Arman melabuhkan duduknya di atas katil. Tidak lama muncul Alia dari bilik air bersama tuala kecil di tangannya. Sedang mengeringkan wajah basahnya yang baru dibersihkan itu. Setelah itu,Alia berlalu ke meja solek dan mengenakan rutin penjagaan wajahnya seperti biasa. Cuma kali ini set penjagaan wajahnya telah bertukar kepada jenama lain. Jenama dari dulang hantaran Arman buatnya. Mujur,set penjagaan kulit itu sesuai dengan kondisi kulitnya. Arman ralit melihat isterinya yang kini sedang menyapu jeli petroleum di tumit dan seluruh kakinya.
“Patutlah kaki Lia lembut. Rajin sapu Vaseline tu rupanya. Especially tumit tu. Macam telur dikupas.” Alia diam namun bersama hati yang panas. Dia merasakan Arman juga seperti lelaki lain yang sentiasa melepaskan pandangan berbaur nafsu terhadap wanita sepertinya. Dia tidak suka dilihat begitu oleh Arman. Alia mendengus dan bangun menyidai tuala mukanya di rak penyidai. Dia mengambil kardigan kapas dan menyarungkan di tubuhnya yang sudahpun terpasang baju T lengan labuh dan seluar panjang.
“Tak panas ke pakai banyak lapis?” Soalan Arman dibiar sepi. Alia berbaring di tilam membelakangi Arman. Perlahan dia menarik gebar tebal itu dan membaluti tubuhnya yang sedang mengerekot seperti bayi itu. Arman mendekatinya. Menyua wajahnya hampir kepada Alia. Tidak Alia pedulikan.
“Ke Lia takut abang apa-apakan Lia?” soal Arman separuh berbisik. Alia rimas. Dia bingkas bangun dan turun dari katil.
“Awak ni kenapa hah? Tak habis-habis lagi? Awak nak apa sebenarnya ni?” soal Alia dengan tona suara yang sedikit meninggi. Arman terdiam.
“Awak ingat awak boleh apa-apakan saya ke? Kalau awak berani awak buatlah, Arman. Jangan menyesal kalau apa-apa jadi kat awak nanti.” sambung Alia lagi masih dengan tona yang sama. Arman tetap diam memandang wajah Alia yang sedang marah itu.
“Dah banyak kali saya cakap, jangan kacau saya. Saya tak suka! Tak cukup lagi ke awak kacau saya masa depan mama awak? Sekarang ni kat dalam bilik ni pun awak nak menggatal jugak ke? Awak ni sama aje kan dengan dia? Dasar mata keranjang.” Arman sedikit tersentak dituduh seperti itu namun masih ada kesabaran di hatinya untuk setiap kata-kata Alia itu.
“Mungkin sebagai lelaki,kami ada persamaan tu,tapi abang tak kacau sesuatu yang tak halal untuk abang. Itu bezanya kami walaupun kami sama-sama lelaki.” jawab Arman lembut dan tenang sambil menatap sepasang mata Alia. Dia mengharapkan kelembutannya itu dapat menenangkan hati Alia walaupun sekelumit.
“Halal ke tak halal,saya tak suka awak kacau saya. Jangan buat saya fikir yang awak ni sama aje jahatnya dengan dia tu. Tak payah nak berlagak baik dan alim kalau nafsu tu tak mampu nak kawal. Lelaki tetap lelaki.” bantah Alia masih marah. Arman senyum.
“Sayang,kalau takutkan lelaki,jangan kahwin dengan lelaki.” sambut Arman tenang. Alia berkerut dengan jawapan Arman.
“Apa maksud awak ni hah?!” soal Alia lebih kuat. Arman senyum dan bersandar di kepala katil. Alia masih berdiri sambil merenung Arman dengan kemarahan di matanya.
“Lia ada nak pergi ke mana-mana tak? Cuti abang masih ada lima hari lagi. Kalau Lia nak pergi honeymoon,abang boleh...” Kata-kata Arman mati di situ apabila ianya dipintas oleh tawa sinis Alia yang sedang berpeluk tubuh sambil merenungnya.
“Honeymoon? Apa yang awak fikir ni,Arman? Awak tak sedar-sedar lagi ke? Masih lagi nak cuba menjadikan perkahwinan kita ni,macam perkahwinan orang lain? Ada honeymoon bagai. Macam tu?” Arman terus berdiam untuk nada sindiran Alia itu.
“Sudah-sudahlah tu. Kita ni tak macam pasangan lain. Nih! Saya nih yang tak macam perempuan lain. Tak macam isteri lain. Awak takkan dapat apa yang awak harapkan dari saya sebagai isteri awak. Saya rasa awak pun tahu tu,tapi awak masih berdegil. Awak nak apa sebenarnya ni? Hah?” sambung Alia lagi dengan nada marah di hujungnya.
“Abang cuma nak habiskan masa cuti abang dengan Lia.”
“Kalau setakat nak habiskan cuti tu,awak tak payah bawa saya pergi mana-mana la,Arman. Habiskan cuti tu dekat rumah ni pon boleh. Tak payah susah-susah habiskan duit awak tu untuk bawa saya pergi honeymoon. Lagipun nak honeymoon untuk apa? Nak hiburkan saya ke nak sedapkan awak?” Arman beristighfar di dalam hati. Dia rasa dia perlu berhenti. Bukan dia sakit hati namun dia tidak mahu Alia terus menyakitkan hatinya sendiri. Dia tidak mahu Alia terus menanggung dosa hanya kerana dia masih memanjangkan cerita. Arman menarik selimutnya dan berbaring di bantalnya. Alia terdiam sendiri. Hatinya sakit apabila Arman tidak lagi bersuara menjawab kata-katanya. Dia mahu Arman marah. Dia mahu Arman melawan. Dia mahu mereka bertengkar. Jika boleh,sepanjang malam juga tidak apa. Namun, Arman makin menyakitkan hatinya dengan berdiam diri.
“Tidurlah. Jangan takut. Abang tak akan jadi ‘suami’ Lia selagi Lia tak jadi ‘isteri’abang.” kata Arman menyudahkan dan terus mengundang lenanya sendiri. Dia juga sudah penat dan dia tahu Alia lebih penat. Alia mendengus keras,cuba melepas marahnya lagi,namun melihatkan Arman yang sudahpun mendiamkan diri,dia tidak mampu lagi. Dia duduk di birai katil sambil bertongkat wajahnya dengan kedua-dua tapak tangannya.
‘Ini bukan aku. Kenapa dengan aku?’ bisik Alia di dalam hatinya. Dia meraup wajahnya sambil cuba memerah air matanya yang tiada di situ. Dia merasa perit namun dia tidak mampu menangis. Dia ingin sekali menangis,namun dia tidak mampu dan itu jauh lebih menyakitkan. Alia kembali berbaring di bantalnya dengan membelakangi Arman. Suaminya itu walaupn marah atau kecewa,tetap berbaring mengadap ke arahnya,namun Alia tidak suka. Dia tidak suka Arman berada di situ bersamanya. Dia mahu mereka saling membelakangi. Alia menarik selimutnya dan digenggam erat membaluti tubuhnya. Sedaya upaya dia cuba memejamkan mata dan mengusir segala bayangan yang menghantuinya saban malam. Jenuh dia menahan rasa takut kerana lelaki yang berada di sisinya ini juga seorang ‘lelaki’. Bersama Syahadah,Selawat dan Basmallah,Alia melenakan dirinya dengan meyakinkan hatinya bahawa tiada apa yang akan berlaku antara dia dan Arman.Lewat tengah malam,Arman terjaga dari lenanya apabila terdengar suara Alia yang kedengaran seperti sedang menangis. Arman bangun sedikit untuk memastikannya. Dari ruang yang samar,Arman melihat wajah Alia sedang berkerut ketakutan. Mulutnya terkumat kamit sedang menyebut sesuatu yang masih tidak jelas di telinga Arman. Arman mendekatinya. Cuba memasang telinga.
“Awak...pergi mana...?” Terdengar perlahan suara Alia yang mendesah diiringi riak wajah yang juga resah. Peluh dingin merenik di dahinya.
“Kenapa...jangan...jangan tinggal....saya...” Terdengar lagi suara Alia yang merintih itu.
“Tolong saya...jangan...saya takut...” Arman membetulkan posisinya. Dia memberanikan diri memegang bahu Alia.
“Lia? Bangun Lia.” kejut Arman lembut perlahan. Namun wajah Alia tetap juga berkerut ketakutan bersama kata-kata yang sama masih meniti di bibirnya.
“Jangan tinggal saya...jangan...buat saya...macamni...saya...”
“Lia,bangun sayang. Bangun.” kata Arman sambil menggoyangkan bahu Alia dengan lebih kuat. Sebelah lagi tangannya mengelap peluh di dahi Alia. Namun suara Alia makin jelas kedengaran menyebut perkara yang sama berulang kali. Wajahnya makin takut dan resah. Arman menggoyangkan tubuh Alia lebih kuat sambil memanggil nama Alia.
“Awak! Jangan!” Tiba-tiba Alia tersedar dari mimpinya. Arman membuka lampu sisi.
“Lia,are you okay? Mimpi ya?” soal Arman risau. Alia bernafas melalui mulutnya dengan wajah yang masih takut. Arman pegang kedua-dua bahunya. Alia memandangnya dan untuk seketika mereka saling berpandangan bersama ketakutan di mata Alia. Bagaikan tersedar, Alia melepaskan tubuhnya dari pegangan Arman. Arman angkat tangannya tanda faham. Dia tahu apa yang Alia mimpikan dan itu sangat menekan perasaannya.
🌷𝓒𝓲𝓴𝓝𝓸𝓻𝓒𝓲𝓷𝓽𝓪🌷
6 𝓜𝓪𝓻𝓬𝓱 21
YOU ARE READING
DIA ADA CINTA
General FictionNovel ini telah DITERBITKAN oleh Suara Hati Publication. Blurb: Seseorang telah memusnahkan seluruh jiwa raganya dan menghilang pergi tanpa bayangan. Tanpa berfikir baik buruknya, Alia mencari lelaki yang mampu menjadi galang gantinya. Dia bertemu d...