Puan Mastura dan Arman dijemput masuk ke ruang tamu rumah banglo setingkat itu. Ruang yang luas dengan hiasan perabut yang minima itu cukup melapangkan mata yang melihat. Sebaik mereka melabuhkan duduk di sofa,Alia muncul dari ruang dapur rumahnya. Mata Puan Mastura melekat pada sekujur tubuh langsing itu. Alia menyalami Puan Mastura. Salamnya disambut sebelum mereka bertentang mata. Ditatapnya wajah manis itu bersama senyumannya dan di hujungnya,Puan Mastura melirik anak lelakinya yang duduk di sisinya. Arman tersenyum kecil menyambut senyuman penuh makna mamanya.
“Auntie apa khabar? Sihat?” soal Alia bersopan. Puan Mastura senyum.
“Alhamdulillah sihat. Alia sihat?” Alia hanya mengangguk untuk soalan wanita itu.
“Macam mana perjalanan tadi? Semua okey?” soal Alia dengan nada suara yang tidak pernah Arman dengar sebelum ini.
“Okey,semua okey. Sekarang bila dah sampai kat sini,lagilah okey rasanya.” jawab Puan Mastura dan melirik Arman sekali lagi di hujungnya.
“Auntie duduklah dulu ya? Lia nak ke dapur.”
“Awak dah siapkan bilik untuk kami?” Tiba-tiba Arman menyoal dengan soalan yang cukup untuk menggugurkan jantung Alia. Perkara ini tiada dalam perancangannya. Arman tidak memberitahu apa-apa tentang perkara itu. Terpinga-pinga Alia dibuatnya. Dia menoleh memandang abahnya yang berada di sisinya. Lelaki itu juga tidak mengerti apa yang sedang berlaku ketika ini,namun lidahnya tidak mampu untuk berkata-kata. Dia hanya mampu melihat gelagat anak tunggalnya dan bakal menantunya.
“Err,dah. Saya dah kemaskan. Cuma,cadar aje tak pasang lagi.” jawab Alia tergagap-gagap.
“Tak apa awak. Nanti saya pasang sendiri.” jawab Arman lembut.
“Eh,tak apa. Saya pergi pasang sekarang.” kata Alia lalu terus berlalu ke bilik tamu. Arman mengangguk. Puan Mastura memberi isyarat agar Arman turut membantu Alia. Selepas seketika,Arman terus berlalu ke bilik yang sama. Sekali lagi Haji Mustafa terpinga-pinga.
Arman masuk ke bilik tamu ketika Alia sedang mengemaskan bilik itu. Lantainya sudah disapu dan dimop. Ketika dia sedang mengelap meja solek dan meja sisi katil,tiba-tiba sahaja Arman sudah berdiri betul-betul di belakangnya.
“Pandai awak kemas bilik ni. Bersih.” kata Arman perlahan. Alia terdiam.
“Awak buat apa kat sini? Nanti abah saya nampak...”
“Saya tak akan buat sesuatu tanpa izin.” pintas Arman dengan suara lelakinya. Alia berpaling membelakanginya semula. Diambilnya cadar dari almari dan cuba memasangkannya. Arman membiarkannya,namun melihat kesukaran Alia,dia turut membantu. Satu sentuhan kecil berlaku dan Alia segera menarik tangannya.
“Sorry,saya tak sengaja.” kata Arman bersopan. Alia mendengus marah.
“Apa yang awak buat sebenarnya ni? Hah? Kenapa awak tak cakap yang awak nak tidur kat sini?” soal Alia marah namun dengan nada yang masih dikawalnya. Arman diam.
“Entah apa yang abah saya fikir. Dahlah tiba-tiba aje saya bagitahu yang bakal suami saya nak datang merisik,ini awak tambah lagi dengan keputusan mendadak awak nak tidur kat sini pulak? Awak ingat saya ni apa?” Arman tenang mendengar amarah Alia. Dia duduk di birai katil sambil memandang wajah Alia.
“Apa salahnya saya nak tidur sini? Kalau saya tidur kat hotel,macam mana saya nak kenal bakal abah mentua saya? Macam mana mama saya nak kenal hati budi bakal besan dia? Dan macam mana mereka berdua nak kenal peribadi bakal menantu mereka? Yang paling penting, macam mana saya nak kenal fiil perangai bakal isteri saya sendiri,kaaa…lau saya datang sekejap je? Trust me,this is the best way for everyone.” Alia menjeling tajam untuk sebab dan alasan yang Arman berikan. Hatinya jadi panas. Arman membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu dengannya. Dia merasa dirinya sedang dikawal oleh Arman. Namun dia hanya mendiamkan diri. Sudah malas berbahas dengan Arman lagi. Dia tahu lelaki itu bukannya bodoh untuk dia patahkan begitu sahaja. Dari bilik,Alia langsung ke dapur menyiapkan makan tengah hari.
Sementara itu,Puan Mastura pula ralit berbual dengan Haji Mustafa di ruang hadapan rumah. Suasana kampung yang damai dan sejuk mata memandang itu,membuatkan senyuman Puan Mastura sentiasa terukir di bibirnya.“Cantik view kat sini,Haji. Tenang je. Rajin Haji ya,tanam macam-macam pokok buah-buahan dan bunga tersusun elok je dalam pasu tu hah. Ni kalau nak makan ni,pergi je petik. Tak payah nak pergi beli kat kedai.” kata Puan Mastura memuji bakal besannya. Manakan tidak,banglo sederhana itu dikelilingi pokok buah-buahan dan bunga-buangan yang mekar berwarna-warni. Cukup cantik umpama taman bunga.
“Saya ni tak boleh duduk diam. Suka berkebun dan tanam bunga. Dulu masa arwah isteri saya ada,dialah yang menanam bunga-bunga tu semua. Tengoklah,hasil peninggalan dia, rumah ni dikelilingi pasu bunga je. Berwarna-warni. Yang kat depan ni lagi meriah. Rajin dia.” sambut Haji Mustafa mesra. Puan Mastura tersenyum.
“Err,arwah ni dah lama ke meninggal Haji?” soal Puan Mastura sedikit perlahan.
“Dah lama dah. Masa tu Dija baru berumur 3 tahun. Kanser rahim.” Puan Mastura sedikit terkejut mendengarnya. Rasa pilu singgah di hatinya.
“Kasihan Alia,kecil-kecil dah tak ada ibu. Tapi saya nampak Haji berjaya membesarkan dan mendidik dia dengan sempurna.” Haji Mustafa tersenyum.
“Banyak yang harus saya korbankan,Puan. Bukannya senang bagi seorang bapa tunggal macam saya ni nak membesarkan seorang anak. Lebih-lebih lagi anak perempuan. Banyak yang saya nak kena ajar fasal menjadi seorang ‘perempuan’. Sebelum ajar dia,saya yang kena belajar dulu.” Mendengarnya,Puan Mastura kagum.
“Haji tak kahwin lagi. Itu pengorbanan yang paling besar rasanya.”
“Saya bukannya tak nak kahwin Puan,tapi calonnya yang tak jumpa.” sambut Haji Mustafa bergurau. Puan Mastura turut melepas tawa.
“Kenapa? Haji nak cari yang macam mana? Kilafairy ke?” sambut Puan Mastura semula. Haji Mustafa melepas tawanya kemudian ketawanya mati dengan wajah terpinga.
“Hah? Siapa tu?” soalnya semula dengan kerutan di wajahnya.
“Ala...artis yang hot dan sexy tu...” leret Puan Mastura lalu melepas tawanya.
“Ishkk,tak kenal lah saya artis-artis ni,Puan. Mata saya ni susah nak nampak perempuan sexy. Saya lebih nampak perempuan yang baik dan solehah,macam Puan.” Senyuman lebar Puan Mastura surut serta merta. Ditatapnya wajah lembut guru Matematik itu.
“Haji tak kenal saya. Macam mana Haji tahu saya ni baik?” Kali ini pandangan Haji Mustafa dilepaskan ke wajah Puan Mastura.
“Puan mengingatkan saya pada arwah ni dan apa yang Puan lakukan untuk anak-anak Puan, sama macam yang saya buat untuk Dija.” Puan Mastura diam. Dia menerimanya sebagai sebuah jawapan yang baik dan dia tahu lelaki di hadapannya ini seorang yang budiman.
“Abah,auntie,mari makan?” tiba-tiba Alia menyapa dari pintu besar. Mereka berdua menoleh.
“Hah,jemputlah Puan. Mari kita rasa airtangan anak dara saya ni. Menjadi ke tidak tak tahulah.” kata Haji Mustafa mesra. Puan Mastura senyum sambil membontoti langkah Alia ke ruang makan. Puan Mastura mengukir senyum melihat beberapa hidangan kegemarannya di atas meja. Anak lelakinya pula sudah menunggu di situ.
“Cepatnya Abang? Awal-awal dah terconggok kat sini. Tak dan dan.”
“Tak sabar nak rasa airtangan bakal isteri,mama.” jawab Arman bergurau. Puan Mastura melirik Alia di hujung meja. Alia memaksa senyum simpul dan di hujungnya,jelingan tajamnya ditujukan kepada Arman. Arman hanya tersenyum.
“Err,Arman dan Dija dah lama kenal?” Soalan Haji Mustafa membulatkan mata Alia dan perlahan dia mendongak memandang ‘bakal suaminya’. Arman senyum.
-cnc-
YOU ARE READING
DIA ADA CINTA
General FictionNovel ini telah DITERBITKAN oleh Suara Hati Publication. Blurb: Seseorang telah memusnahkan seluruh jiwa raganya dan menghilang pergi tanpa bayangan. Tanpa berfikir baik buruknya, Alia mencari lelaki yang mampu menjadi galang gantinya. Dia bertemu d...