Ketukan di pintu biliknya mematikan lamunan Arman. Segera senyuman diukirkan untuk seraut wajah yang muncul di muka pintu. Arman tidak melepaskan pandangannya terhadap sekujur tubuh yang sedang berjalan ke arah mejanya itu. Sepasang kurung moden biru menyaluti tubuhnya itu,dan kerudung sedondon melengkapkan penampilannya pagi ini. Senyuman manis menjadi penghias kepada wajah ayunya itu. Jujur,Arman sentiasa mengagumi penampilan sopan pemilik senyuman itu.
“Assalamualaikum. Selamat pagi Big Boss aka Double B.” sapanya bersama suara yang lembut. Salamnya Arman jawab bersama senyuman.
“Teh panas ni saya belanja.” katanya lagi sambil meletakkan secawan teh Jasmin di atas meja Arman. Tanpa dipelawa,dia melabuhkan duduknya di hadapan Arman.
“Ini laporan untuk minggu ni dan saya bangga menjadi orang pertama yang menyerahkannya kepada Double B saya.” Arman mendengus tawa sambil menyambut fail laporan dari tangan wanita itu. Pandangannya dilepaskan seketika pada wajah ayu itu.
“Terima kasih Mem Manager. Nampaknya anugerah pekerja terbaik akan jadi milik awak lagi tahun ni. Tahniah Double M.” sambut Arman bersama senyumannya. Wanita itu tersenyum. Terasa lucu dengan gelaran Double M untuk Mem Manager itu.
“Mestilah,mana nak cari pekerja yang rajin,bijak,efisyen dan...cantik macam saya ni? Kat Malaysia ni,awak seorang aje tau yang ada pekerja macam saya.” Sekali lagi Arman mendengus tawa mendengarnya. Barisan gigi Arman yang tersusun kemas itu,ralit-ralit diperhatikannya. Sedikit sebanyak,hatinya terusik dengan ketampanan Arman.
“But wait,dari mana pula datangnya ‘Mem’ Manager tu? Saya ni Cik lagi tau?” soalnya menempelak kata-kata Arman tentang statusnya. Arman senyum.
“Macam tak biasa pulak. Dah bertahun kot saya panggil awak macam tu.”
“Yeah,dan dah bertahun saya tanya awak soalan yang sama. Saya ni ‘Puan’ kepada siapa?” balas wanita itu semula. Arman merenung wajahnya.
“Sayalah. Siapa lagi?” Wanita itu tersenyum. Ditatapnya wajah Arman.
“Dan dah bertahun juga awak bagi jawapan yang sama. Apa hasilnya?” Sepi. Mereka saling berpandangan. Hati Arman dipagut rasa celaru.
“Apa yang awak harapkan?” soal Arman sedikit perlahan. Sepi lagi.
“Good mor... Ohh...” Tiba-tiba kedengaran suara dari muka pintu Arman telah mematikan persoalan yang tidak pernah ada jawapan itu. Mereka menoleh ke arah suara itu. Sedikit riak kecewa terpancar di wajah yang berjambang rapi itu. Decitan kecil terbit dari bibirnya.
“Good job,Mem Manager. Once again.” katanya sambil menghulurkan fail laporan kepada Arman tetapi pandangan matanya ditujukan kepada wanita itu. Wanita itu ketawa.
“Itulah,siapa suruh lambat lagi? Tengok,tak fasal-fasal awak dah jadi orang ke dua yang hantar report kat Big Boss kita ni.” balas wanita itu kembali. Arman tersenyum.
“Mak ai,siap buatkan teh panas lagi tu? Baik punya bodek awak ya?” Wanita itu tersenyum sambil mengangkat kedua-dua bahu dan keningnya.
“Well,hidup ni kena bijak mengambil peluang Encik Irfan Hafizi.” katanya sambil bangun dari kerusinya dan berlalu ke muka pintu.
“Cik Amalina Qaisara,tengah hari ni lunch macam biasa ya?” sapa Irfan mesra. Wanita itu menoleh dan mengangguk. Dia membuka pintu.
“Err,Sara? Saya tak dapat join hari ni. Ada urusan lain. Sorry.” Wanita yang mesra dipanggil Sara itu tersenyum dan mengangguk. Sekejapan dia hilang dari balik pintu yang ditutup.
“Kau nak ke mana?” soal Irfan kehairanan kerana sudah bertahun,waktu makan tengah hari mereka selalunya dihabiskan bersama. Arman mendengus perlahan.
“Aku ada lunch date.” jawab Arman ringkas. Berkerut wajah Irfan. Dia tahu ada sesuatu di sebalik ‘jawapan’ Arman itu. Ada sesuatu yang dia mahu tahu.
“Dengan siapa? Client?” Arman menggeleng perlahan. Sepi. Arman memandang wajah sahabat baiknya itu. Wajah itu mahukan sebuah jawapan darinya.
“Bakal isteri aku.” Jawapan tanpa berselindung Arman,menerbitkan riak terkejut dari wajah Irfan. Mulutnya sedikit ternganga. Seribu pertanyaan juga terpampang di wajah itu. Arman menahan nafasnya. Dia tidak mahu menjawab soalan yang terbit dari riak wajah Irfan.
“Not now.” Jawapan tanpa soalan dari Arman,buat Irfan ‘sedar’ semula dari rasa terkejutnya. Dia merenung wajah Arman yang kelihatan resah tanpa senyuman itu. Wajah bakal pengantin seharusnya kaya dengan senyuman bahagia,apatah lagi apabila bercakap soal bakal isteri sendiri. Namun riak Arman tidak seperti sepatutnya.
“Yeah,aku pun rasa ‘not now’ juga. Takpe,aku akan sabar tunggu jawapannya.” kata Irfan perlahan bersama pandangan mata yang tepat ke wajah Arman. Sekali lagi Arman mendengus sambil mengangkat sekali keningnya.
“Lepas lunch,mungkin aku tak masuk office balik. Nak pergi shopping sikit. Apa-apa hal,kau handle la ya Encik Eksekutif Manager.” kata Arman serius. Irfan mengangguk perlahan.
“Shopping. Walaupun aku tak tahu hujung pangkal,tapi aku rasa hal kau dengan bakal isteri kau ni memang serius kan?” Soalan itu Arman jawab hanya dengan mengangkat kedua-dua keningnya. Irfan mengerti. Harus mengerti. Ini bukan masanya.
“Any thing?” soal Arman serius. Irfan berdehem lalu menggeleng.
“Okey,aku kerja dulu.” kata Irfan takut-takut sambil kedua-dua telunjuknya diarah ke muka pintu bilik Arman. Arman hanya mengangguk tanpa senyuman. Sekarang adalah waktu untuk dia bekerja. Sedikit waktu yang ada,akan digunakan sebaiknya. Irfan mengerti dan terus keluar. Arman terus membuka fail laporan milik Sara dan membacanya,namun baru dua muka surat yang dibacanya,otaknya berlari kepada wanita itu. Dia bersandar di kerusi empuknya sambil mendengus perlahan. Sekejapan nama wanita itu disebutnya. Arman meraup mukanya sendiri dan kembali fokus. Buat masa ini dia tidak mahu memikirkan apa-apa lagi kecuali soal dia dan perkahwinannya yang bakal berlangsung.
Arman menunggu di muka pintu restoran. Seketika,kelibat Alia muncul di hadapannya. Muncul tanpa sebarang sapaan. Pandangan matanya juga hanya sekilas ke wajah Arman. Seraut wajah yang hanya dihiasi calitan salap bibir warna merah jambu. Selain itu,ianya kelihatan polos tanpa solekan. Pada wajah itu juga,tiada senyuman yang menghiasinya. Tubuhnya hanya disaluti blaus polos dan celana denim. Selendangnya hanya dililit malas. Melihatkan wajah tanpa senyuman itu,telah mematikan mood Arman. Dia membenarkan Alia masuk terlebih dahulu sebelum mengambil tempat mereka berdua. Pesanan diambil dan keadaan kembali sepi. Suasana terasa janggal di antara mereka. Arman merenung seraut wajah polos Alia yang tetap ada serinya meski tiada solekan mewarnainya. Kulitnya putih bersih tanpa sebarang cela. Gadis itu tunduk sahaja. Arman memerhati bibirnya pula. Tiba-tiba Alia mendongak memandangnya dengan renungan serius.
“So?” soalan ringkas itu disoal serius oleh Alia. Arman merenungnya tanpa jawapan. Renungan itu buat Alya serba salah. Dia tunduk seketika.
“Kenapa awak nak kahwin dengan saya?” soal Alia semula.
“Bukan ke sepatutnya saya yang tanya soalan tu?” soal Arman sedikit menyindir.
“Awak dah tahu jawapan saya tapi sekarang ni saya nak tahu jawapan dari awak pula.” balas Alia semula. Arman masih lagi merenungnya.
“Tanggungjawab. Itu juga yang awak minta kan?” jawab Arman serius. Alia mahu membuka mulutnya tetapi Arman menahannya dengan mengangkat tangannya ke arah Alia.
“Kita di sini untuk bincang perkara lain,bukannya menyoal dan menjawab sesuatu yang kita dah sedia tahu. Tolong jangan buang masa.” Alia terdiam mendengar jawapan serius Arman. Arman menarik nafasnya dan menghembus perlahan.
“Kita akan berkahwin malah dalam masa tak sampai pun sebulan. Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas awak. Tapi dengan syarat.” Alia terkejut.
“Syarat?”
-cnc-
YOU ARE READING
DIA ADA CINTA
General FictionNovel ini telah DITERBITKAN oleh Suara Hati Publication. Blurb: Seseorang telah memusnahkan seluruh jiwa raganya dan menghilang pergi tanpa bayangan. Tanpa berfikir baik buruknya, Alia mencari lelaki yang mampu menjadi galang gantinya. Dia bertemu d...