Masuk tiga hari Tuan Fateh berada di Sarawak, selama itulah Raisha tidak menerima sebarang panggilan atau mesej daripada Tuan Fateh. Namun dia mengerti kerana dia baru saja selesai menghubungi salah seorang pekerja di sana untuk mengetahui jadual Tuan Fateh.
Ternyata, hari ini hari terakhir Tuan Fateh menyelesaikan tuntutan kerja di sana. Mungkin esok atau lusa Tuan Fateh bakal terpacul di muka pintu vila. Rana pula sudah kembali seperti biasa. Tidak merengek cumanya adalah sekali dua bertanya tentang daddynya.
Telefon pintar di tangan ditatap lama. Tiada langsung panggilan daripada Tuan Fateh. Tanpa sedar dia mengeluh kasar.
Hari ini merupakan hujung minggu dan sengaja dia pulang ke rumah uminya. Sudah lama tidak meluangkan masa bersama umi dan abi. Bukan dia tidak mahu singgah di rumah mentuanya, namun kehadiran seseorang itu menjelikkan hatinya.
"Termenung jauh nampak?" Sapaan mengejut itu memecahkan buih-buih lamunan Raisha. Dia memandang wajah uminya dengan senyuman nipis.
"Tak adalah, umi. Rana mana?"
"Ada dengan abi kamu dekat luar. Seronok sangat nak tengok ikan."
Raisha ketawa kecil. Rana memang gemar akan hidupan akuatik dan disebabkan itu juga Tuan Fateh telah membelikan sebuah akuarium yang agak besar di vila mereka.
"Umi tengok dari tadi, Sha asyik termenung jauh. Fikirkan siapa? Pasal apa? Tak nak luahkan dekat umi?"
Raisha menggigit birai bibir. Bukan tidak mahu bercerita namun baginya, ini hal perkahwinannya bersama Tuan Fateh. Lebih elok andai dia menyelesaikan tanpa campur tangan sesiapa.
"Umi faham kalau kamu tak nak bagitahu umi. Tapi, Sha... Ingat apa yang umi nak pesan ni sampai bila-bila."
"Pesanan apa, umi?" Raisha tatap wajah uminya.
Puan Halimah senyum nipis.
"Siapalah kita sebagai seorang isteri untuk menjatuhkan hukuman pada si suami? Sha dah pernah lalui fasa derita dulu dengan Fateh, Sha mesti serik kan? Umi cukup tahu sekarang ni Sha tengah ada masalah dengan Fateh. Umi dah tua, dah faham sangat."
Raisha tidak tahu untuk menunjukkan sebarang reaksi.
"Pesanan umi, komunikasi je tak cukup. Yang penting, mempercayai dan dipercayai. Umi tak kata yang Sha tak percayakan Fateh sebab umi tak tahu masalah kamu berdua, tapi kalau kamu dan Fateh saling memberi kepercayaan..."
"...hubungan ni akan kekal dengan izin Allah." Sambung Puan Halimah lagi.
"Kalau betul Fateh silap, jangan hukum dia. Dia suami, Sha. Dia bukannya tahap kawan yang Sha boleh sesuka hati maki atau buang dia dari hidup Sha. Dia suami kamu. Imam kamu. Pembimbing kamu dan anak-anak."
Raisha menekur lantai. Tubir matanya terasa panas.
"Dan kalau betul silap tu ada datang daripada Sha sendiri, Sha kena minta maaf pada Fateh. Tak berkat hidup seorang isteri andai suaminya tak meredai setiap apa yang isteri dia buat. Sha tak rasa rugi?"
Soalan itu membuatkan Raisha memandang wajah uminya kembali.
"Maksud umi?"
"Ya lah. Sha jaga solat, Sha selalu buat solat sunat, mengaji tapi hati suami sendiri Sha abaikan. Hebat macam mana pun kita, kita akan jadi insan yang paling kecil di hadapan suami. Bukan bermakna suami tu boleh bertindak sesuka-hati, tapi sebab dia suami. Taraf dia lagi tinggi daripada taraf isteri."
Sempit dada Raisha dibuatnya. Nasihat uminya benar-benar mencengkam jiwanya yang sedang bercampur-baur. Saat itu juga telefon pintar di atas riba berbunyi. Dia sempat menoleh ke arah uminya.
YOU ARE READING
𝐓𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚 𝐊𝐚𝐬𝐢𝐡, 𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 {𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍}
Short Story"𝘾𝙞𝙣𝙩𝙖 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙨𝙚𝙟𝙖𝙩𝙞 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙘𝙞𝙣𝙩𝙖 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙨𝙖𝙡𝙞𝙣𝙜 𝙢𝙚𝙡𝙚𝙣𝙜𝙠𝙖𝙥𝙞." - 𝒷𝓎 𝒜𝓈𝓊𝓃𝓃𝒶𝓇𝒶𝒶 Tuan Nuh Fateh | Raisha Tuan Nuh Fateh bin Tuan Faris. Lelaki yang dingin? Salah. Lelaki yang sombong? Salah. Lelaki ya...