanya NASA. Tersentak kecil Sultan Iltizam. Barulah dia menyedari bahawa NASA telah diprogramkan untuk menjaga Nadi Estodania ini. Tidak hairanlah mengapa NASA bersuara tanpa sebarang panggilan. Amanah utamanya beranomali. NASA telah diperintahkan untuk melindungi Nadi Estodania ini jika berlaku bencana di Estodania. NASA bukanlah selama-lamanya hanya wujud dalam bentuk suara. Ada jasad yang sudah dicipta untuk NASA jika berlaku detik-detik getir di Estodania.
"Tiada apa-apa NASA. Maaf, beta mengeluarkan Nadi Estodania tanpa memaklumkan kamu. Beta cuma ingin memastikan keselamatannya," jawab Sultan Iltizam.
"Tidak mengapa, tuanku. Patik cuma melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan," balas NASA.
"Terima kasih NASA," ujar Sultan Iltizam.
"NASA, tolong cari maklumat tentang Nilakendra. Siapa dia?" titah Sultan Iltizam.
"Baik, tuanku," akur NASA Mesin cerdas itu memang sentiasa patuh dengan pemimpin-pemimpin Estodania sejak zaman peningkatan tamadun Estodania lagi.
.
.
NOTA PENULIS :
Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.
Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih.
YOU ARE READING
ESTODANIA : HIKAYAT ADIWANGSA
FantasySelamat datang ke Estodania. Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama. Dengan kecanggihan teknologi yang setinggi imaginasi, kota ini mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Im...