Bab 38: Rindu [EDITED]

933 79 21
                                    

"ANAK ayah ni kenapa?"

Tersentak Iman di atas sejadahnya. Pantas dia menoleh dengan kepala yang masih bertutupkan telekung. Kelihatan seorang lelaki tua sedang menghampirinya dari muka pintu.

"Takda apalah, ayah," jawab Iman, tersenyum kelat.

Dia bermain dengan hujung kain telekungnya. Tak terasa ingin buka, lebih selesa begini. Dengan ekor mata, Iman perasan ayahnya sudah bersimpuh di sebelah.

"Mana boleh takda apa. Masa latihan tadi, separuh rutin pun Iman tak dapat buat dengan Cahaya." Laju Tok Guru itu menukas kekata anaknya.

Tersentak Iman langsung mengetap bibir sendiri. Tertunduk kepalanya memikirkan apa yang dicakap ayah itu adalah benar. Kesian Cahaya yang terpaksa mengulangi benda sama, sedangkan gadis atlet wushu itu juga sudah mahir rutin awal.

Melihat anak itu kekal diam, hati tuanya mengeluh kecil. Sungguh, dia tak berniat pun nak garang sangat tadi. Dia sendiri sedar keadaan anaknya yang tak berapa stabil. Sejak kebelakangan ini, Iman agak diam dan kerap memencilkan diri.

Mata tuanya merenung segenap wajah Iman yang manis bertelekung itu namun kelihatan kosong. Sedari tadi dia perasan anak sulungnya ini asyik termenung.

"Kalau Iman ada masalah, cakap dengan ayah. Jangan simpan macam ini, tak elok," pujuk lelaki tua itu sangat risau. Sedangkan belon pun boleh meletup jika diisi angin tanpa henti, inikan pula hati?

Iman tersenyum sayu masih tertunduk. Jejari kecilnya galak menari di muka lembut sejadah biru itu. Kalau Iman luah pun siapa yang boleh faham, ayah?

"Kalau Iman tak nak cerita pun takpa, ayah tak paksa. Cuma janganlah pendam perasaan tu, ayah tak suka."

Iman langsung membeku. Matanya terasa pedih dan hangat pula semerta. 

"Salah Iman ke, ayah?" Iman bersuara lemah sedikit bergetar.

Tergamam lelaki itu sesaat. Mendengarkan pula esakan anak daranya bertambah gundah hati tua itu.

"Iman tak minta benda tu jadi tapi dia jadi juga. Iman tahu semua tu takdir tapi susah ayah Iman nak redha. Lepas satu, satu datang. Iman penatlah, ayah."

Iman melirih dengan bahu sedikit terhinjut dek menahan esakan. Menyedihkan. Iman sedar akan hakikat dia kedengaran menyedihkan.

Tok Guru itu sekadar menghela nafas kecil. Kepalanya bersongkok tersebut ditanggalkan, lantas jarak mereka dikecilkan.

"Iman..." panggilnya, meraih bahu gadis itu lalu mengusap lembut.

"Ayah bagi kamu nama 'Iman' bukan saja-saja," bicaranya membuatkan esakan Iman terhenti.

"'Iman' bagi ayah maksudnya kepercayaan, kesetiaan, keyakinan kita kepada Allah. Percaya dengan rancangan Allah, setia dan tidak mudah berpaling walaupun rancanganNya tak masuk akal dan yakin — walaupun sakit tetap yakin bahawa rancangan Dialah yang terbaik."

Dia menarik nafas sesaat dan senyuman kecil diukir. Tangan kekar itu mula membelai kepala anak daranya yang bertelekung.

"Dan ayah harap... anak yang ayah letak nama Iman ni, dapat jadi macam apa yang ayah cakap tadi."

ιиgαткαи ∂ια [яυdyмαη] - REWRITE PROCESSWhere stories live. Discover now