Arman terus merenung ke luar. Melihat ke langit malam dari balkoni bilik tidurnya. Fikirannya menerewang memikirkan apa yang berlaku beberapa hari yang lalu. Masih terbayang wajah yang datang bertandang tanpa diundang ke ruang kerjanya. Masih terdengar setiap apa yang dikatakan gadis itu untuk halwa telinganya dan itu yang menyakitkannya. Sukar untuk dia mempercayainya tetapi lebih sukar untuk dia menafikannya. Dia tidak fikir gadis itu berbohong,jauh sekali untuk mengambil kesempatan ke atas dirinya ataupun kedudukannya. Ianya adalah kebenaran dan kebenaran itulah yang memamah hatinya.
Dalam beberapa hari ini,setiap malam Arman meminta petunjuk melalui Istikharahnya agar Allah membantunya untuk membuat keputusan dan dia telah mendapat jawapannya. Jauh di sudut hatinya,dia merasa bersyukur walaupun bukan itu yang dia mahukan. Mungkin inilah jalan terbaik dan ini jugalah takdir untuknya. Dia melapangkan dadanya. Mengosongkan fikirannya dan menghembuskan nafas kelegaannya. Langkah diatur ke tingkat bawah menemui insan terpenting dalam hidupnya. Dia berhenti seketika,cuba menyusun ayat terbaik untuk pendengaran wanita itu. Ya,dia sudah mendapat keberaniannya.“Mama?” panggilnya bersama suara yang sedap didengar, seperti kebiasaannya. Wanita yang sedang ralit membaca buku di sofa solonya itu,mendongak memandang Arman bersama senyuman manis di bibirnya. Pandangan matanya menghantar isyarat bertanya semula. Arman senyum dan melabuhkan duduk di hadapan mamanya. Sepi seketika.
“Abang nak kahwin,mama.” Sepi. Tiada sebarang reaksi dari mamanya,jauh sekali sebarang suara yang mengiringi. Yang ada hanyalah pandangan mata yang kaku di wajah anak sulungnya itu. Arman tunduk seketika. Dia tahu mamanya terkejut,apatah lagi selama ini wanita itu tahu dia tidak punya sesiapa untuk dikahwini.
“Abang nak kahwin. Abang nak kahwin,mama.” katanya sambil memandang tepat ke anak mata wanita itu. Wanita itu menutup buku di tangannya. Cermin matanya ditolak sedikit ke atas tulang hidungnya. Dia merenung anak kesayangannya itu bagai mencari kepastian.
“Mama tak salah dengar kan?” soalnya lembut sedikit ragu. Arman terus menggeleng. Perlahan-lahan senyuman terukir di bibir wanita berusia 54 tahun itu. Sesaat dua,senyuman itu bertukar menjadi sebuah senyuman yang lebar. Senyuman gembira.
“Alhamdulillah. Akhirnya anak mama ni nak juga kahwin. Syukur.” ucapnya sambil meraup wajahnya. Arman tersenyum tipis.
“Mama izinkan Abang kahwin?” soal Arman semula. Wanita itu senyum lagi.
“Mestilah mama izinkan. Patutnya dah lama Abang kahwin.” Arman tersenyum lebar.
“Terima kasih,mama.” ucap Arman sambil mencium tangan mamanya. Wanita itu mengangguk lalu mencium kepala anaknya.
“So,bila nak langsung?” Arman berkerut kecil mendengarnya.
“Cepatnya? Terus nak langsung?”
“Habis tu,nak simpan sampai bila? Tadi kata nak kahwin kan?” soal mamanya kehairanan. Arman mengukir senyum sambil menggeleng kecil.
“Memanglah nak kahwin cepat tapi takkanlah tak payah merisik dan bertunang dulu? Kahwin…kahwin juga tapi adat kita kena ikut mama. Dia tu anak dara orang tau?” Wanita itu melepas tawanya. Ya,dia sendiri sudah terlupa dek keterujaannya mahu menerima menantu.
“Hujung minggu ni kita pergi rumah parents dia ya? Kita merisik dan bertunang je terus. Hujung bulan ni,kita langsung. Sempat kan mama?”
“Amboi,lajunya? Dah tak sabar-sabar pula dia ya?” usik mamanya semula. Arman mengangkat sebelah keningnya. Hairan.
“Hai,bukan ke mama yang tak sabar nak menantu tadi?” Wanita itu melepas tawa kecil.
“Mestilah. Nanti mama akan dapat ‘kawan’ baru. Jangan jealous ya?” Arman mendengus tawa mendengar usikan mamanya. Wanita itu mengelus perlahan tangan anaknya.
“Seronoknya mama. Tak sangka diam-diam Abang dah ada calon. Senyap-senyap dia bercinta belakang mama. Curang dengan mama,ya?” Arman tersenyum tipis mendengar perkataan ‘bercinta’ itu. Terasa perkataan itu cukup asing baginya.
“Tapi kenapa tak bawa dia datang rumah jumpa mama? Ni tup-tup dah nak kahwin?” Arman mendengus perlahan bersama perasaan yang hanya dia saja tahu.
“Abang nak mama kenal dia dengan keluarga dia sekali. Sebab dalam perkahwinan ni,Abang bukan kahwin dengan dia saja tapi dengan family dia juga. Samalah dengan dia. Kalau Abang just bawa dia balik,mama hanya kenal dia seorang saja. Tapi kalau kita pergi rumah family dia,mama bukan saja dapat kenal dia,tapi dengan keluarga dia sekali. Mama dapat menilai secara langsung peribadi dan kehidupan mereka sekeluarga. Then,kalau mama suka,baru kita proceed. Mama faham kan?” Mamanya tersenyum dan mengangguk.
“Okeylah mama,Abang naik atas dulu. Nak kena tidur awal. Esok abang kena pergi Nilai. Good night,Ma. I love you.” kata Arman mahu mengakhiri.
“I love you too,sayang. Good night.” Arman menyalami mamanya dan terus naik ke biliknya. Terasa kelegaan menyelimuti hatinya saat ini,namun memikirkan masa depan yang entah bagaimana kesudahannya,Arman jadi takut. Dia sedar,dia sedang mempertaruhkan hidupnya sendiri. Keputusan yang diambil ini,dilakukan demi kebahagiaan semua orang.
Arman berlalu ke balkoni. Sekali lagi merenung ke langit malam. Terasa kosong di situ. Fikirannya kembali kepada setiap perbualannya dengan gadis itu. Hatinya sarat serta merta. Namun,saat teringatkan wajah gadis itu,hatinya pasti dengan keputusan yang telah dibuatnya. Ya,dia juga mahukan perkahwinan ini terjadi. Apapun yang ditakdirkan di kemudian hari,dia sudah bersedia. Ya,dia harus bersedia. Arman melepas nafas reda. Dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Setelah mendail nombor yang dimaksudkan,sekejapan panggilannya dijawab perlahan.
“Saya dah buat keputusan.” kata Arman perlahan. Sepi.
“Kita kahwin.” Sepi lagi. Arman meyakinkan hatinya sendiri tentang keputusannya.
“Saya akan kahwin dengan awak.” Sepi juga. Arman membiarkan.
“Bila?” Setelah seketika,suara gadis itu kedengaran perlahan di telinganya.
“Hujung bulan ni. Lagi tiga minggu.”
“Mm’” Sepi semula. Arman menarik nafasnya. Mencari kekuatan.
“Hujung minggu ni,kita jumpa rumah parents awak. Saya dan mama akan ke sana. Kita merisik dan bertunang terus. Okey?”
“Perlu ke awak merisik dan kita bertunang?” soal gadis itu perlahan namun kedengaran tegas di cuping Arman.
“Apa yang membuatkan awak rasa tak perlu semua tu? This is our first time,tak kira siapapun awak,saya atau kita. Kita kena ikut cara yang betul. Jangan lupa kita ada keluarga.” Jawapan Arman membuatkan gadis itu menyepi lagi. Arman membiarkan.
“Mm’.” Akhirnya jawapan ringkas dan kedengaran dingin di telinganya membuatkan Arman penasaran. Seolah-olah dia sedang mendesak gadis itu agar mereka berkahwin.
“Tapi sebelum tu saya nak jumpa awak dulu. Ada hal yang saya nak bincangkan. Penting.”
“Bila?” Sekali lagi Arman hanya mendengar jawapan ringkas darinya. Arman meraup mukanya bersama dengusan perlahan.“Esok. At lunch.”
“Mm’.” Arman menarik dalam nafasnya untuk kedinginan perbualan mereka yang tidak pernah ada surutnya. Sedikit rasa bosan menyapa hatinya. Tiba-tiba kedengaran suara mamanya bersama ketukan perlahan di pintu biliknya. Arman segera menamatkan perbualan.
“Maaf ganggu,tapi mama lupa nak tanya. Siapa nama dia?” Arman tersenyum nipis untuk soalan mamanya itu.
“Nur Alia Khadijah.”
-cnc-
YOU ARE READING
DIA ADA CINTA
General FictionNovel ini telah DITERBITKAN oleh Suara Hati Publication. Blurb: Seseorang telah memusnahkan seluruh jiwa raganya dan menghilang pergi tanpa bayangan. Tanpa berfikir baik buruknya, Alia mencari lelaki yang mampu menjadi galang gantinya. Dia bertemu d...