1: PROLOG

971 75 37
                                    


Penjara yang saya huni ini boleh tahan besarnya. Dengan keluasan 330,000 kilometer persegi dan jumlah banduan seramai 33 juta orang, pergerakan para banduan sentiasa diawasi warden yang memakai lencana bertulis PDRM.

Warden di sini sangat tegas. SOP kena sentiasa dipatuhi. Kami penghuni penjara tidak boleh duduk rapat-rapat. Keluar dari sel kena pastikan semua banduan berada dalam jarak 1 meter. Keluar sel semua banduan kena pakai mask. Jika berani lawan SOP, RM1,000 perlu dibayar bagi menebus setiap kesalahan.

Tapi jangan ingat cuma saya yang terpenjara di sini. Sama ada kau mengaku atau tidak, kau juga adalah salah seorang penghuni penjara yang sama dengan saya!!

Di penjara yang di pintu masuknya tertulis perkataan MALAYSIA ini, kita sudah lama tidak boleh ke mana-mana. Ke negara jiran tidak boleh. Ke tanah suci pun tidak boleh. Pintu keluar dari Malaysia sudah hampir 10 bulan tertutup. Pintu merentas sempadan negeri dan daerah kadang-kadang terbuka, kadang-kadang tertutup. Begitulah sukarnya hidup di penjara ini.

Malaysia seperti negara lain adalah sebuah penjara covid. Kita tidak dibenarkan keluar Malaysia. Orang luar Malaysia tidak dibenarkan melancong ke Malaysia. Dan kita adalah sebahagian dari 33 juta penduduk Malaysia yang terkurung di penjara besar ini menanti sinar harapan. Selagi vaksin covid belum menunjukkan keberkesanannya, selagi itu luka ini akan terus menyakiti kita.

Idea menulis buku ini terhasil ketika PKP mula dikuatkuasakan beberapa bulan lalu. Ketika itu saya memang rasa benar-benar seperti terpenjara: keluar saja rumah, baru masuk simpang jalan raya, sudah jumpa road block. Polis begitu tegas, sering bertanya berbagai soalan. Jika jawapan tidak memuaskan, kena berpatah balik ke rumah. Jika jawapan meragukan kena denda RM1,000. Banyak yang tidak boleh ketika itu.

Sekarang peraturan di penjara dengan penghuni 33 juta orang ini makin longgar. Sekarang kita sudah boleh merentas negeri dalam Malaysia kecuali zon PKPD. Tapi untuk keluar dari Malaysia masih tidak boleh.

Di penjara bernama Malaysia ini, saya punya lebih banyak masa untuk berkarya. Dulu saya sekejap ke sana sekejap ke sini. Semenanjung, Sabah, Sarawak, beberapa negara Asia pernah saya jelajahi. Sekarang saya ada banyak masa di rumah - work from home. Ia memberi saya banyak masa untuk memerhati dan merasai keluh kesah, suka duka orang-orang sekitar saya.

Saya bukan saja mencatatkan segala yang saya nampak, dengar dan rasai dalam nota ini. Mungkin juga penulisan orang lain yang bermanfaat akan saya kongsikan juga di sini. Tapi adat berkongsi penulisan orang, jangan lupa memberi kredit kepada penulis asalnya.

Nota ini tidak terhad penulisan dalam bentuk prosa, mungkin saya akan selang seli menulis atau berkongsi penulisan dalam bentuk puisi seperti sajak, pantun dan sebagainya. Kebetulan saya memang penggemar puisi, walau saya sendiri bukan penulis puisi yang berbakat!

Mungkin apa yang saya tulis dalam nota ini tidak menarik. Tapi saya faham ia adalah perkara biasa. Kita lazimnya lebih tertarik kepada tema fiksyen dan fantasi berbanding tema realiti. Biasalah begitu kan.. berterbangan di alam fantasi lebih nikmat dari berpijak di dunia realiti.

~ JeffHamz
22.12.20

NOTA KAKI:
Jangan vote apa yang saya tulis jika ia tak menarik dan tak bermanfaat. Saya faham dan tak kecil hati. Maafkan saya membuang masa berharga anda 🙏🤦🙏

Nota Dari PenjaraWhere stories live. Discover now