BAB 9

1.9K 117 3
                                    

"Assalamualaikum warah matullah." Kepala dipaling ke kanan. Ucapan yang sama keluar dari bibir Izara sebelum dipalingkan kepala ke kiri pula. Sebelah tangan meraup muka. Izara mengambil nafas lalu dihela. Kedua belah tangan ditadah.

"Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Kau tempat kami bermohon, bermunajatkan doa. Ampunilah dosaku, dosa kaum kerabatku. Panjangkan lah umurku, umur umi serta adik-adikku. Bukakan lah pintu rezeki buat kami sekeluarga, murahkan lah rezeki kami Ya Allah kerana Kau sesungguhnya Maha Pemurah dan Maha lagi Mengasihani." Izara jeda.

"Ya Allah, bantulah umi, bantulah juga Izham dan Iman dalam mengharungi kehidupan tanpa aku di sisi. Ringankanlah beban yang umi tanggung. Tabahkan lah hati mereka, berikan mereka kesabaran untuk menunggu aku. Aku memohon kepada-Mu, berikan aku kesempatan waktu untuk berjasa. Berjasa kepada umiku selagi dia masih hidup. Ya Allah permudahkan lah urusan aku di sini. Bekerja mencari rezeki yang halal untuk keluargaku. Ku mohon, lindungilah aku dari bala bencana yang mendatang. Usir jauh segala bala penyakit dari menjangkitiku. Aminn Ya Rabbal Alamin..." kedua belah tangan diraup ke muka. Moga-moga doa yang dipinta akan dimakbulkan. Izara seka hujung mata yang berair.

Sungguh dia rindu akan umi dan dua orang adik lelaki yang nakal. Izham dan Iman. Apa yang budak berdua itu sedang buat? Menelaah buku? Tidur? Takkan seawal jam begini budak berdua itu sudah lena. Ataupun sedang leka bermain gajet masing-masing?

"Zara!!" dari luar kedengaran Hidayah melaung memanggil namanya. Lekas Izara menanggalkan kain sembahyang putih suci.

"Ya kak! Ada apa?" rambut panjangnya dibiar lepas. Kaki diatur mendekati Hidayah yang sedang mengunyah kekacang sambil bersila di lantai menghadap kaca televisyen. Izara yang melihat perlakuan itu segera menggeleng kepala. Sofa ada, lantai juga yang jadi tempat duduknya. Kejung punggung itu nanti baru tau.

"Ini. Ada orang call cari Zara." Telefon yang dihulur tangan panjang Hidayah itu hanya dilihat tanpa disambut. Siapa pula yang cari dia? Malam-malam begini?

"Razi ke? Kalau Razi, Zara tak nak cakap. Akak cakap je Zara tengah sembahyang tak pun tengah tidur." Cepat Zara mencipta alasan. Tak mahulah dia berbicara bersama Razi. Makin hari tingkahnya makin pelik. Menyeramkan.

Mata Hidayah membulat. Terus ditutup speaker telefon berjenama Huawei itu.

"Hei, suara itu boleh control tak! Ini tak, kuat melebihkan speaker panggung wayang. Ini bukan Razilah! Kalau Razi cari Zara dah lama akak tembak dia pakai mulut akak ni." Hidayah memuncungkan bibir, menunjukkan bibirnya yang lebih hebat dari M16 riffle.

"Habis itu siapa?" Hidayah diam, memandang gadis yang semakin meningkat dewasa di hadapannya. Hidayah ukir senyum. Dia tahu Izara akan suka dengan panggilan ini.

"Izham call. Dia kata umi rindu Zara." Dengar sahaja siapa pemanggilnya, Izara terus melabuhkan punggung di sebelah Hidayah. Gajet jenama Huawei itu segera disambut lalu ditekap ke telinga.

"Hello! Umi! Angah! Adik!"

"Zara." Suara umi kesayangannya menyapa gegendang telinga. Air matanya terasa mahu menitis sekarang juga. Namun sedar akan kewujudan Hidayah di situ dia tahan sahaja sebak menggunung itu. Izara sekadar senyum, membalas pandangan Hidayah kepadanya.

Tak lama selepas itu, sayup-sayup kedengaran suara Izham dan Iman seperti bertelagah berebutkan sesuatu. Budak berdua itu memang tak berubah. Ingatkan selepas dia pergi masing-masing makin matang. Tapi sama sahaja.

"Umi apa khabar? Umi sihat tak dekat sana?" soalnya. Sebagai anak sulung, dia risau setengah mati dengan keadaan umi yang tiada di depan mata. Tambah lagi dengan kudrat umi yang tidak lagi sasa seperti dulu. Umur umi bukan makin muda tapi makin lanjut.

His Only OneWhere stories live. Discover now