Arman masuk ke bilik. Kelihatannya Alia sedang berbaring di atas sofa bersama majalah di tangannya. Sebaik melihat Arman,Alia terus membelakanginya. Arman masuk ke bilik persalinan dan selepas menukar pakaiannya,dia langsung ke bilik mandi. Dia mandi dan berwuduk. Setelah siap berpakaian,dia berlalu ke sudut bilik. Alia masih lagi berbaring di situ. Jika boleh dia tidak mahu berada di bilik ini tetapi dia tidak mahu mengganggu Dina yang sedang berehat di biliknya.
“Lia dah solat Zohor?” soal Arman lembut. Sepi. Tiada jawapan. Arman mendengus perlahan dan mula bersolat tanpa kehadiran Alia seperti biasa. Usai solat dan berdoa,Arman menukar semula kurta dan sarungnya kepada seluar panjang dan kemeja T lengan pendek di tubuhnya. Alia melirik sedikit melihat Arman dari ekor matanya. Tubuh tegap itu kelihatan lebih segak dengan pakaian ringkas seperti itu. Apabila Arman menoleh,dia pura-pura membaca semula.
“Jom turun,temankan abang masak. Lia tolong potong-potong je. Yang lain biar abang yang buat.” kata Arman sambil melabuhkan duduknya di sisi sofa. Alia bingkas bangun.
“Kenapa nak kena ajak saya? Selama ni bukan ke awak yang masak? Awak ni memang…”
Kata-kata Alia mati di situ apabila terdengar ketukan di pintu biliknya. Arman memandangnya dengan wajah serius.“Abang tahu Lia benci abang tapi tolong hormat abang dan buat abang macam suami. Tolong jaga maruah abang,at least depan orang. Tu je yang abang ada sekarang.” kata Arman lalu berlalu ke pintu bilik. Dia menyapa Dina dan terus turun ke dapur. Alia terdiam di situ buat seketika. Entah kenapa teguran Arman buat dia sedar bahawa lelaki itu harus dihormati bukan sahaja di hadapan ibu mertuanya,malah di hadapan orang lain juga,termasuklah Dina. Namun mampukah dia bertahan dan berpura-pura bahagia di hadapan Dina semata-mata untuk menjaga maruah Arman? Mungkin dia harus mencuba.
Selepas makan tengah hari yang agak lewat itu,Arman terus naik ke biliknya semula untuk berehat. Dia penat dan akan lebih penat andai terus bersama Alia di tingkat bawah. Dia harus berehat untuk menenangkan hati dan fikirannya. Alia dan Dina masih bersantai di ruang tonton. Mata Alia melekat di kaca TV namun fikirannya menerewang memikirkan kata-kata Arman tadi. Ya,sekurang-kurangnya dia harus menghormati Arman di hadapan orang lain. Seharusnya hal rumahtangganya tidak ditunjukkan kepada orang lain. Ya,sedikit rasa kesal singgah di hatinya. Dina menoleh memandangnya.
“Ayah aku cakap,kalau kita tak bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi pada kita,tu tandanya kita ni hamba-NYA yang alpa,yang rugi,yang kufur dan mungkin yang berdosa. Allah akan tarik balik nikmat tu dari kita. Kau nak ke nama kau tergolong dalam golongan tu?” kata Dina memulakan. Terus menuju kepada maksud tersirat di hatinya.
“Apa maksud kau ni?” soal Alia kembali.
“Kau dapat seorang suami yang baik. Tapi kau tak hargai kebaikan dia. Tu maknanya kau tak bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi.” jawab Dina serius. Alia diam.
“Tengoklah,tiba-tiba aje kau kahwin dengan orang kaya,duduk banglo mewah macam ni. Makan pakai semua cukup. Duit belanja kau berkepuk dalam poket. Siap ada kereta lagi. Suami pulak sayang dan layan kau dengan baik. Orang lain hanya mampu bermimpi je nak dapat semua ni. Tapi kau…aku tak nampak pun yang kau bersyukur.” sambung Dina lagi mahu menyedarkan Alia tentang apa yang terhidang di depan matanya tetapi sahabatnya itu bagai tidak menyedarinya. Alia diam lagi.
“Kenapa kau nak korbankan dia kerana perbuatan orang lain? Bukan salah dia,Lia. Dia baik. Aku kat rumah ni tak sampaipun 24 jam tapi aku tahu dia suami yang baik. Aku rasa kau pun tahu tu.” sambung Dina lagi. Alia diam. Ya,dia tahu itu tapi…
“Dengan kau menyeksa dia,kau tak sedar yang kau dah seksa diri kau sendiri. Sebab apa? Sebab dia baik,Lia. Baik sangat. Jangan hukum orang yang salah. Orang kahwin untuk tujuan murni tapi kau kahwin sebab dendam. Gila.” Dina terus berkata-kata,mengharapkan Alia sedar tentang kesilapannya. Alia tunduk. Berfikir sendiri.
“Kau nak seksa dia tapi kau tak sedar yang kau dah seksa diri kau sendiri. Makin kau sakiti dia,makin kau sendiri sakit hati. Makin kau jauhkan diri,makin kau dekat dengan dia. Makin kau lawan,makin kau sayang. Kau sedar tak? Sebab kau tahu dia suami yang baik. Dia sayang kau,ambil berat fasal kau,terima kau seadanya. Dia cuba bagi kau semangat untuk teruskan hidup. Dia tak pernah ambil kesempatan ke atas kau atau gunakan kau walaupun dia mampu buat macam tu. Aku nampak dia sayang kau,hormat kau dan jaga kau dengan baik. Apa lagi yang kau nak?” Kali ini Alia menoleh memandang Dina. Dia mencari kebenaran di mata Dina dan Dina mengangguk yakin untuk setiap kata-katanya.
“Kalau kau kahwin dengan dia tu dulu,belum tentu kau dapat semua ni dari dia. Awal-awal lagi dah jadi syaitan,kalau dah kahwin tak tahulah jadi apa lagi. Kau patut bersyukur tau dapat Arman tu. Ni tak,kau memberontak tak habis-habis. Lepaskan pada dia. Kalau aku dah lama aku blah. Tak kuasa aku orang asyik tuding jari kat aku padahal bukan aku yang buat. Kau tak payah nak jadi si pembakar kelambu kalau nyamuk tu yang bersalah. Ambik Ridsect tu spray,bukannya pergi bakar kelambu yang boleh membakar rumah kau sekali. Tu kerja bodoh namanya.” Alia tersenyum sekilas. Ditatapnya sahaja wajah Dina.
“Dah-dah la Lia. Hidup ni kena bersyukur. Kau kena bersyukur dapat Arman sebagai suami. Memang niat asal kau lain tapi tengoklah,Allah tu Maha Kaya. Dia temukan dan jodohkan kau dengan lelaki yang sedang membela nasib kau sekarang ni. Hakikatnya kau tak salah pilih orang. Mungkin cara ni satu percaturan atau perjudian bagi kau tapi kau bernasib baik, sebab dia baik. Cuba kalau Arman tu sama macam dia tu,aku rasa dah lama kau jadi mayat.” Bersyukur. Perkataan itu diulang dengar di telinganya sejak tadi. Dia bertanya pada diri sendiri,adakah dia tidak pernah bersyukur dapat menjadi isteri Arman? Tidak,dia tidak tahu jawapannya. Dia sudah tidak tahu bagaimana untuk merasa bersyukur dan mensyukuri. Yang dia tahu hanyalah dendam dan Arman harus menerimanya.
“Well…aku penat tau nak bagi khutbah panjang-panjang kat kau. Aku cuma boleh bagi nasihat seikhlas mungkin tapi end of the day,ia terpulang pada diri kau sendiri. Kadang-kadang kau ni senyap je. Macam faham,hadam dan terima nasihat aku tapi lastly hampeh jugak. Tak ada apapun yang berubah. Tapi takpelah,dah bahagian aku dapat kawan macam kau kan... Terima jelah.” leret Dina di sana sini. Alia kembali menoleh memandangnya. Ditatapnya wajah Dina. Wajah yang telah menjadi peneman setianya selama hampir 23 tahun ini. Wajah yang sentiasa ada di saat susah dan senangnya. Wajah yang selalu ikhlas menasihatinya. Yang gembira andai dia bahagia. Yang turut menangis andai dia berduka. Wajah yang akan selalu menyokongnya dan membantunya. Wajah yang begitu ikhlas menyayangi dan menerima dia seadanya. Dia pegang tangan Dina.
“Dina,kau tak rasa jijik ke dengan aku?” soal Alia perlahan. Dina membalas pegangan tangan Alia lebih erat. Ditatapnya wajah sahabat baiknya itu dalam-dalam. Wajah yang dahulunya sering tersenyum dan ketawa. Wajah seorang gadis yang kuat dan tabah mengharungi hidupnya. Wajah yang cantik dan mudah disayangi sesiapapun jua.
“Kau tak rasa ke yang aku sayang kau?” soal Dina kembali. Serentak air mata Alia bertakung di tubir matanya. Dia tunduk menahan sebak. Terasa dirinya begitu kerdil di mata Dina. Sebenarnya dia malu dengan Dina,malu dengan semua orang. Terasa seluruh dunia sedang mengejek dan mentertawakannya. Menghina dan memperlekehkannya. Sedang menuding jari ke arahnya dan menyalahkannya. Dia merasa hina. Dan kasih sayang Dina membuatkan dirinya merasa lebih kerdil. Sungguh dia kecewa dengan takdir hidupnya. Kekadang dia keliru dengan jalan yang telah dipilihnya. Arman. Adakah lelaki itu yang terbaik buatnya? Yang akan bersamanya hingga hujung usia? Adakah benar Arman itu jodoh sejatinya? Fikiran Alia buntu.
Akhirnya dia melepas tangis di bahu Dina dan berakhir dengan pelukan yang cukup untuk menenangkannya.
Jangan lupa vote ya guys. 💜
-cnc-
11 July 2022
YOU ARE READING
DIA ADA CINTA
General FictionNovel ini telah DITERBITKAN oleh Suara Hati Publication. Blurb: Seseorang telah memusnahkan seluruh jiwa raganya dan menghilang pergi tanpa bayangan. Tanpa berfikir baik buruknya, Alia mencari lelaki yang mampu menjadi galang gantinya. Dia bertemu d...