Bab 15

237 1 0
                                    

Alia turun ke tingkat bawah setelah mandi dan menukar pakaiannya. Pagi tadi Arman tidak mengejutkannya untuk solat Subuh,jauh sekali untuk mereka berjemaah bersama. Mungkin kerana Arman tidak mahu mengganggunya lantaran malam tadi juga dia telah mengusir lelaki itu keluar dari biliknya. Dia tahu dia bersalah namun dia tidak mahu merasa bersalah. Apatah lagi untuk mengaku salah.

“Selamat pagi. Jom sarapan.” kata Arman yang sedang berdiri di sisi meja makan. Alia melihat semua hidangan di atas meja makan itu. Makanan dan air sudah sedia terhidang untuk mereka berdua. Patutlah,dia tidak nampak Arman di bilik tidur utama tadi.

“Sorry,abang beli je. Tak ada apa yang nak dimasak. Dapur tu dah lama kosong sebab abang jarang-jarang balik sini. Jemput duduk.” kata Arman bersopan. Alia yang kelaparan terus mengambil tempatnya berhadapan dengan Arman. Dia terus membuka bungkusan nasi di dalam pinggan di hadapannya.

“Makan buah dulu sebelum makan.” tegur Arman sambil menghulurkan buah tembikai susu yang siap dipotong itu kepada Alia. Perlahan Alia mengambilnya dan mula makan. Matanya tidak langsung ditujukan buat Arman.

“Abang tak tahu nak beli apa untuk Lia. Jadi standart famous breakfast Malaysia,abang beli teh tarik dengan nasi lemak aje. Buah ni pun dari paket yang dah siap dipotong.” kata Arman menerangkan tanpa dipinta. Alia tidak menjawab kerana bau nasi lemak sambal udang dan telur goreng itu cukup wangi dan menyelerakan. Hujung matanya melirik kepada kuih bingka dan pau goreng kacang merah di dalam pinggan kuih di hadapannya. Pau goreng itu adalah salah satu kuih kegemarannya. Mereka menjamu selera tanpa sepatah kata. Seolah-olah mereka makan bersendirian. Arman juga tidak mahu memulakan sesuatu yang mungkin akan membuatkan Alia naik marah dengannya. Usai makan,Alia bangun dan menyusun pinggan yang sudahpun kosong ke atas pinggan nasinya.

“Tak apa. Biar je kat situ. Nanti abang kemas.” kata Arman lembut. Alia tidak mempedulikan kata-kata Arman dan terus membawa semua pinggan kotor itu ke dapur lalu mencucinya. Dia kembali ke meja makan dan mengelap meja itu hingga bersih. Arman sudah tiada di situ. Setelah siap,Alia mencari kelibat Arman. Ternyata lelaki itu sedang menyapu halaman rumah yang cukup luas itu. Daun-daun kering dari pokok rhu yang gugur,Arman sapu dan kumpul sebelum memasukkannya ke dalam plastik hitam untuk dibuang nanti. Dari jauh Alia ralit melihat suaminya yang sudahpun berpeluh itu. Hati wanitanya sedikit terusik melihat susuk tubuh tegap lelaki itu. Arman kelihatan tampan walaupun percikan peluh membasahi pelipis dan dahinya. Tiba-tiba Arman menoleh dengan senyumannya. Alia terkejut dan terus masuk ke dalam rumah. Dia rasakan lantai marmar itu sudah sedikit berdebu. Tanpa berlengah,Alia mengambil penyapu dan mula menyapu seluruh lantai hinggalah ke dapur. Selepas itu dia mengemop seluruh lantai dan membersihkan karpet di ruang tamu dan ruang tonton. Arman yang telah siap membersikan halaman hadapan dan belakang rumah,masuk semula dan melihat Alia sedang membersihkan kabinet dapur. Tidak mahu menganggu,Arman ke ruang tamu mengelap pasu bunga dan sedikit perhiasan di sudut itu. Begitu juga di ruang tonton. Sedang dia mengelap rak kayu yang tertampal di dinding itu,Alia datang dan duduk di sofa. Arman menoleh namun mata Alia hanya terarah kepada barisan balang-balang kaca di atas rak-rak itu. Arman senyum. Dia mengelap salah satu balang di hadapannya sebelum mengeluarkan sebiji kacang hazel dari balang itu dan menghampiri Alia. Alia memandangnya. Arman menyua kacang itu ke mulut Alia bersama anggukan dan senyumannya. Alia kaku memandangnya namun untuk menerima suapan dari Arman,tidak sama sekali. Dia mengambil kacang itu dan terus berlalu. Arman mengeluh tanpa suara. Sukar sekali untuk ‘mendapatkan’ Alia sebagai seorang kawan apatah lagi untuk menjadi ‘isteri’ kepadanya. Sekali lagi Arman cuba untuk mengerti.

Setelah siap semuanya,Arman naik ke bilik. Kelihatannya Alia sudahpun menunaikan solat Zohor dan sekarang sedang mengenakan solekan di wajahnya. Arman masuk ke bilik mandi untuk mandi dan berwuduk sebelum menunaikan solat Zohor bersendirian. Setelah siap berdoa,dia menyidai semula sejadah di raknya sebelum berlalu ke sofa. Alia sudah siap bersolek. Solekan minima yang cukup untuk menyerikan wajahnya. Arman menatapnya dari hujung rambut ke hujung kaki. Blaus labuh warna biru gelap dipadankan dengan palazzo putih dan selendang yang terlilit di kepalanya juga dari gabungan warna putih berbunga biru gelap. Sangat cantik,labuh dan sopan.

“Lia nak keluar ke? Nak pergi mana?” soal Arman lembut. Alia bangun dan menyemburkan sedikit layangan minyak wangi ke tubuhnya.

“Kata semalam nak pergi beli barang dapur? Cepatlah.” jawabnya bersama pandangan mata yang sekilas ke arah Arman.

“Tak penat ke?” soal Arman semula. Soalan itu terbiar tanpa jawapan. Alia mengambil beg tangannya dan terus turun ke tingkat bawah. Arman tersenyum sendiri. Dalam marah Alia,isterinya itu masih tahu erti mengalah dan tanggungjawabnya. Sedikit kelegaan dan kegembiraan singgah di hatinya.
Setelah bersiap,dia turun ke tingkat bawah. Diperhatikannya lagi isterinya itu. Ada yang kurang di situ.

“Lia tak pakai stokin ke? Kaki tu aurat tau.” soal Arman bersopan. Alia mendengus perlahan lalu mengangkat sepasang stokin di tangannya ke arah Arman. Arman diam. Alia duduk di kerusi dan memakai stokin itu ke kakinya. Arman hanya memerhati kaki Alia yang putih bersih itu. Memang patut Alia mamakai stokin sebab kaki itu cukup cantik di matanya dan mungkin juga cantik di mata lelaki lain. Jadi,ia harus ditutup. Arman lega kerana Alia sentiasa tahu menjaga auratnya sebagai seorang muslimah.

Mereka tiba di pusat membeli belah yang besar di ibu negara. Arman terus membawa Alia ke pasar raya di tingkat bawah.

“Kalau ya pun awak excited nak shopping,awak bagilah saya makan dulu. Ni dah pukul 2.30 petang kot. Awak ingat saya tak ada perut ke?” Tiba-tiba Alia menegurnya dengan nada suara yang terang. Arman memandangnya. Alia menjelingnya dan mahu berlalu.

“Nak pergi mana?” soal Arman kehairanan.

“Makanlah. Apa lagi?” jawab Alia tegas.

“Tapi restoran kat sini je. Tu.” balas Arman sambil hujung jari telunjuknya menunjuk ke arah restoran di sebelah kanan mereka. Alia terdiam malu. Sungguh dia tidak perasan.

“Abang tahulah Lia excited nak makan,tapi takkanlah restoran sebesar ni pun Lia tak nampak?” kata Arman bergurau bagai mengulang kata-kata Alia padanya tadi. Alia menjelingnya.

“Shut up.” kata Alia menyudahkan. Arman menahan senyumnya. Mereka masuk ke dalam restoran yang turut menghidangkan nasi campur itu. Alia mengambil nasi putih dan beberapa jenis lauk bersama sayur. Sesudah itu,dia duduk berhadapan dengan Arman.

“Exoticnya selera. Lia makan semua ni?” soal Arman aneh setelah melihat sambal paru,hati ayam goreng,sedikit hati lembu masak kicap dan seekor ikan selar kuning bersama sayur bayam di dalam pinggan nasi isterinya. Alia menjelingnya lagi.

“Awak tak payah nak poyo sangatlah. Tekak saya,suka hati sayalah.” jawab Alia sedikit marah. Arman senyum.

“Organ dalaman ni tak elok dimakan. Jangan amalkan. Tak baik untuk system badan.” kata Arman menasihatkan. Baru sahaja Alia mahu menjawab, Arman sudah memintas.

“Abang tahu tu tekak Lia tapi abang cakap benda yang betul. Abang tak nak Lia sakit. Kesannya mungkin bukan sekarang tapi esok lusa kita tak tahu kan?” kata Arman menasihatkan. Alia terdiam namun dia terus makan bersama jelingannya kepada Arman. Dia juga tahu apa yang dikatakan Arman itu benar tetapi dia memang sukakan hidangan seperti itu terutama ketika perutnya lapar. Memang hidangan itu mampu menaikkan seleranya.

Setelah mengenyangkan perut masing-masing,mereka berehat seketika sebelum masuk ke pasar raya untuk membeli barang-barang basah seperti ayam,daging,makanan laut,sayur-sayuran dan buah-buahan. Juga semua jenis bawang,daun-daun rempah dan rempah-rempah segar yang lain seperti lengkuas,halia dan kunyit.

“Done untuk barang-barang basah. Lia tunggu sini. Abang pergi ambil satu lagi troli untuk barang-barang kering.” kata Arman bersama senyumannya. Alia hanya mengangguk. Arman kembali semula bersama troli kosong dan mereka mula mengisinya dengan pelbagai jenis sos,beberapa jenis beras dan kekacang,kicap-kicap, rempah ratus kering,santan kotak,pelbagai jenis susu,semua jenis tepung,beberapa jenis gula,kopi,serbuk coklat dan perisa minuman yang lain. Tidak ketinggalan juga beberapa jenis pasta dan banyak lagi. Cukup untuk memenuhkan troli kosong itu tadi.

“Lia nak apa-apa lagi?” soal Arman lembut. Alia hanya menggeleng.

“Kita minum petang dulu ya? Mm...untuk makan malam kita tapau je. Tentu Lia penat kalau nak kena balik masak nanti. Okey?” kata Arman kembali.

“Saya memang tak nak masak pun. Saya bukan orang gaji awak.” jawab Alia serius lalu menolak troli yang dipegangnya meninggalkan Arman di situ. Arman terdiam dari dalam. Apa lagi yang harus dia hadap selepas ini? Dia menghembus nafas melalui mulutnya dan beristighfar di dalam hati. Menyabarkan diri sendiri. Setelah tenang dia membontoti langkah Alia dengan menganggap tiada apa yang dia dengar dari Alia sebelumnya.

-cnc-

DIA ADA CINTAWhere stories live. Discover now