BAB 2

2.9K 149 12
                                    

Izara merenung jauh ke laut yang tidak berpenghujung. Melihat beberapa buah bot yang terapung di atas air. Ada yang datang ke mari dan ada juga yang pergi. Dia menghela nafas berat. Punggung mula berasa kebas akibat duduk lama di atas wakaf beratapkan pelepah kayu kelapa.

Debu kayu yang melekat di tangan sesekali disapu menghilangkan kotoran. Masuk ke rongga pernafasan nanti tak pasal-pasal batuk pula dia nanti. Ini wakaf yang dibina oleh arwah abah. Setiap petang memang tempatnya di sini. Sudah menjadi rutin dia ke sini menanti satu kepulangan yang mustahil akan kembali. Izara tersengih sendiri.

Kepala mendongak ke langit. Matahari senget ke Barat. Bila-bila masa azan Maghrib akan berkumandang. Ada baiknya dia pulang sekarang. Tak manis anak dara masih merayau waktu-waktu begini. Biasalah, kampung. Lagipun nanti uminya membebel tak sudah.

Tak berlengah terus Izara melompat turun dari wakaf. Menyarung selipar Jepun berwarna hijau dan menyelusuri jalan lurus pulang ke rumah. Air dan angin tenang menjadi peneman pulang di senja. Seketika kakinya berhenti melangkah. Membuang pandang sekilas ke wakaf persinggahannya tadi.

"Abah, nanti along datang lagi ya."


Mak Esah menjerang air panas di dapur. Tiba-tiba malam ini datang selera nak minum air teh panas-panas dengan biskut gula bersama anak-anak. Esok sudah hari Sabtu. Walaupun esok cuti bagi semua orang tetapi tidak bagi dirinya. Cuti minggu ini, ada yang datang memanggil meminta tolong mengupas bawang untuk kenduri. Tak kurang juga mengupah untuk buat kerja rumah.

Lamunannya pecah saat anak daranya memasuki ruang dapur. Rambut panjang tak berikat milik Izara buat dia mengeluh. Berapa puluh kali dia nak nasihat bukannya nak dengar. Hari ini boleh pula Izara pulang lewat hari ini. Dah macam kucing hilang anak dibuatnya dia mencari Izara.

"Along..." belum sempat dia mahu menegur Izara sudah tunjuk getah rambutnya yang berwarna oren.

"Dah tu, tak pandai-pandai lagi nak ikat? Berapa kali umi nak cakap? Kalau masuk rambut along dalam makanan tu nanti macam mana?"

"Jadi macam mana lagi umi? Jadi tergilakan along lah." Izara mengekek ketawa bila raut wajah Mak Esah bertukar cemberut. Bukan dia tak nak ikat rambut, cuma dia lebih selesa lepas rambut panjangnya. Seharian bertudung. Ikat rambut pun boleh buat rambut rosak. Lagipun di rumah Izara mahu keadaan yang lebih selesa buat diri. Kata rumahku syurgaku.

"Amboii, gatal! Belum apa-apa lagi dah pandai itu ini." mata tua Mak Esah mengecil.

"Aku kahwinkan kau dengan Pak Mail kau tu tak nak." Sambungnya lagi. Kali ini Izara pula yang cemberut.

Pak Mail? Bujang tua yang bonceng motor kapcai itu? Oh tidak!

"Tolonglah. Bagi free pun Zara tak nak. Gelilah!" meremang bulu roma Izara tiap kali terkenangkan Pak Mail. Dahlah pakai cermin mata macam Harry Potter. Perangai miang bukan main. Tak padan dengan umur yang makin dekat dengan kubur langsung! Bayangan lelaki tua itu dibuang jauh-jauh. Umur sebaya dengan umi kot. Agak-agaklah nak padankan dia dengan pak cik tua pun. Umi ini pun satulah. Nak bergurau biarlah ada taste.

"Macamlah umi tak tahu dia selalu tegur kau, long. Izham dengan Iman pun perasan." Mak Esah terus-terusan mengusik. Dia ketawa kecil melihatkan Izara yang kian serabut dengan hal lelaki bujang tua itu.

"Umi!" Izara hentak kaki ke lantai persis anak kecil. Umur je 20 tahun tapi sensitif. Dahi Izara berkerut tidak suka. Umi kalau ada modal nak menyakat memang tak sudah nak buat dia sakit hati.

"Itu air dah menggelegak atas dapur." Izara tuding jari ke cerek air. Asap nipis berlumba-lumba terbang di udara. Cepat-cepat Mak Esah tutup api dapur. Menyiapkan sedulang cawan dan teko berisi teh Boh. Dibawa ke ruang tamu untuk dijamu bersama anak-anak.

His Only OneTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang