Bab 4

263 4 0
                                    

Alia termenung di atas katilnya. Fikirannya ligat memproses segala syarat yang ditetapkan oleh Arman siang tadi. Kedengaran mudah di telinganya namun payah untuk dia menurutinya. Dia meletakkan tangan di dadanya. Cuba menahan perasaan. Fikirannya terganggu oleh bayangan seseorang. Bayangan yang menyakitkan. Dia merasakan dalam keadaan sekarang,Arman seharusnya tidak perlu meletakkan syarat-syarat seperti itu. Dia yang harus Arman dahulukan. Perasaannya yang mesti Arman utamakan. Bukan orang lain yang menjadi mangsa tetapi dirinya. Namun kenapa dia harus berkorban untuk orang lain sedangkan sebaliknya yang harus berlaku? Setitis air matanya gugur tanpa disedari.
Alia memejamkan matanya,cuba mengusir perit di hati. Cuba melapangkan minda dan mengosongkan hati. Dia tahu,Arman melakukannya demi kebaikan semua pihak. Terimbas semula wajah jejaka itu di ruang mindanya. Masih melekat setiap apa yang ada pada lelaki itu di matanya. Suara. Suara lelaki itu sedikit menggetarkan naluri mudanya. Arman memandangnya dengan wajah serius. Matanya tidak berkelip merenung mata Alia.

“Ya,syarat. Hanya jika awak bersetuju dengan syarat yang saya tetapkan,barulah kita akan berkahwin.” Alia terdiam mendengarnya.

“Saya rasa awak tak ada pilihan.” Ayat itu membuatkan hati Alia mendidih. Dirinya diletakkan di tempat orang yang terdesak. Maruahnya terasa dipijak-pijak. Namun,benarkah dia tiada pilihan? Tapi,ayat itu akan terus melekat di kepalanya sampai bila-bila.

“Bukan saya,tapi kita. So awak rasa awak ada pilihan?” Arman terdiam seketika mendengarnya. Dia menarik nafasnya sambil merenung tepat ke wajah Alia.

“Ada. Tapi saya memilih untuk berkahwin dengan awak bukan sebab saya tak ada pilihan tapi saya lakukan demi mama saya,dan itu jugalah yang akan kita bincangkan hari ni.” Alia sekali lagi terdiam. Otaknya berlari-lari memikirkan maksud Arman sebenarnya. Pelayan tiba di meja membawa makanan mereka.

“Kita makan dulu. Lepas tu baru cakap. Silakan.” kata Arman sedikit lembut dari sebelumnya walaupun bersama wajah yang masih serius. Alia diam dan terus makan. Terasa keadaan begitu janggal dan asing kerana tiada siapa yang bersuara. Sesekali Alia mencuri pandang ke wajah lelaki yang sedang fokus menjamah makanan tengah harinya. Sedikit rasa berbahang singgah di ruang dadanya. Dirasakan lelaki itu sedang  ‘menghinanya’ dengan syarat yang bakal didengarinya selepas ini. Seolah-olah dia sedang terdesak dan berada di tempat yang tiada pilihan untuk menolak. Ya,sesungguhnya dia sendiri yang terdesak dan sedang mendesak lelaki itu untuk menerimanya. Hanya dia. Itu yang membuatkannya penasaran.

Selepas menjamu selera,Arman memesan pemanis mulut untuk mereka. Aiskrim bersama buah-buahan campuran di dalamnya. Hanya satu,bukan dua.

“Silakan. Harap awak tak kisah share dengan saya. Sebab lepas ni pun kita memang akan share banyak benda bersama. This is the beginning.” Alia tersentak mendengarnya. Terasa lelaki ini sedang sengaja membakar hatinya. Sumpah dia memang ‘panas’ saat ini.

“Teruskan.” kata Alia tegas sambil merenung tepat ke wajah Arman. Arman mendengus perlahan lalu merapatkan tubuhnya ke meja.

“Mama saya tak boleh tahu tentang perkara ni. Apapun jadi,dia tak boleh tahu. Ini akan jadi rahsia kita sampai bila-bila. Faham?” Alia diam. Arman mengangguk.

“Saya anggap awak dah faham dan ‘faham’” ulang Arman lagi menegaskan.

“Ada apa-apa lagi?” soal Alia semula. Arman menatap wajah polos itu.

“Awak jangan anggap itu sebagai syarat. Anggap itu sebagai permintaan. Permintaan dari seorang lelaki yang sangat menyayangi ibunya. Permintaan dari bakal suami awak sendiri.” Alia terdiam. Jauh di sudut hatinya,dia menjadi celaru. Tidak tahu apa yang harus dirasainya.

“Saya sayangkan mama saya,Alia. Dia satu-satunya harta yang saya ada sekarang. Saya sanggup korbankan diri saya untuk dia. Untuk kebahagiaan dia,untuk sebuah senyuman dari dia. Saya harap awak faham.” Perlahan Alia mengangguk.

“Dia tanggungjawab saya dan awak juga akan jadi tanggungjawab saya. Saya harap awak tak ada masalah untuk ‘bekerjasama’ dengan mama saya nanti. Faham kan?” Sebagai orang yang berada di posisi ‘terdesak’,sekali lagi Alia mengangguk mengiyakan.

“Itu saja ke?” soal Alia semula bagai menyindir. Arman mendengus.

“Awak kena jadikan perkahwinan kita nanti sebagai sebuah perkahwinan yang normal. Sama macam pasangan lain. Awak kena tahu maksud perkahwinan tu apa. Siapa suami dan siapa pula isteri. Kaji dan fahami betul-betul soal nikah kahwin sebelum kita berkahwin. Awak faham kan?” soal Arman perlahan di hujungnya. Alia diam. Hatinya membengkak sekali lagi. Apa yang Arman harapkan dari perkahwinan ini? Apa yang Arman harapkan dari dia? Mereka bukan sesiapa untuk memberikan yang terbaik untuk perkahwinan mereka nanti. Bagi Alia,apa yang Arman minta adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Tidak akan ada ‘perkahwinan’ dari pernikahan mereka nanti. Tidak!

Alia membuka matanya semula bersama perkataan ‘tidak’ di bibirnya. Dia meraup mukanya dan bangun bersandar di kepala katil. Dia cuba mengatur hembusan nafasnya dengan tenang meskipun otaknya sedang bercelaru saat ini. Hatinya panas saat teringatkan kata-kata akhir dari Arman. Dadanya membara. Dia menggapai telefon bimbit dari meja sisinya. Sebaik membuka galeri dari telefon bimbitnya,dia menatap beberapa gambar yang terpampang di situ. Sakit hatinya kian sukar dikawal. Wajah lelaki itu telah membunuh kewarasannya. Kata-kata sayang yang tertulis pada gambar-gambar itu telah membakar hatinya. Sakit. Terlalu sakit. Dia memegang bawah perutnya. Setitis air matanya gugur jua. Dari situ,tangannya beralih ke dadanya,lehernya dan berakhir di bibirnya. Air mata tadi mengalir kian laju. Dia memeluk tubuhnya sendiri sambil melepas tangis. Mengenangkan lelaki itu membuatkan dia menggila. Arman. Wajah Arman sekali lagi muncul bersama aliran air matanya. Dia menekup mukanya dengan bantal dan melepas jeritan kecil. Sakit. Kian sakit. Sakit yang tiada penghujungnya.
Setelah sedikit reda,Alia ke bilik air mengambil wuduk. Dia menunaikan solat Isyak dan menyudahkannya dengan bacaan surah Yaasiin. Hatinya sedikit tenang walaupun air matanya masih lagi mengalir. Dia menatap cincin belah rotan berukir bungaan mawar di jarinya. Cincin itu pemberian Arman siang tadi. Bersama kekeliruan,dia menerima cincin itu untuk disarungkan ke jarinya. Untuk apa,dia juga tidak tahu.

“Ini cincin lamaran dari saya. Awak nak jadi isteri saya tak?” Ayat itu terbit dari mulut Arman bersama suara yang kedengaran sangat lembut dan romantis di telinga Alia.

“Kenapa?” Soalan itu besar maknanya buat Alia. Soalan yang mewakili semua persoalan di benaknya. Arman tersenyum kecil sambil mendekatkan wajahnya ke wajah Alia.

“Ini cincin tanda. Cincin lamaran dari saya untuk bakal isteri saya. Saya tak nak awak dirampas oleh orang lain. Saya dah chop. Got it?” Ayat itu membuatkan Alia penasaran. Dia memerah air matanya. Wajah lelaki itu melekat di ruang matanya. Sedikit sebanyak dia berasa dirinya berharga dan dihargai oleh lelaki itu.

“Jangan nanti awak terima pinangan orang lain pulak. Melepas saya nanti.” Gurauan kecil Arman itu menerbitkan senyuman pilu dari ulas bibir Alia. Dalam keseriusan lelaki itu,masih ada sifat humor di dalamnya. Namun air mata Alia tetap juga mengalir. Dia begitu celaru. Siapa dia untuk lelaki lain merampasnya dari Arman? Masih punya hargakah dirinya? Masih adakah yang mahukan dirinya? Adakah lelaki lain yang sanggup menerimanya selain Arman? Tidak. Tidak lagi. Tiba-tiba gurauan Arman bertukar menjadi sesuatu yang cukup untuk memanaskan hatinya semula. Arman telah menyindirnya. Ya,itu yang sebenarnya!

-cnc-

DIA ADA CINTAWhere stories live. Discover now