"Mama nak Abang pindah duduk rumah sendiri.” Tiba-tiba Puan Mastura menyusul dengan cadangannya. Arman menoleh.
“Mama macam halau Abang aje. Kenapa ni?” soal Arman semula. Puan Mastura senyum.
“Jawapan klisenya,mama nak Abang dan Lia berdikari.” Mendengarnya,Arman turun dari sofa dan duduk di lantai sambil memautkan sikunya di atas lutut mamanya.
“Mama,selama nipun Abang memang berdikari. So,tak timbul pun soal tu. Abang tak nak tinggalkan mama sorang-sorang kat rumah ni. Abang nak jaga mama. Kalau Abang dah pindah,Abang dah...”
“Kalau Abang pindah pun,Abang tetap boleh jaga mama. Bukannya Abang tak pernah duduk rumah sendiri. Kalau Abang busy,balik lambat,Abang akan tidur sana juga. Kita tetap akan jumpa juga hari-hari kan? Kalau tak pagi time breakfast,Abang akan balik petang untuk makan malam bersama. Lepas tu tidur sini. Sama juga kan?” pintas Puan Mastura lembut.
“Tak sama. Kalau Abang dah duduk rumah sendiri,Abang dah tak boleh balik sini hari-hari macam selalu. Lain la,mama.” bantah Arman tidak bersetuju.
“Abang...”
“Abang tak nak. Abang tak nak tinggal mama.” pintas Arman pula.
“Abang kena fikirkan Lia juga.”
“Lia okey la mama. Dia tak kisah pun tinggal sini. Abang ada,kan…” jawab Arman masih cuba berdalih. Puan Mastura mendengus perlahan sambil mengusap rambut anaknya itu.
“Abang,sekarang ni Abang dah jadi suami orang. Tanggungjawab Abang besar pada dia. Bukan pada mama saja tapi pada isteri juga. Macam mana Abang nak jadi suami kalau asyik berkepit dengan mama saja? Macam mana Abang nak rasa tanggungjawab sebenar seorang suami? Hidup berdua layari bahtera rumahtangga. Hadap masalah dan settle sama-sama. Macam mana?” Nasihat Puan Mastura,Arman balas dengan berdiam.
“Abang kena bagi peluang pada diri sendiri dan juga Lia. Biar dia rasa macam mana jadi isteri orang. Biar dia belajar manage rumahtangga dia,masak apa yang dia suka untuk suami dia,kemas rumah ikut selera dia,beli barang dapur ikut kehendak dia. Biar dia belajar plan semua tu. Bagi ruang pada dia jaga Abang dengan cara dia sendiri. Faham tak?” sambung Puan Mastura lagi dengan kelembutannya memberi nasihat seperti selalunya.
“Tapi mama,kat sini pun...”
“Mama nampak Lia tu tak selesa tinggal sini. Maksud mama,dia malu. Dia nak buat apa-apapun dia takut. Nak bergurau dengan Abang pun dia tak selesa. Sebab apa? Sebab ni bukan rumah dia. Sebab mama ada.” pintas Puan Mastura cuba mematikan penolakan anaknya itu. Arman terdiam. Sepertinya dia tidak dapat lagi mencari alasan untuk tidak tinggal berasingan dengan mamanya.
“Abang dengan Lia tu baru aje kenal,terus kahwin. Mama nampak dia tak selesa dengan Abang. Macam dia masih terkejut dengan perkahwinan ni. Bagi dia masa. Dia tak biasa. Mungkin Abang ni lelaki pertama yang sentuh dia. Sebab tu dia mudah terkejut bila Abang pegang dia. Shock. Kuat sangat kut renjatannya.” canda Puan Mastura di hujungnya. Arman terdiam dari dalam. Dia cuba mengukir senyum sekilas namun tidak mampu. Lebih baik dia terus berdiam tanpa perlu bersuara lagi,kerana dia takut untuk mendengar lebih banyak dari mamanya. Memang wanita itu juga sedar akan hal yang berlaku di antara dia dan Alia.
“Jadi mungkin dengan pindah duduk rumah sendiri,Abang dengan dia akan cepat serasi. Cepat mesra. Inilah masanya Abang cipta syurga Abang sendiri. Percayalah,mama buat ni untuk kebaikan Abang.” Arman tetap diam mendengarnya. Menyedari mungkin anaknya berkecil hati,Puan Mastura mengucup ubun-ubun Arman lalu mengusap bahunya.
“Hujung minggu Abang baliklah sini. Bukannya jauh mana pun.” sambungnya lagi menyudahkan. Arman mendongak memandangnya dan tersenyum kecil. Jauh di sudut hati, dia tidak mahu berpindah. Selain dari mahu terus menjaga mamanya,Arman juga takut untuk berpindah ke rumah sendiri kerana dia tahu, hubungannya dengan Alia akan semakin menjauh,bukan makin mendekat seperti yang mamanya fikirkan.
Arman naik ke bilik. Kelihatannya Alia baru sahaja menghabiskan bacaan Al-Qurannya. Arman berlalu ke bilik mandi untuk mencuci muka dan menggosok giginya sebelum disudahi dengan berwudhuk. Apabila dia keluar,Alia sudahpun berada di atas katil sambil bersandar di kepala katil. Arman berlalu ke almari dan mengenakan pelembap di wajahnya. Keadaan menyepi di antara mereka.
“Lusa kita pindah. Balik duduk rumah abang.” kata Arman memecah sunyi.
“Kenapa? Untuk apa?” soal Alia tanpa menoleh memandang suaminya.
“Kita dah kahwin.” jawab Arman ringkas. Kali ini Alia menoleh sedikit.
“Mama?” soalnya semula.
“Dia pun nak kita pindah. Hidup berdikari.” jawab Arman tanpa memandang Alia. Sepi seketika. Alia berfikir-fikir sendiri.
“Ke…mama tak suka saya tinggal sini?” soalnya meneka dalam samar. Arman menoleh.
“Mama suka apa yang abang suka.” Jawapan Arman buat Alia terdiam lagi. Alia tunduk meramas jari sendiri. Dia jadi resah. Arman berlalu ke katil dan duduk bersandar di kepala katil namun sedikit menjarak dari Alia.
“Kalau mama tahu...”
“Lia,please. Abang tak nak dengar tentang tu lagi. Boleh tak kita jangan cakap fasal tu lagi?” pintas Arman tidak mahu memulakan sesuatu yang setiap hari diungkitkan oleh isterinya itu. Malam ini dia penat dan tidak mahu membincangkan tentang perkara yang sama lagi.
“Mustahil.” jawab Alia ringkas. Arman diam.
“Benda tu dah melekat kat sini,sini,dan sini. Dah sebati dengan diri saya. Cuba awak bagitahu saya macam mana saya nak lupakan semua tu?” soal Alia kuat sambil meletakkan hujung jarinya bermula di kepalanya beralih ke dada kirinya dan berakhir di tengah ruang dadanya. Arman menoleh memandangnya.
“Abang dah cuba,Lia. Lia yang tak cuba. Lia biarkan diri Lia dikuasai perkara tu. Lia tak usaha...”
“Macam mana?” pintas Alia lebih kuat. Dia tidak mahu mendengar Arman berbalas bahasa dengannya. Yang dia mahukan adalah sebuah jawapan. Arman terdiam.
“Awak tak rasa apa yang saya rasa,Arman. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Dan yang awak tahu hanyalah bercakap. Hakikatnya awak tak tahu apa-apa.” kata Alia bersama getar suaranya. Dia merasakan adalah perlu untuk menyedarkan Arman tentang hakikat hidup yang ditanggungnya. Lelaki itu harus sentiasa diperingatkan tentang betapa payahnya untuk dia menjalani hidupnya saban hari. Hidup yang berbekalkan kemusnahan dan kehancuran. Hidup yang telah menghentikan masa depannya. Bukan dia mahu mengungkit tetapi dia mahu Arman sentiasa ingat siapa isterinya ini.
Arman yang diam terus merenung wajah Alia. Dia mahu terus menatap wajah polos itu sepuas hatinya. Dia mahu menenangkan dirinya sendiri dengan menatap wajah itu.“Mungkin ini satu sebab yang kukuh untuk kita pindah dari sini.” kata Arman menyimpulkan dan terus berbaring. Dia tidak mahu lagi bercakap soal itu. Tidak mahu menambah beban di hati sendiri,dan lebih tidak mahu menghancurkan hati isterinya itu. Gadis itu harus berhenti dari melakukan semua ini. Bukan mudah namun bukan ini caranya untuk menyelesaikan masalah. Bukan ini caranya untuk membuang luka di hati. Bukan mudah untuk pasrah,reda dan menerima takdir,tetapi bukan juga dengan cara mengungkit peristiwa lama setiap hari. Ia tidak akan mampu membasuh luka sendiri hanya dengan menyakitkan hati orang lain. Bagi Arman,Alia sedang menghukum dirinya sendiri tanpa dia sedari. Untuk malam ini,berdiam dan menamatkan semua ini adalah jalan terbaik bagi mereka.
🌷𝓒𝓲𝓴𝓝𝓸𝓻𝓒𝓲𝓷𝓽𝓪🌷
6 𝓜𝓪𝓻𝓬𝓱 21
YOU ARE READING
DIA ADA CINTA
General FictionNovel ini telah DITERBITKAN oleh Suara Hati Publication. Blurb: Seseorang telah memusnahkan seluruh jiwa raganya dan menghilang pergi tanpa bayangan. Tanpa berfikir baik buruknya, Alia mencari lelaki yang mampu menjadi galang gantinya. Dia bertemu d...