Alia duduk di atas sofa,masih lagi dengan persalinan mewahnya. Dia melihat setiap barang hantaran dari kedua-dua pihak. Semuanya mewah dan sembilan dari sebelas dulang itu adalah barangan buatnya. Dua lagi adalah gubahan coklat dan sirih junjung. Matanya memerhati setiap dari sembilan dulang itu. Ada persalinan sepasang baju kurung dan tudung, set telekung,Al Quran dan sejadah,ada set minyak wangi, kasut dan set beg tangan,set penjagaan wajah,set alat solek,jam tangan,sebuah telefon bimbit dan set barang kemas. Alia memejamkan matanya. Terasa ini terlalu banyak buat dirinya. Kenapa Arman perlu berhabisan untuknya? Dia tidak mahu semua ini. Yang dia mahukan hanyalah status sebagai isteri Arman. Dia membuka matanya semula dan memerhati setiap dulang hantaran untuk Arman. Juga hampir sama dengannya tetapi kesemua barangan itu bukan darinya. Ianya dari Arman sendiri. Arman telah membeli kesemua barangan hantaran untuk mereka berdua dan Alia langsung tidak mengeluarkan walau satu sen untuk majlis perkahwinan mereka. Hati Alia sakit kembali. Jiwanya bercelaru antara rasa bersalah dan mempersalahkan. Dia jadi benci pada Arman kerana melakukan sebanyak ini untuk dirinya.
“Assalamualaikum.” sapa Arman dari pintu yang tidak berkunci. Salamnya Alia jawab perlahan. Pandangannya juga hanya sekilas ke arah suaminya itu. Arman berlalu dan duduk di sisinya. Dia tunduk menatap wajah sugul Alia.
“Kenapa ni? Takut?” soal Arman perlahan. Tanpa menoleh,Alia mengangguk. Arman mendengus tawa melihat wajah Alia yang semakin tunduk itu.
“Abang tak akan buat sesuatu tanpa izin. Konsepnya mudah. Rela dan redha. So,don’t worry.” Alia menoleh sedikit melihat Arman sesaat dan tunduk semula. Panggilan Arman untuk dirinya telah berubah. Abang. Lelaki ini adalah suaminya,itu saja sudah cukup asing baginya,apatah lagi dengan panggilan abang itu.
“Mesti rimas pakai macam ni kan?” soal Arman lagi. Alia menggeleng. Arman senyum.
“Pergilah mandi,tukar baju dan solat Isyak. Lepas tu tidur. Dah lewat ni..” Alia menoleh memandangnya dengan kegusaran di hati.
“Awak ti...”
“Abang.” pintas Arman menegur.
“Awak tidur kat mana?” soal Alia lebih kuat. Arman berkerut.
“Bagi saya masa.” pintas Alia sebelum sempat Arman bersuara. Arman terdiam.
“Tolong jangan paksa saya untuk sesuatu yang saya tak boleh lakukan.” tambah Alia lagi. Alia bangun menuju ke bilik mandi untuk menukar pakaian,mandi dan berwudhuk. Setelah usai semuanya,Alia keluar lengkap berpakaian dan bersolat tanpa mempedulikan Arman. Arman terus ke bilik mandi sebelum solat bersendirian. Rasanya dia tidak mahu memaksa Alia untuk berjemaah dengannya. Entah apa yang Alia marahkan,dia juga tidak tahu. Usai solat,Arman berlalu ke katil. Alia masih belum tidur. Sebaik Arman melabuhkan duduknya di atas katil,Alia bagaikan terkejut dan terus turun dari katil.
“Kenapa ni?” soal Arman bersama wajah yang berkerut tidak mengerti.
“Apa awak nak buat ni?” soal Alia sedikit kuat.
“Nak tidurlah. Nak buat apa lagi. Kan dah lewat ni?” jawab Arman lembut.
“What? Tidur? Awak nak tidur kat atas katil ni ke?” soal Alia masih dengan nada yang sama. Arman menoleh memandang tilam empuknya dengan wajah kehairanan.
“Yelah,atas katil ni lah. Habis tu abang nak tidur kat mana? Takkan abang nak tidur bawah katil pulak?” soal Arman masih tidak mengerti.
“Dengan saya? Atas katil ni?” soal Alia semula. Semakin hairan Arman dibuatnya.
“Soalan apa tu? Mestilah dengan isteri abang. Takkan abang nak tidur dengan isteri jiran sebelah pulak?” jawab Arman lembut. Alia diam untuk cubaan gurauan Arman.
“Kenapa ni? Apa masalahnya ni?” soal Arman masih berlembut. Alia tetap diam. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Dia resah sambil meramas-ramas tangannya sendiri.
“Ke Lia tak nak tidur sekatil dengan abang?” soal Arman meneka. Alia yang resah, menoleh dan mengangguk perlahan.
“Kenapa? Takut?” Alia mengangguk lagi. Arman senyum.
“Abang tak makan orang la,sayang. Lagipun abang dah cakap tadi kan,abang tak akan buat..”“Tak kesahlah apapun,tapi saya tak nak tidur dengan awak. Awak faham tak?” pintas Alia lebih kuat. Arman terdiam. Alia berpaling mengadapnya.
“Awak jangan ingat saya berkahwin dengan awak untuk awak ambil kesempatan ke atas saya. Untuk saya patuh pada arahan awak. Untuk saya turut semua kemahuan awak. Awak kena ingat saya ni siapa dan kenapa kita berkahwin. Dari awal lagi saya dah bagitau awak dan saya nak awak sentiasa ingat dalam kepala awak tu bahawa saya ni bukan ‘isteri’ awak yang sebenarnya. Awak jangan harapkan apa-apa dari perkahwinan kita ni. Faham?” sambung Alia bersama riak wajah marahnya. Jiwanya benar-benar kacau ketika ini. Dia marah. Sangat marah. Arman tetap diam.
“Arman,saya tak nak jadi isteri awak,tapi keadaan telah memaksa saya untuk jadi isteri awak. Awak dah tahu itu tapi awak masih lagi mengharapkan saya akan jadi isteri untuk awak. Awak silap,Arman. Bukan saya orangnya.” kata Alia lagi tapi lebih perlahan.
“Awak jangan harap saya akan terima awak sebagai ‘suami’ saya. Apa yang ada dalam hati saya ni,bukannya mudah untuk saya buang. Saya memang tak akan lupakan sampai saya mati. Tak akan,Arman. Tak akan!” sambung Alia lagi bersama rahang yang dikacipkan. Sepi.
Arman bangun dari katil dan berlalu mendapatkan Alia. Dia berdiri di hadapan Alia sambil menatap wajah polos tanpa solekan itu. Tiba-tiba Arman mengangkat tangannya ke kepala Alia. Alia yang terkejut mengundurkan sedikit kepalanya ke belakang.“Shh...” kata Arman cuba menenangkan sambil jemarinya membuka selendang yang menyaluti kepala Alia. Alia terdiam.
“Kalau ya pun abang ni ‘bukan suami’ Lia,tapi tak payah la sampai nak bertudung depan abang. Tak berdosa pun lepaskan rambut tu. Kasihan rambut masih basah,Lia dah peram dalam tudung ni. Nanti bercabang,berbuah,dah tak cantik.” kata Arman lembut sambil meleraikan tudung itu sepenuhnya. Rambut basah Alia diuraikan dengan jemarinya. Dia mengambil tuala dari rak penyidai dan diletakkan di atas kepala Alia.
“Lap biar dia kering dulu,baru tidur.” kata Arman sebelum berlalu ke tempatnya semula. Dia berbaring di atas katilnya dan meletakkan bantal sisi di tengah-tengah tilam. Alia memerhatikan apa yang Arman buat dengan dada yang resah.
“Tidurlah. Walaupun kita ni bukannya suami isteri bagi Lia tapi berdosa kalau kita tidur asing-asing. Jangan risau,abang tak akan buat apa-apa pada Lia. Itu janji abang. Abang harap Lia percayakan abang,sebab abang bukan dia.” Alia tersentak dari dalam mendengar kata-kata Arman. Rasa marah menguasai dirinya apabila Arman bersikap baik dengannya. Dia tidak tahu bagaimana untuk bereaksi lagi. Dia duduk di atas bangku sambil mengeringkan rambutnya. Matanya melekap di wajah Arman yang sepertinya sudah terlena. Apabila rambutnya sudah kering,dia berlalu ke katil dan dalam ragu merebahkan badannya di sisi Arman. Entah kenapa tangannya menggigil. Dia takut dan resah. Bayangan yang menakutkan itu muncul tiba-tiba. Dia menarik selimut dan memeluk tubuhnya sendiri. Cuba mengusir rasa itu pergi jauh darinya. Dia menatap wajah Arman dan meyakinkan diri terhadap kata-kata Arman tadi,bersilih ganti dengan takbir nama Allah di bibirnya. Dia membelakangi Arman dan memejamkan matanya rapat-rapat. Cuba untuk tidur.
“Lia?” tiba-tiba Arman bersuara perlahan memanggil namanya. Alia diam. Dia takut.
“Satu je abang minta,kalau depan mama,Lia tolonglah panggil abang dengan panggilan abang. Apapun jadi,tolong jangan buat mama syak yang kita ada masalah. Mama tu nak tengok abang bahagia je. Abang merayu,tolong abang yang tu je. Please.” rayu Arman perlahan dengan suara yang lembut. Alia tidak menoleh,juga tidak menjawabnya.
“Terima kasih,Lia. Selamat malam. Assalamualaikum.”
-cnc-
YOU ARE READING
DIA ADA CINTA
General FictionNovel ini telah DITERBITKAN oleh Suara Hati Publication. Blurb: Seseorang telah memusnahkan seluruh jiwa raganya dan menghilang pergi tanpa bayangan. Tanpa berfikir baik buruknya, Alia mencari lelaki yang mampu menjadi galang gantinya. Dia bertemu d...