"NANTI saya nak tanam bunga ros dekat sini, sini dengan sini! Lepas tu sana pula bunga matahari. Situ pula, chrysanthemum. Boleh tak, Hayden?" Jari runcing Lucia menunding ke arah setiap penjuru halaman rumah yang luas itu. Hayden cuma mengangguk-angguk mendengar rancangan wanita di sisinya itu.
"Boleh, sayang. Nak tanam pokok kelapa pun boleh." Usik Hayden membuatkan Lucia tersengih. Lengan Hayden terus dipeluk erat dan mereka melangkah beriringan menuju ke gazebo, yang terletak bersebelahan kolam renang di halaman belakang rumah mewah milik Hayden.
Dalam perjalanan ke sana, sempat Lucia mencuit setiap kelopak bunga raya yang tumbuh di sekeliling gazebo. Hayden memerhati perlakuan Lucia dengan senyuman.
"Kalau suka, petik jelah." Tegur Hayden. Laju kepala Lucia tertoleh menghadapnya. Muram sahaja wajah wanita itu selepas mendengar kata-kata Hayden.
"Lepas tu biarkan je bunga tu mati?" Tanya Lucia sinis menyebabkan Hayden terbungkam. Lelaki itu terkebil-kebil merenung riak masam kekasihnya. "Kalau sayang, kita biarkan dia hidup, jaga dia bukannya petik lepastu bila dah buruk, dah layu, buang macam tu je." Sambung Lucia sudah tidak lagi memandang Hayden di sebelahnya. Marah betullah tu dia dengan bicara Hayden tadi.
Hayden di sisi, sudah tersenyum-senyum melihat Lucia yang marah. Dia memang tidak boleh serius setiap kali kekasihnya itu marah-marah. Makin marah, makin comel. Manalah dia boleh tahan.
"Ya, sayang. Saya minta maaf, okay? Mulai hari ini, saya dah tak petik bunga dah lagi-lagi kalau bunga tu, awak yang tanam. Biar saya dengan sukarela, siram bunga-bunga awak setiap hari biar cantik macam awak." Pucuk hidung mancung Lucia dicuit sekilas. Bibir Lucia automatis menarik satu senyuman manis. Tangan putih gebunya terus merangkul leher Hayden.
"Macam ni lah baru bakal suami Lucia Aralyn." Bisik Lucia sambil menggigit bibir bawahnya. Hayden tertawa halus. Pinggang ramping Lucia dipeluk erat.
"Haih...belum kahwin lagi awak dah jadikan saya tukang kebun. Patutnya awak teruskan je dengan hobi melukis awak tu, bolehlah saya jadi model." Tangan Hayden naik menolak rambut yang menutup separuh wajah Lucia ke belakang telinga wanita itu. Terangkat kening Lucia mendengar kata-kata Hayden.
"Bila masa pula saya suka melukis ni, Hayden? Saya lukis kucing pun jadi orang lidi. Pernah mimpi saya lukis muka awak ke? Merepek je." Lucia menggulingkan mata kemudian mencubit kuat pipi tembam Hayden. Berkerut muka Hayden menahan rasa sakit pada pipinya.
"Bukan awak suka melukis ke?" Soal Hayden masih tidak percaya. Lucia mengecilkan mata dan meleraikan rangkulannya.
"Lambat lagi." Balas Lucia selamba dan berjalan ke arah kolam renang, meninggalkan Hayden yang masih menggosok pipinya yang sudah kemerahan kerana tangan ketam Lucia.
"Sakitlah..." Cebik Hayden.
PEMANDANGAN di luar jendela biliknya ditatap lama. Sesekali pensel di tangannya menari di atas helaian kertas kosong itu, melukis semula pemandangan indah di hadapan mata. Selepas sempurna lukisan itu, jarinya dibawa menyentuh daun-daun dua dimensi yang baru dilakar tadi. Ini sahaja caranya untuk dia melepaskan rindu kepada dunia di luar.
Jarinya teralih pula kepada seekor tupai yang dia lukis sedang duduk di atas pokok. Realitinya, tupai itu sepatutnya tiada, tetapi cuma dia sahaja yang berhalusinasi untuk membuatkan apa yang dia lihat, dua kali ganda lebih sempurna, dua kali ganda lebih membahagiakan.
YOU ARE READING
ARABELLA
RomanceHanya mahu jadi yang diinginkan. Hanya itu. *** Love Arabella, nama yang indah tapi sayang...kalaulah hidupnya seindah namanya. Dia dibenci oleh orang di sekeliling tanpa dia sendiri tahu punca sebenar. Mungkin kerana dia bersuara. Mungkin kerana di...