P R O L O G

1K 62 11
                                    

TUP! Tup! Tup!

Dia mengerang kesakitan. Beberapa kali juga kepalanya terasa sakit akibat terhantuk pada batu. Matanya dibuka perlahan. Keadaan sekeliling tidaklah berapa jelas diakibatkan oleh sumber cahaya yang kurang. Ketika ini, hanya bulan menjadi penyinar malamnya. Apa yang hairan, badannya terasa seolah diheret oleh seseorang. Tetapi, siapa?

Kakinya dipegang kemas. Mungkin juga, diikat. Entahlah, dia pun tidak pasti. Perkara terakhir yang dia ingat sebelum dia tiba di sini adalah kepalanya dipukul kuat dari belakang, membuatkan dirinya tidak sedarkan diri buat sementara waktu. Dan kini, dia berada di sini. Tempat yang kelihatannya seperti hutan tebal.

Perasan akan keadaannya, dia mulai cemas. Kepalanya diangkat sedikit bagi melihat gerangan yang menarik kakinya. Jelas ianya adalah seorang lelaki. Berbadan kurus dan tinggi, sedang membelakanginya. Tangannya berbalut kain kasa. Badannya terlekat hoodie berwarna hitam melitupi seluruh badan termasuk kepala.

Jantungnya berdegup kencang. Perasaan takut menyelubungi diri. Dia menjadi tidak keruan. Tangannya sedaya-upaya mencari sesuatu untuk digapai. Namun, tiada akar mahupun batu yang kukuh mampu menjadi tempatnya berpaut. Dia semakin gelisah.

Tambahan pula, Si Penculik sudah perasan akan dirinya yang telah sedar. Lantas kakinya dihempas kuat ke tanah. Dia semakin takut. Peluh ketakutan membasahi wajahnya. Penculik itu berpaling mememandang ke arahnya. Wajah Si Penculik tidak dapat dilihat dengan jelas dek keadaan yang gelap. Tambahan pula, Si Penculik memakai pelitup muka. Menambahkan lagi kesukaran untuk meneka siapa.

Dia cuba bangun untuk melarikan diri, namun penculik itu lebih pantas menariknya jatuh kembali. Dia semakin cemas. Ketika ini, tidak terputus bacaan doa di dalam hatinya. Meminta sepenuhnya pertolongan dari Dia Yang Maha Esa.

Penculik itu sudah tidak tahan. Dikeluarkan pisau dari sarung yang tergantung pada seluarnya lalu diarahkan kepada dia. Matanya membulat, terkejut. Sekali lagi dia cuba bangun. Belum sempat Si Penculik menariknya ke bawah semula, dia lebih lantas menyepak lengan penculik itu lantas membuatkan pegangan menjadi longgar.

Dia akhirnya berlari sekuat mungkin, mahu melarikan diri dan meminta pertolongan. Dia menjerit, namun sayang... tiada siapa mampu mendengarnya. Dia meneruskan larian. Apabila terdengar sayup-sayup tapak kaki Si Penculik yang mengejarnya dari belakang, lantas lariannya dipercepatkan.

Keadaan sekeliling diperhati. Ada dua lorong. Kedua-duanya dia tidak tahu membawa ke mana. Dia berhenti. Cuba berfikir sejenak. Namun, masanya teramat singkat. Dia perlu membuat keputusan dengan cepat! Setelah lebih 5 saat berfikir, dia akhirnya memilih lorong kanan untuk menyambung larian. Sungguh, dia tidak tahu dia di mana dan ke mana hala tujunya. Yang penting, dia mahu larikan diri sehingga dirinya tidak lagi dapat dikesan Si Penculik.

Namun, sangkaannya jauh meleset. Keberadaannya tetap dapat diekori dari kaki ke kaki oleh penculik itu. Dia mula kepenatan. Lariannya juga mulai perlahan. Penculik itu tersenyum di balik topeng. Si Penculik yakin, mangsanya tidak dapat lari jauh lagi.

Malang tidak berbau. Di pertengahan jalan, dia tersepak sebiji batu lalu tersadung jatuh mencium tanah. Dia mengerang kesakitan. Dapat dirasa pada mukanya sedikit calar akibat bergesel dengan ranting-ranting juga batu yang berada di atas tanah.

Si Penculik semakin menghampiri. Melihat mangsanya jatuh, membuatkan dirinya semakin galak tersenyum sinis. Perlahan-lahan dia mendekati, pisau di tangan diangkat tinggi. Dilibasnya pisau itu mahu mengelar leher mangsa.

Tepat pada waktunya, dia berpaling. Membuatkan libasan pisau itu terkena pipi dan bukan leher. Dia terselamat, walaupun darah berpusu-pusu keluar dari belahan pipi. Dia berundur, melarikan diri dari libasan-libasan Si Penculik. Hinggalah akhirnya, badan kurusnya itu menyentuh pokok. Dia sudah tidak mampu berundur lagi, walhal penculik itu kian mendekati!

Otaknya kini ligat memikirkan jalan keluar. Belum sempat libasan pisau buat kesekian kalinya mendarat, badannya terlebih dahulu diguling menjauhi pokok tadi. Namun, nasibnya malang. Gulingan tadi telahpun membawa dirinya menjunam jatuh ke dalam sebuah lubang yang tidak begitu dalam, tetapi cukup menimbulkan sengal satu badan.

Digagahkan juga dirinya untuk bangun berdiri. Tetapi, penculik itu terlebih dahulu menyepak perutnya sehingga jatuh terbaring. Sepakan Si Penculik agak kuat, membuatkan perutnya senak. Matanya juga turut terpejam menahan kesakitan yang menjalar.

Si Penculik masih belum berhenti. Walaupun mangsanya sudah jelas kelihatan sakit dan penat, dia tidak kisah. Apa yang penting, tugasannya perlu diselesaikan segera. Pisau yang berada di tangan diangkat lalu dihunus ke arah dada mangsa.

Akibat kesakitan yang amat, dia tidak dapat bertindak dengan cepat. Tangan kiri diangkat lalu dijadikan perisai untuk melindungi jantungnya. Pisau yang asalnya ingin menikam dada, akhirnya menembusi telapak tangan kiri. Darah bercucuran keluar seraya penculik itu menarik kembali pisaunya.

"Argh!" Dia mengerang kesakitan. Tangannya yang kian galak mengeluarkan darah dipegang. Hari ini sahaja, dia sudah banyak menerima sakit dan kehilangan darah. Apakah penculik di hadapannya kini memang benar-benar mahu menamatkan riwayat hidupnya?

Pisau Si Penculik sudah dibasahi darah sehinggakan ada yang menitik jatuh dari hulunya. Akan tetapi, itu bukanlah halangan untuk penculik itu meneruskan misinya. Si Penculik mendekatkan dirinya dengan mangsa. Dilibasnya pisau itu secara bertali-arus. Pemuda itu berundur dalam keadaan kesakitan. Pun begitu, beberapa libasan pisau tetap juga menyentuh kulitnya, menghasilkan luka yang banyak.

Harapan untuknya terus hidup sudah semakin tipis sebaik sahaja badannya berlanggar dengan dinding lubang, membawa makna dia sudah tidak dapat lari lagi. Pisau Si Penculik diangkat tinggi. Pemuda itu hanya memejamkan matanya, menanti saat akhir dia bernyawa. Bibirnya tidak pudar dengan alunan istighfar. Dalam hatinya berdoa. Andai ini adalah hari terakhir dia di dunia, maka dia minta Allah mengampuni dosa-dosanya.

Pisau tersebut akhirnya mendarat, menikam mangsanya. Pemuda itu jatuh terkulai, terbaring bersama air mata yang bergenang. Darah keluar bercucuran, mewarnai tanah dengan warna merah.

"Asyhadu an la... ila hailallah. Wa asyhadu.... anna... muhammadan... rasulullah..." Matanya terpejam seraya menghabiskan bacaan kalimah suci tersebut.

***

Misi IVTGWhere stories live. Discover now